Isnin, 21 Jun 2021

Kenangan Kaherah (18)

 

Kenangan Kaherah (18)

 

ENGLISH

Masa awal 90an dulu, ambo pernah tengok drama bersiri bertajuk Great Expectations (GE) kat tv1 atau tv2. Drama hitam putih. Tak tahula filem tahun berapa. Ada banyak episode dan ambo sempat tengok sebahagiannya sahaja. Sempat mengenali watak Pip dan Estella selain daripada Miss Havisham, Magwitch dan lain lain. Drama tu seingat ambo disiarkan pada setiap hari sabtu.

 

Bila berada di Kaherah, terasa agak jauh dengan BI. Biasanya kalu tengok saluran Nile TV tu baru dapat dengar orang bercakap BI (atau French). Ada juga siaran berita BI dan french dalam saluran tv1 dan sebagainya tapi ambo tak follow sangat. Bila pusing-pusing kedai buku ambo ternampak satu buku bertajuk Great Expectations (GE) karya Charles Dickens. So ambo beli, cadangnya nak baca bila cuti musim panas ni sebagai bacaan sampingan

 

Buku GE tu agak tebal. Rasanya hampir dua inci ketebalannya. Harga sekitar 40 pound. memang kayangan la sebab kami dah boleh beli kitab tafsir ibnu kathir 4 jilid dengan harga sebanyak tu. Mula2 tu rasa semangat nak baca, lama kelamaan dah rasa malas. Tambah pula dengan beberapa perkataan macam thou yang ambo tak faham. Bila kita tanya pelajar kita yang mahir, mereka sendiri tak tahu dan minta merujuk kepada kamus English-English. Kat sini agak sukar nak cari pelajar kita yang memiliki kamus berkenaan. Kalau nak berulang ke perpustakaan kat Zamalek setiap hari kerana GE tu rasa macam tak berbaloi. Ambo beli sekadar baca untuk sampingan sahaja, sebab cerita Pip dan Estella yang ambo tengok dalam tv dulu tergantung. Akhir sekali buku tu terperam begitu jer. Bila zaman google, ambo buat semakan barulah ambo tahu rupanya buku GE tebal yang ambo beli tu merupakan buku asal karya Dickens yang ditulis pada abad 19. Patutla ada beberapa perkataan yang ambo cari kamus biasa biasa tak jumpa. Buku tu ada 2 ending, ending yang pertama dan ending yang kedua. Khabarnya Dickens buat ending yang kedua atas nasihat kawan2nya supaya GE tak jadi tergantung tanpa klise. Entahla ambo tak tahu sangat. Walaubagaimanapun ambo beli juga buku GE versi kanak-kanak. Buku ni ambo sempat baca habis. Sempat juga baca beberapa buah buku kanak2 macam the bounty, Cinderella dan sebagainya. Semuanya buku versi kanak2. Buku2 sebegini ambo baca semasa cuti musim panas

Antara subjek paling senang kami nak lulus kat sini dan nak dapat cemerlang ialah subjek BI. Setakat ambo jumpa kawan2 senegara, tak jumpa lagi pelajar kita yang sangkut subjek ni walaupun mereka mungkin sebelum ni tak pernah belajar di sekolah kebangsaan (ada yang bersekolah pondok sejak kecil).

 

Kali pertama masuk kuliah BI, dapat dengar dan perhati cara belajar BI kat sini. Biasanya pensyarah lebih menekankan kepada sebutan dan makna perkataan. Ada juga diselitkan grammar secara ringkas. Seperti biasa, arab ni cakap atau baca BI sebutan pada huruf R tu agak jelas. Morning disebutnya moRRRning, understanding di sebut undeRRRRstanding. Ada juga cara sebutan mereka yang kami rasa nak ketawa, tapi kami simpan dalam hati jer la kot mereka terasa. Rasanya 2 atau 3 kali jer kami masuk kuliah, nak tengok camana suasana dan teknik pembelajaran dalam kuliah. Lepas tu kami dah tak masuk kuliah BI lagi. Kami skip sebab kami jangka Insya Allah kami akan lulus dengan melihat kepada silibus, cara dan teknik belajar dan soalan2 lepas. Biasanya kuliah BI diadakan pada waktu kedua jam 11 atau waktu ketiga selepas zohor. ambo tak pernah temui lagi kuliah BI diadakan pada waktu pertama jam 9 pagi sepanjang di sini.

 

Biasanya soalan exam berkisar tentang modal verbs, verbs to be kalau yang melibatkan grammar. Kalau jenis comprehension tu lagi senang. Baca dan kalau tak faham pun kita dapat agak jawapan berdasarkan comprehension pendek tu. Waktu menjawab exam dalam 1 atau 2 jam (tak ingat) biasanya kami habiskan dalam 20 atau 30 minit jer. Subjek BI ni dikira antara killer subject bagi pelajar tempatan. Kalau ditanya subjek apa yang susah rata-rata mereka akan jawab BI. Ambo tak tahu sejauh mana tahap silibus dan pembelajaran mereka tentang BI di peringkat sekolah menengah. Apa yang pasti tahap BI di peringkaat univ yang kami belajar terlalu mudah. Mungkin sama level dengan peringkat awal sekolah menengah. So subjek inilah yang kami selalu target cemerlang.

 

Biasanya dalam majalah al-Azhar, ada section untuk BI dan french yang ditulis oleh pensyarah al-azhar. Ambo tak pasti kalau ada fakulti Bahasa Inggeris atau french di al-azhar. Ambo juga tak pasti bahasa pengantar yang digunakan untuk fakulti perubatan, pergigian dan sebagainya dijalankan dalam BI atau Arabic atau campur keduanya (pada zaman ambo). Kesemua fakulti tadi terletak di Nasr City sedangkan ambo belajar di Husayn.

 

Kalau dalam fakulti Syariah, ada lagi killer subject terutama Usul Fiqh. Tapi killer subject di sini terkena kepada hampir kesemua pelajar tak kira pelajar tempatan mahu pun wafidin. Tambahan lak kalau dapat doctor yang alim, senior dan agak syadid (susah nak dapat markah) seperti Dr Abdul Fattah Syeikh. Subjek beliau ramai jer yang sangkut. Generasi ambo selalu terlepas dengan Dr Fattah Syeikh. Bahkan ada pelajar arab tempatan yang berdoa supaya Dr Fattah Syeikh mati cepat-cepat sebab susah sangat nak lulus subjek beliau. Macam-macam perangai arab ni. Subjek Usul Fiqh agak susah kerana ia merupakan ibu bagi fakulti Syariah. Dr Fattah Syeikh pernah sebut dalam satu sesi kuliahnya, bila bercakap pasal Usul Fiqh terutama tentang definisi sesuatu konsep, kamu kena tulis huruf demi huruf. Jangan ada suatu huruf yang tertinggal atau tertambah. Contohnya ada huruf ya kat belakang perkataan tertentu. Jangan sesekali kamu tinggalkan huruf ya tersebut kerana bila tiada huruf tu, makna akan berubah. Definisi tersebut juga akan terdedah kepada kritikan dan hilang sifat Jamik Manik. So benda sebegini walau pun halus kena jaga-jaga. Begitu juga apabila kita menukilkan pandangan seseorang ulama silam, kena tepat nukilannya sebagaimana ulama atau sarjana tu sebut. Jangan main hentam jer. begitu juga perbahasan dalam Usul Fegh. Semua tu agak terperinci dan kamu jangan reka-reka cerita. Agaknya inilah yang menjadikan subjek Dr Fattah Syeikh agak susah. Namun ada satu perkara yang menarik perhatian ambo, apabila beliau berkuliah, kita kan dapati ada pelajar bukan fakulti Syariah yang hadir untuk mendengar syarahnya. Mungkin ada juga pelajar lepasan ijazah masuk juga mendengar perbahasana beliau. Beliau antara pakar usul figh azhar masa tu.

Jumaat, 18 Jun 2021

Kenangan Kaherah (17)

 

Kenangan Kaherah (17)

 

AWAL 1998

Semester dua rasanya bermula februari. Masa tu cuaca masih sejuk cuma tak sesejuk masa Disember. Kami sebagai pelajar baru masih kena mandi air panas walaupun tengahari. Masih berbaju tebal namun ada yang dah mula mengurangkan lapisan baju sesuai dengan perubahan cuaca. Ada senior yang dah biasa dengan cuaca, mula memakai baju lengan pendek. Baju tebal berwarna gelap mula dibasuh kemudian disimpan ke dalam almari atau beg besar. Baju yang berwarna cerah dan nipis mula digunapakai. Ada yang dah mula berkain pelikat di atas rumah. Ambo masih takleh nak pakai baju lengan pendek atau kain pelikat lagi dalam rumah. Masih terasa kesejukannya. Kalau tak silap, suhu di siang hari mula mencecah sekitar 17-20 celcius. Ada sesetengah tempat mula berangin. Ada sesetengah tempat mula dilanda ribut pasir terutama masa cuaca nak berubah

 

Pasal ribut pasir (ada juga panggil ribut debu), kami selalu mengalaminya bila nak berlaku perubahan musim. Biasanya jabatan kajicuaca akan war-warkan jangkaan berlaku ribut pasir. Ada juga yang berlaku di luar jangkaan manusia, secara tiba2. Bila berlaku ribut pasir yang kuat, tak nampak jalan. Langit dah warna kuning dengan pasir. Cuaca pun buleh jadi gelap. Kemudian pasir halus tu berterbangan merata tempat. Kena tutup mulut, hidung dengan kain. Kalau tak, habis masuk pasir. Mata pun sama. kena pakai spek atau tekup mata. Nanti semuanya berpasir. Biasanya kalau ribut tu dah dalam jangkaan jabatan kajicuaca, kami dah berkurung dalam rumah.

 

Seingat ambo, ada sekali ambo hadapi ribut pasir yang kencang. Masa tu dah tahun 2001 di abbasiah. Ambo tutup semua jendela dan pintu namun pasir tu masih masuk melalui celah pintu dan tingkap. Kami sendal bawah pintu dengan kain tuala. Sendal tingkap dan segala lubang tu dengan kain. Kami terpaksa menutup semua bekas air dan makanan dengan baik. Kalau tutup ala kadar, bimbang pasir halus masuk dari luar ke dalam makanan. Dari dalam bilik, kami dapat dengar deruan angin kencang. Rasanya dalam 2 3 jam jugak. Tak dapat bayangkan kalau orang yang berada di jalanan pada masa tu.

 

Usai ribut pasir, biasanya sampah sarap macam kertas, plastic, kotak, daun2 akan penuh kat jalanan. Pekerja akan bertungkus lumus mengutip sampah selain menyapu debu yang dah berapa inci kat atas jalan. Ada juga yang basuh halaman rumah atau bangunan. Kaherah ni takder longkang atau saliran air macam Malaysia. So bila ramai yang membasuh, jalan2 akan penuh dengan air.  

 

Masa naik bas, ambo selalu terpandang suatu poster yang biasa terpampang di mall atau kedai-kedai besar. Poster filem Titanic. Biasanya poster sebegitu ditulis dalam Bahasa inggeris dan ada juga tulisan Arabic. Masa tu ambo nak baca nama Leonardo di Caprio dan kate winslet dalam tulisan arab rasa agak kekok. Kekadang kami baca nama English dalam tulisan arab ni jadi tak betul (ingat kisah micheal Oyen). Pada masa yang sama saluran tv Nile tv dah mula menyiarkan Celine Dion dengan My Heart Will Go On. Hampir setiap malam ada rancangan hiburan, asyik dok siarkan video klip tu. Majalah dan akhbar juga dah terkena demam Titanic. Baju2 tshirt dan beg sekolah yang ada gambar Caprio dan Winslet berlatarbelakangkan Titanic mula dijual. Ambo pernah terserempak dengan sekumpulan budak sekolah mesir sedang menyanyikan lagu Celine Dion di Zamalek. Hebat betul penangan Titanic.

 

Ada wartawan dan komentator tempatan mula bersuara tak begitu suka dengan pengaruh Titanic yang mula melanda jiwa anak2 muda mesir. Ada golongan yang cukup anti dengan orang luar terutama dari barat, ada yang menerima tapi dengan skeptic dan ada yang menadah tangan terbuka. Orang mesir selalu berbangga dengan budaya dan adat mereka serta memperbesarkannya. Adakalanya perasaan bangga mereka agak melampau, sehinggga terbuai dengan tamadun era Firaun dalam keadaan negara lain dah memecut laju meninggalkan mereka yang masih diulit dengan sejarah silam

 

Awal 1998 juga, pasukan bola mula rancak mempersiapkan diri utk world cup France 1998. Selain akhbar, majalah2 seperti al-ahram al-riyadiy penuh dengan liputan berita persiapan pasukan dunia. Walaubagaimanapun ambo lebih suka membaca akhbar untuk mendapatkan info bola berbanding majalah yang dikeluarkan secara bulanan

 

Masa mula sampai, ambo dah beli majalah tapi tak faham. So kuranglah membeleknya. Hanya sekadar tengok gambar terutama majalah yang berwarna warni di atas kertas bermutu tinggi seperti al-Arabi Kuwait. Walaupun tak baca ambo tetap beli. Pertama kerana harganya murah (kecuali majalah berbahasa asing sepert English atau French). Majalah yang kami beli biasanya sekitar 1-2 pound jer. Kedua sebagai rujukan terutama majalah seperti al-Azhar, al-minbar al-Islamiy, tasawwuf islamiy dan sebagainya. Majalah sebegini agak ilmiah. Isu perbicangannya sesuai dengan isu semasa, atau sesuai dengan peristiwa yang kita hadapi seperti isu hijrah nabi (muharram), isu kelahiran nabi (rabiul awwal), isu puasa (Ramadan) dan sebagainya. Ada majalah yang ringan. Ada juga majalah yang membicarakan isu-isu ilmiah. Mana yang sempat ambo beli walaupon ada yang tak sempar dibaca. Ketiga sebagai kenangan. Sekurang-kurangnya majalah sebegini menjadi diari masa bagi kami sepanjang berada di sini.

.

Majalah al-Azhar

Majalah ni diterbitkan oleh al-azhar sendiri. Harga dalam 1.25 sen dengan bilangan mukasurat mececah ratusan mukasurat. Artikel kat dalam tu ditulis oleh para professor, pensyarah dan ulama2 azhar. Majalah ini antara majalah wajib beli bagi ambo sepanjang berada disini. Biasa ada hadiah lagi, dapat sebuah buku kecil sebesar tapak tangan. Buku saiz poket ni sebagai sisipan dengan majalah

 

Ada kisah kawan ambo yang pulang bercuti di Malaysia. Pagi tu sampai kat kampung, kebetulan malam tu selepas maghrib ada ceramah Israk Mikraj (masa tu bulan Rajab). Penceramah kemudiannya tak dapat hadir. Pihak AJK masjid dan penduduk kampung minta dia yang baru pulang ke kampung tak sampai 24 jam untuk berucap ttg Israk Mikraj. Puas beliau fikir nak cakap apa, lalu diambilnya majalah azhar dan dibaca serta terjemah depan audien. Nak belek kitab tak sempat, majalah al-azhar yang dikeleknya. Tiada rotan kira akar pun berguna.

 

Al-Tasawwuf al-Islamiy.

Ambo tak ingat penerbitnya, tapi majalah ni banyak berbicara tentang sifat2 mahmudah, mazmumah dan sebagainya. Ada juga memuatkan tafsir ayat dan hadis tentang amalan hati. Juga ada ruangan soal jawab agama.

 

Minbar Islamiy

Majalah ini diterbitkan oleh Majlis Aala, agaknya macam JAKIM kalau kat negara kita. Banyak memuatkan tulisan berunsur tazkirah, keagamaan sama seperti majalah al azhar. Pengisiannya hampir sama dengan majalah al-azhar, cuma penerbitnya ialah badan berautoriti macam JAKIM. Rasanya majalah ni diterbitkan buat kali pertama sekitar tahun 2000 (tak pasti)

 

Majalah al-Tawheed

Majalah ini diterbitkan oleh Jamaah Ansar Sunnah. Harga dalam 1-1.50. Biasanya memuatkan isu-isu keagamaan. Majalah ini pernah dituduh mendapat dana penerbitannya dari Arab Saudi sehingga ketua pengarang terpaksa menulis satu kolum menjelaskannya. Ambo kekadang merujuk isu isu hadis dari majalah ni. Siapa yang minat Albaniy kena baca majalah ni

 

Rose al-yusuf (rozelyusuf)

Ambo mula2 tengok majalah ni milik Auni Muhammad, antara tetamu tetap rumah sewa kami. Ambo cub abaca dan perasan majalah ni banyak memuatkan pandangan atau benda2 pelik (pelik bagi kami). Kami akan jumpa pandangan atau tulisan yang ditulis oleh golongan yang ingin membebaskan wanita daripada segala kekangan adat, budaya bahkan sehingga agama itu sendiri. Ada juga penulis yang menulis tentang al-Quran edisi kritis, sekali baca dah macam tulisan orientalis. Ambo banyak bertanya kepada senior bila baca majalah ni. Biasanya pandangan dalam rose el-yousuf yang pelik2 akan dijawab oleh ulama azhar samada dalam majalah azhar, akhbar azhar atau saluran lain. Ustaz kami selalu sebut, hujah mesti dijawab hujah. Maka antara gelanggang hujahan ialah majalah ni.

 

Majalah ini dah terbit sejak 1920an lagi oleh rose al-yusuf, seorang wartawan perempuan Lubnan. Asalnya majalah rose al-yusuf ni bercorak politik, namun ada juga dimasukkan unsur hiburan dan social. Kemudian presiden Gamal abdel nasir memiliknegarakan majalah ini, mula dikawal oleh kerajaan mesir. So perlantikan ketua pengarang dia dibuat oleh sebuah agensi kerajaan. Majalah ini dikeluarkan hampir 250k seminggu masa tahun 2000.

 

Al-Arabiy (Kuwait)

Majalah ini diterbitkan oleh Kementerian Penerangan Kuwait dan diedarkan ke seluruh dunia arab. Harga 1.25 sen tapi paling lawa dengan kertas bersinar-sinar dan kulit warna-warni. Memang tak lojik harga sebegitu tapi bila sebut Kuwait ni tak terasa pelik, geng kayangan. Majalah ini lebih kepada majalah sastera, politik,ekonomi dan social. Pernah kami anggap majalah ni sebagai readers digest arab. Agaknya kalau rancangan tv, majalah ni macam rancangan majalah3 kat TV3.

 

Ada dimuatkan ttg dunia arab meliputi seni, adat, budaya dan macam2 dari serata negara arab dari negara teluk ke hujung maghribi. Ambo banyak dapat info adat dan budaya teluk dari majalah ini. Harganya amat murah. Antara majalah wajib ambo beli. Antara yang ambo ingat ialah tentang perkembangan Dubai, Abu Dhabi, Douha dari sebuah area biasa biasa menuju ke kemuncak dunia.

 

Laras bahasanya agak tinggi. Ibarat baca majalah terbitan DBP. Berpeluh juga tangan membelek marbawiy, Wajiz, Wasit n etc nak faham majalah ni. Bila dah faham baca majalah al arabi ni akan terasa mudah bila baca majalah lain. Ambo sempat melihat koleksi majalah al-Arabiy ini di perpustakaan Tun Seri Lanang di UKM. Bagi yang ada cita-cita nak masuk fakulti Bahasa, ambo syorkan majalah ini sebagai bacaan wajib.

 

Al-Arabiy al-Saghir (Kuwait)

Majalah ni macam adik kepada al arabiy. Kandungannya penuh dengan lakaran kartun dan sesuai untuk kanak kanak. Ada juga info tentang sains dan teknologi. Harganya sekitar 1-1.50. kalau sapa minat kartun buleh la beli majalah ni. Ambo beli majalah ni sebagai koleksi. Sekali sekala buleh tengok satira atau kartun arab

 

Mickey Mouse

Majalah ini terjemahan daripada majalah asal yang berbahasa inggeris. Sebagaimana mickey mouse yang kita ketahui, majalah ni memaparkan geng mickey mouse. Ambo tak pernah baca sebab tak minat mickey mouse. Tapi ada pelajar kita yang tak miss majalah ni sebagai bahan pembelajaran dan menambah kosa kata.

 

Selain dari majalah yang ambo sebut tu, ada banyak lagi yang tak mampu disebut satu persatu. Ada yang keluar secara mingguan, ada yang keluar secara bulanan. Ada kata2 yang masyhur, KAHERAH YANG TULIS, BEIRUT YANG CETAK DAN SELURUH ARAB AKAN MENJADI PEMBACANYA. Begitulah yang boleh digambarkan suasana kaherah yang sentiasa berdebu. Kaherah ialah syurga buku dan bahan bacaan