Khamis, 30 Oktober 2025

Larangan berdoa memohon mati

Larangan berdoa memohon mati

 

Nabi saw telah bersabda:

"لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي."

 

(Janganlah seseorang di antara kamu bercita-cita untuk mati kerana suatu musibah atau ujian yang menimpanya. Tetapi jika dia terpaksa melakukannya (kerana terlalu berat ujian itu), maka hendaklah dia berdoa “Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.”- Bukhari & Muslim)

 

Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersabar menghadapi sebarang ujian atau musibah yang melanda. Jangan sesekali putus asa daripada rahmat Allah. Dalam hadis ni, Nabi SAW melarang kita daripada bercita2 nak mati kerana tidak tahan atau dah tak redha dengan takdir Allah SWT.

 

Hidup ini suatu nikmat. Maka hargailah kehidupan ini dengan melakukan amalan kebajikan n etc. Peluang atau masa untuk beramal ialah sebelum kematian atau sehingga matahari terbit dari sebelah tempatnya terbenam. Justeru itu jangan kita sia-siakan waktu ini dengan mengimpikan kematian hanya kerana tak tahan dengan musibah atau ujian dunia yang menimpa

 

Para ulama semasa mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa jika seseorang itu merupakan orang yang baik, solat sokmo, selalu melakukan amal soleh, maka gunakanlah waktu kehidupan yang masih tersisa dengan menambah atau melipatgandakan amalan. Jangan hanya kerana ditimpa musibah terus nak minta mati

 

Sebaliknya jika seseorang itu tak solat atau jarang solat, jarang melakukan amal soleh, maka gunakanlah sisa waktu tu untuk bertaubat, belajar dan beramal. Janganlah sesekali ditimpa kecelakaan lalu terus berdoa minta mati

 

Kadang2 kita terfikir bagaimana kes wanita Muslimah yang pernah menjadi mangsa rogol sebagaimana perang di Balkan 90an dulu.  Para Muslimah diperkosa di hadapan anak, ibu bapa dan ahli keluarga mereka sehingga tiada peluang lagi untuk melarikan diri atau membalas kejahatan tentera musuh. Apakah mereka boleh berdoa meminta mati?

 

Begitu juga dengan para Muslimah yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia. Berdasarkan laporan akhbar, mereka dikurung seperti haiwan, dijadikan objek seks dan apabila terdapat permintaan untuk organ dalaman, mereka akan dibedah lalu diambil organ. Tiada jalan keluar buat mereka. Apakah mereka boleh berdoa memohon mati?

 

Begitu juga seorang pesakit yang dah bertahun melarat, doctor mengesahkan bahawa mereka tiada harapan untuk hidup lagi berdasarkan ilmu perubatan. Apakah boleh mereka menerima suntikan (euthanasia) untuk meredakaan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesakitan mereka?

 

Seingat ambo euthanasia ni ada 2, euthanasia aktif iaitu para doctor memberikan suntikan yang boleh mematikan, atau euthanasia pasif, iaitu doctor menghentikan rawatan atau alat sokongan sehingga pesakit meninggal secara semulajadi

 

Dalam kesemua contoh di atas, apakah mereka boleh berdoa memohon mati? Kesemua isu fegh ni dibahas secara panjang lebar oleh para ulama. Ambo tak berhajat memanjangkan di sini.

 

Cukuplah secara umum, kita katakan bahawa Nabi SAW melarang kita berdoa minta nak mati kerana dah putus asa dengan rahmat Allah. Putus asa dengan takdir Allah. Sebaliknya kalau kita berdoa memohon dimatikan dalam Islam, mati dalam Iman, itu molek jer.

 

Dalam hadis di atas, Nabi saw ada ajar suatu doa. Jika kita ditimpa fitnah, ujian, musibah yang kita rasa terlalu berat, contohnya fitnah dalam agama. Jangalah minta mati, namun berdoalah dengan doa ni. Kita serahkan urusan kita kepada Allah. Kita tak tahu apakah kehidupan atau kematian yang lebih baik untuk kita, maka bacalah doa ni

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

 Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.”

 

Setakat Barcelona kalah dengan Real Madrid, setakat everton yang dibelasah spurs 3-0 tu, setakat Liverpool yang entah napa tetiba tak jumpa pintu gol lawan, tak perlulah berdoa minta mati kan. Cukup check in dalam gua jer la. Ha ha ha ha

 

# sebahagian daripada kuliah maghrib berdasarkan Riyad al-Salihin Imam Nawawi. Bab barca tu ambo tambah jer tu

Tiada ulasan: