BINGKISAN SEBELUM TIDUR
HADIS MAKAN PENCEN
Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Ashariy ra bahawa Nabi SAW telah bersabda, maksudnya, Apabila seorang hamba itu sakit atau bermusafir, maka dituliskan baginya (pahala) seperti apa yang biasa dia amalkan ketika dia sihat dan bermukim. (Riwayat Bukhari)
Ustaz kami masa syarah hadis ni dulu sebut perkataan makan pencen. Umpama seorang pesara, dia tidak lagi perlu bersusah payah nak bangun awal pagi, gosok pakaian, merempuh traffic jam untuk ke tempat kerja. Rutinnya dah berbeza. Namun setiap bulan pesara berkenaan akan mendapat duit pencen sebagai hadiah atau ganjaran untuk tempoh perkhidmatannya selama ini.
Begitulah kiasan tentang amal ibadah yang kita lakukan secara berterusan semasa kita sihat atau menetap di sesuatu tempat (bukan musafir). Kekadang kita tak mampu nak lakukannya kerana kita dah terbaring tak sihat, ditimpa penyakit kronik, yang mana kalaulah kita sihat Insya Allah kita akan melaksanakan sesuatu ibadat tu secara berterusan. Orang sebegini akan tetap mendapat pahala seolah2 dia telah melakukannya. Ganjaran ini juga terpakai untuk orang yang bermusafir. Nak cerita bahawa luasnya Rahmat Allah untuk orang yang konsisten melakukan amalan ketika dia sihat dan tidak bermusafir
Bayangkan seorang guru sekolah yang setiap hari membaca satu juzuk AQ selepas subuh. Kemudian beliau jatuh sakit atau perlu menghadiri kursus luar kawasan selama beberapa hari, dia tidak mampu meneruskan rutinnya. Maka berdasarkan hadis ini, Allah SWT tetap mencatatkan untuknya pahala membaca AQ seperti biasa asalkan amalannya itu dilakukan secara ikhlas dan berterusan ketika sihat.
Begitu juga dengan pelajar atau sesiapa sahaja yang biasa bangun malam berqiamullail, tetapi terhalang kerana keletihan ketika bermusafir. Jangan bersedih atau merasa rugi kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Pemurah.
Hadis ini membawa satu mesej yang sangat indah dan menggembirakan jiwa orang-orang beriman. Islam tidak menilai seseorang hanya pada perbuatannya secara zahir, tetapi juga niat dan usaha yang berterusan. Dalam keadaan biasa, seorang hamba mungkin rajin beribadah contohnya selalu solat sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat, menuntut ilmu dan sebagainya.
Namun apabila dia diuji dengan kesakitan atau dia bermusafir, kemampuan fizikalnya berkurangan. Pada saat itu, Allah SWT dengan rahmatNya tetap menulis pahala penuh seperti waktu dia sihat. Oleh itu, seseorang yang menjadikan amal ibadah sebagai rutin kehidupannya akan tetap mendapat ganjaran meskipun dia tidak mampu melakukannya kerana halangan di luar kawalannya.
Kesimpulannya hadis ini sangat relevan untuk memberi ketenangan kepada jiwa orang beriman. Ia menjadi pendorong untuk kita membina kebiasaan ibadah yang berterusan, walau sedikit. Jika hari ini kita berusaha menjaga amalan soleh secara konsisten, maka pada saat kita tidak mampu melakukannya kerana sakit atau musafir, pahala itu tetap mengalir seperti biasa.
Inilah kasih sayang Allah yang tiada bandingan. Maka, marilah kita menjadikan hadis ini sebagai pendorong untuk terus istiqamah dalam kebaikan. Jangan pandang kecil amalan harian kita kerana di sisi Allah, setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas tidak akan sia-sia, malah diberi ganjaran walaupun kita dalam keadaan lemah dan tidak berdaya.
Ini membuktikan bahawa amalan yang dilakukan secara konsisten sangat besar nilainya di sisi Allah. Dalam satu hadis lain pula Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud (….Amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit – Bukhari & Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan