Khamis, 24 Julai 2025

Ghibtah, hasad yang dibenarkan

 

GHIBTAH


Rasulullah SAW mengajar umatnya agar menjauhi penyakit hati seperti hasad (dengki), namun Islam mengiktiraf satu bentuk sikap yang dinamakan ghibtah. Ghibtah ialah  perasaan ingin menjadi seperti orang lain dalam kebaikan, tanpa berharap nikmat itu hilang dari mereka. Ghibtah bukan sahaja dibenarkan, malah digalakkan dalam dua perkara seperti yang dijelaskan dalam hadis berikut:

 

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:

"لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا"

 

(Tidak ada hasad kecuali dalam dua perkara, lelaki yang Allah beri kepadanya harta lalu dia menggunakannya di jalan yang benar, dan lelaki yang Allah beri ilmu atau kebijaksanaan lalu dia beramal dengan ilmunya itu dan mengajarkannya kepada orang ramai. - Bukhari dan Muslim)

 

Seingat ambo, memula dengar hadis ni masa dalam kelas tahun 1989/1990. Masa tu kami dalam kelas peralihan. Hadis ni di antara hadis terawal yang kami pelajari. Alhamdulillah matan hadis tu kami masih ingat sampai sekarang. Maybe sebab hafalan masa masih awal remaja ni tahan lama, payah nak berkarat banding dengan sekarang.

 

Para ulama semasa menjelaskan maksud hadis ni menyebut bahawa hasad dengki ni ada 2 jenis. Pertama ialah hasad yang tercela, kedua ialah hasad yang dibenarkan sebagaimana dalam hadis

 

Hasad yang tercela ialah apabila kita bercita-cita atau menginginkan hilangnya kenikmatan daripada saudara kita yang lain. Samada nikmat itu hilang dan seterusnya berpindah ke hak milik kita atau pun tak. Contohnya seorang insan bernama ABC yang dikurniakan kekayaan oleh Allah berupa kebun yang luas, lalu kita bercita-cita supaya kebunnya terlepas daripada pemilikannya. Samada kebun berpindah hak milik kepada kita atau sekadar hilang daripada pemilikan ABC. Semuanya merupakan hasad yang tercela.

 

Bahagian kedua ialah hasad yang harus. Hasad yang harus inilah dinamakan sebagai ghibtah. Maksud ghibtah ialah apabila kita menginginkan kenikmatan sebagaimana nikmat yang ada di tangan orang lain. Perasaan ingin ni tanpa menghilangkan nikmat daripadanya. Contohnya ABC merupakan seorang yang kaya dan hartanya banyak diinfakkan (didermakan) untuk kebaikan. Kita ingin nak jadi seperti ABC supaya kita dapat berbakti sepertinya. Maka ini merupakan hasad yang harus atau ghibtah. Ghibtah ini biasanya akan menjadi motivasi kepada kita untuk berusaha mencapai tahap seperti ABC

 

Hadis di atas menyebut ghibtah yang diharuskan melibatkan 2 perkara iaitu harta dan hikmah (ilmu)

 

Harta merupakan ujian dan amanah. Apabila seseorang diberikan harta oleh Allah dan dia menggunakan hartanya untuk tujuan yang diredai Allah seperti infak, membantu orang miskin, jihad, pembangunan, maka dia berada dalam kedudukan tinggi di sisi Allah. Orang lain yang melihat boleh merasa cemburu ghibtah terhadapnya iaitu berharap untuk memiliki kemampuan sama dan menggunakannya seperti itu.

 

Hikmah di sini membawa maksud ilmu yang membawa kepada kebenaran serta amalan yang bijaksana. Ia meliputi ilmu agama, kefahaman terhadap syariat, kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan keberanian menyampaikan ilmu. Orang yang mengajarkan ilmu dan menjadi rujukan masyarakat juga termasuk dalam kategori ini. Ghibtah terhadap golongan ini adalah dorongan positif kepada penuntut ilmu.

 

Islam tidak menghapuskan perasaan ingin maju atau berjaya, tetapi ia menyalurkannya ke arah positif. Ghibtah dalam konteks ini menjadikan seseorang lebih rajin bekerja, menuntut ilmu dan berusaha memberi manfaat kepada masyarakat. Ia bertentangan dengan hasad yang mendorong kepada permusuhan dan kemurkaan Allah.

 

Hadis ini merupakan panduan rohani yang hebat dalam membentuk hati yang bersih daripada penyakit hasad, dan menggalakkan sikap positif dalam mengejar kebaikan. Dalam dunia hari ini, apabila ramai yang cemburu kerana duniawi, hadis ini mengingatkan kita bahawa yang patut dicemburui ialah orang yang bersungguh-sungguh berkhidmat untuk agama dan masyarakat. Maka, marilah kita berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, agar kita turut tergolong dalam golongan yang diredai Allah.

Tiada ulasan: