Ahad, 27 Julai 2025

Mendoakan Seseorang Tanpa Pengetahuannya

 BINGKISAN SEBELUM TIDUR


MENDOAKAN SESEORANG TANPA PENGETAHUANNYA

 

Ada hadis dari Abu Darda’ bahawa Nabi Saw telah bersabda:

 

"دُعَاءُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ، كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ، وَلَكَ بِمِثْلٍ."

 

Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di kepalanya ada malaikat yang ditugaskan, setiap kali dia berdoa untuk kebaikan saudaranya, malaikat itu berkata: “Amin, dan bagimu juga seperti itu.” (Muslim)

 

Hadis ini menyampaikan satu mesej yang sangat indah tentang kekuatan dan keikhlasan doa seorang Muslim terhadap saudaranya. Rasulullah saw menyatakan bahawa doa seorang Muslim untuk saudaranya secara diam-diam (tanpa pengetahuan orang itu) adalah doa yang mustajab iaitu doa yang sangat berpotensi untuk dimakbulkan oleh Allah SWT.

 

Perkataan atau frasa بِظَهْرِ الْغَيْبِ dalam hadis ini boleh diertikan sebagai mendoakan seseorang tanpa dia mengetahuinya, dalam keadaan tersembunyi, doa dari kejauhan. Ini menggambarkan keikhlasan sebenar, kerana tiada pujian atau balasan yang diharapkan daripada orang yang didoakan. Niat yang ikhlas inilah yang menyebabkan doa itu lebih bernilai di sisi Allah. Apabila kita berkawan dengan seseorang, nikmatnya berkawan apabila persahabatan kita dibina kerana Allah, bukan kerana ada sebarang kepentingan dunia.

 

Hadis ini juga menyebut tentang kehadiran malaikat yang ditugaskan di sisi orang yang berdoa. Setiap kali seseorang berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, malaikat itu akan berkata: "Amin, dan engkau juga akan mendapat seperti itu." Ini bermakna orang yang mendoakan juga akan menerima kebaikan yang sama seperti yang dimintanya untuk orang lain.

 

Sebagai contoh, jika kita mendoakan seseorang rakan atau sahabat supaya diberi kesihatan, ketenangan atau rezeki yang halal, maka malaikat akan mendoakan supaya kita yang berdoa dikurniakan perkara yang sama. Ini menunjukkan betapa Islam mendorong umatnya supaya saling mendoakan dan mengharapkan kebaikan untuk satu sama lain. Justeru itu,

 

Isteri perawi hadis ni iaitu Ummu Darda’ pernah bercerita tentang suaminya Abu Darda’. Katanya dahulu Abu Darda’ memiliki lebih kurang 300 orang sahabat. Abu Darda’ kerap kali berdoa kepada para sahabatnya. Lalu aku bertanya kepadanya tentang apa yang dia selalu lakukan. Abu Darda’ seterusnya membaca hadis ni sambil menyebut bahawa beliau menginginkan malaikat mendoakanku (dipetik dan terjemah bebas dari Siyar Aklam al-Nubala’)

 

Hadis ini mengajar kita tentang semangat ukhuwwah, keikhlasan, serta betapa luasnya rahmat Allah SWT. Ia juga menjadi motivasi untuk kita sentiasa mendoakan kebaikan buat saudara kita dalam diam, kerana setiap doa bukan sahaja bermanfaat untuk orang lain, tetapi juga mendatangkan ganjaran yang sama kepada diri sendiri.

 

Ambo secara peribadi rasa kekok tiap kali ditugaskan untuk membaca doa di permulaan majlis rasmi. Setakat nak doa supaya majlis tu berjalan lancar ok je. Biasanya ambo akan baca doa ringkas terutama dari hadis2 atau al-Quran. Tapi kalau nak doa khusus kepada seseorang perasmi majlis atau pemimpin, yang kita rasa macam dah nak mengampu, pong kaki, pong jirik, pong tangan (Arab sebut mujamalah) ni, ambo rasa sedikit kekok. Rasa macam tak ikhlas je. Setakat ni tak pernah lagi diminta untuk berbuat demikian (pong = pump)

 

Kadang2 ambo bermimpi berjumpa sahabat2 lama dan terbangun di awal pagi. Terasa juga dalam hati kenapa tiba2 jer bermimpikan sahabat2 lama ni. Terlintas juga dalam hati maybe mereka tak sihat, diuji dengan ujian dan sebagainya. Ambo bersangka baik maybe mereka sedang bermunajat sambal mendoakan kita (harapnya gitula)

 

Tiada ulasan: