Khamis, 31 Julai 2025

Ringkasan pandangan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman & Ganjaran

Ringkasan pandangan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman & Ganjaran

Alfie Kohn mengkritik keras penggunaan ganjaran dan hukuman dalam pengurusan tingkah laku khususnya dalam konteks pendidikan dan pembesaran anak-anak. Pandangan ini bertunjangkan kepada prinsip motivasi intrinsik, kebebasan kendiri, dan pembinaan hubungan yang autentik antara guru dan pelajar.


Kritikan Alfie Kohn terhadap Teknik Hukuman dan Ganjaran

1. Ganjaran dan Hukuman bersifat mengawal

Kohn berpandangan bahawa kedua-duanya (hukuman dan ganjaran) adalah bentuk manipulasi tingkah laku. Ia mungkin kelihatan berkesan dalam jangka masa pendek. Katanya


The more you reward people for doing something, the more they tend to lose interest in whatever they had to do to get the reward.” (Punished by Rewards)


Murid membuat sesuatu bukan kerana mereka mahu melakukannya atau mereka percaya bahawa ianya betul, tetapi kerana semata-mata mahu mengelak daripada dikenakan hukuman atau mendapatkan ganjaran

 

2. Menghakis motivasi intrinsik

Ganjaran (seperti pujian, bintang emas, hadiah) boleh merosakkan minat tulen terhadap pembelajaran. Murid mula mempersoalkan apakah yang mereka akan dapat kalau mereka melakukan sesuatu perkara berbanding soalan apakah yang saya boleh belajar daripada perkara ini. Ringkasnya murid kehilangan perasaan ingin tahu dan keseronokan belajar

 

3. Menggalakkan kepatuhan, bukan kebertanggungjawaban

Ganjaran dan hukuman menghasilkan kepatuhan pasif, bukan pemikiran kritikal atau perkembangan nilai dalaman. Murid tidak belajar untuk menilai baik dan buruk berdasarkan prinsip, tetapi hanya bertindak untuk elak kesan negatif.



4. Mengabaikan hubungan dan konteks

Kohn menekankan bahawa pengurusan tingkah laku seharusnya berpaksikan hubungan, kepercayaan, dan persekitaran yang menyokong. Fokus yang terlalu berat pada kawalan tingkah laku menyebabkan guru/ibu bapa melupakan aspek emosi, psikologi dan sosial pelajar.


5. Ganjaran sebagai hukuman yang terselindung

Kohn berpendapat bahawa apabila ganjaran digunakan untuk mengawal, ia sebenarnya sama manipulatif seperti hukuman hanya kelihatan lebih positif. Contohnya seorang murid yang gagal tidak dibenarkan untuk pulang lebih awal atau diberi hadiah. Perkara sebegini boleh dirasai sebagai bentuk pengasingan atau penghinaan



Cadangan Alternatif oleh Alfie Kohn

1. Fokus pada Hubungan.

Bina hubungan guru-pelajar yang tulen dan penuh hormat. Dengarkan suara pelajar.


2. Galakkan autonomi melibatkan pelajar dalam membuat keputusan kelas dan menetapkan peraturan. Tindakan sebegini akan mendidik mereka membuat pilihan dan seterusnya mendapatkan kepercayaan murid.


3. Pupuk motivasi intrinsik dengan cara menunjukkan nilai sebenar dalam aktiviti pembelajaran. Guru juga harus menggalakkan amalan refleksi dan pemikiran aras tinggi.


4. Pendekatan Restoratif (Restorative Approach). Melalui pendekatan ini, guru akan membantu murid memahami kesan tingkah laku mereka dan memperbaiki hubungan yang terjejasj berbanding hanya menghukum


Kesimpulan

Bagi Alfie Kohn, tujuan pendidikan bukanlah untuk mengawal pelajar, tetapi untuk membina individu yang berfikir sendiri, bertanggungjawab, dan bermotivasi dari dalam. Beliau mengajak para guru agar menilai semula kaedah disiplin tradisional yang bersifat ganjaran sebagai baik, hukuman sebagai buruk.



Tiada ulasan: