Jumaat, 18 Jun 2021

Kenangan Kaherah (17)

 

Kenangan Kaherah (17)

 

AWAL 1998

Semester dua rasanya bermula februari. Masa tu cuaca masih sejuk cuma tak sesejuk masa Disember. Kami sebagai pelajar baru masih kena mandi air panas walaupun tengahari. Masih berbaju tebal namun ada yang dah mula mengurangkan lapisan baju sesuai dengan perubahan cuaca. Ada senior yang dah biasa dengan cuaca, mula memakai baju lengan pendek. Baju tebal berwarna gelap mula dibasuh kemudian disimpan ke dalam almari atau beg besar. Baju yang berwarna cerah dan nipis mula digunapakai. Ada yang dah mula berkain pelikat di atas rumah. Ambo masih takleh nak pakai baju lengan pendek atau kain pelikat lagi dalam rumah. Masih terasa kesejukannya. Kalau tak silap, suhu di siang hari mula mencecah sekitar 17-20 celcius. Ada sesetengah tempat mula berangin. Ada sesetengah tempat mula dilanda ribut pasir terutama masa cuaca nak berubah

 

Pasal ribut pasir (ada juga panggil ribut debu), kami selalu mengalaminya bila nak berlaku perubahan musim. Biasanya jabatan kajicuaca akan war-warkan jangkaan berlaku ribut pasir. Ada juga yang berlaku di luar jangkaan manusia, secara tiba2. Bila berlaku ribut pasir yang kuat, tak nampak jalan. Langit dah warna kuning dengan pasir. Cuaca pun buleh jadi gelap. Kemudian pasir halus tu berterbangan merata tempat. Kena tutup mulut, hidung dengan kain. Kalau tak, habis masuk pasir. Mata pun sama. kena pakai spek atau tekup mata. Nanti semuanya berpasir. Biasanya kalau ribut tu dah dalam jangkaan jabatan kajicuaca, kami dah berkurung dalam rumah.

 

Seingat ambo, ada sekali ambo hadapi ribut pasir yang kencang. Masa tu dah tahun 2001 di abbasiah. Ambo tutup semua jendela dan pintu namun pasir tu masih masuk melalui celah pintu dan tingkap. Kami sendal bawah pintu dengan kain tuala. Sendal tingkap dan segala lubang tu dengan kain. Kami terpaksa menutup semua bekas air dan makanan dengan baik. Kalau tutup ala kadar, bimbang pasir halus masuk dari luar ke dalam makanan. Dari dalam bilik, kami dapat dengar deruan angin kencang. Rasanya dalam 2 3 jam jugak. Tak dapat bayangkan kalau orang yang berada di jalanan pada masa tu.

 

Usai ribut pasir, biasanya sampah sarap macam kertas, plastic, kotak, daun2 akan penuh kat jalanan. Pekerja akan bertungkus lumus mengutip sampah selain menyapu debu yang dah berapa inci kat atas jalan. Ada juga yang basuh halaman rumah atau bangunan. Kaherah ni takder longkang atau saliran air macam Malaysia. So bila ramai yang membasuh, jalan2 akan penuh dengan air.  

 

Masa naik bas, ambo selalu terpandang suatu poster yang biasa terpampang di mall atau kedai-kedai besar. Poster filem Titanic. Biasanya poster sebegitu ditulis dalam Bahasa inggeris dan ada juga tulisan Arabic. Masa tu ambo nak baca nama Leonardo di Caprio dan kate winslet dalam tulisan arab rasa agak kekok. Kekadang kami baca nama English dalam tulisan arab ni jadi tak betul (ingat kisah micheal Oyen). Pada masa yang sama saluran tv Nile tv dah mula menyiarkan Celine Dion dengan My Heart Will Go On. Hampir setiap malam ada rancangan hiburan, asyik dok siarkan video klip tu. Majalah dan akhbar juga dah terkena demam Titanic. Baju2 tshirt dan beg sekolah yang ada gambar Caprio dan Winslet berlatarbelakangkan Titanic mula dijual. Ambo pernah terserempak dengan sekumpulan budak sekolah mesir sedang menyanyikan lagu Celine Dion di Zamalek. Hebat betul penangan Titanic.

 

Ada wartawan dan komentator tempatan mula bersuara tak begitu suka dengan pengaruh Titanic yang mula melanda jiwa anak2 muda mesir. Ada golongan yang cukup anti dengan orang luar terutama dari barat, ada yang menerima tapi dengan skeptic dan ada yang menadah tangan terbuka. Orang mesir selalu berbangga dengan budaya dan adat mereka serta memperbesarkannya. Adakalanya perasaan bangga mereka agak melampau, sehinggga terbuai dengan tamadun era Firaun dalam keadaan negara lain dah memecut laju meninggalkan mereka yang masih diulit dengan sejarah silam

 

Awal 1998 juga, pasukan bola mula rancak mempersiapkan diri utk world cup France 1998. Selain akhbar, majalah2 seperti al-ahram al-riyadiy penuh dengan liputan berita persiapan pasukan dunia. Walaubagaimanapun ambo lebih suka membaca akhbar untuk mendapatkan info bola berbanding majalah yang dikeluarkan secara bulanan

 

Masa mula sampai, ambo dah beli majalah tapi tak faham. So kuranglah membeleknya. Hanya sekadar tengok gambar terutama majalah yang berwarna warni di atas kertas bermutu tinggi seperti al-Arabi Kuwait. Walaupun tak baca ambo tetap beli. Pertama kerana harganya murah (kecuali majalah berbahasa asing sepert English atau French). Majalah yang kami beli biasanya sekitar 1-2 pound jer. Kedua sebagai rujukan terutama majalah seperti al-Azhar, al-minbar al-Islamiy, tasawwuf islamiy dan sebagainya. Majalah sebegini agak ilmiah. Isu perbicangannya sesuai dengan isu semasa, atau sesuai dengan peristiwa yang kita hadapi seperti isu hijrah nabi (muharram), isu kelahiran nabi (rabiul awwal), isu puasa (Ramadan) dan sebagainya. Ada majalah yang ringan. Ada juga majalah yang membicarakan isu-isu ilmiah. Mana yang sempat ambo beli walaupon ada yang tak sempar dibaca. Ketiga sebagai kenangan. Sekurang-kurangnya majalah sebegini menjadi diari masa bagi kami sepanjang berada di sini.

.

Majalah al-Azhar

Majalah ni diterbitkan oleh al-azhar sendiri. Harga dalam 1.25 sen dengan bilangan mukasurat mececah ratusan mukasurat. Artikel kat dalam tu ditulis oleh para professor, pensyarah dan ulama2 azhar. Majalah ini antara majalah wajib beli bagi ambo sepanjang berada disini. Biasa ada hadiah lagi, dapat sebuah buku kecil sebesar tapak tangan. Buku saiz poket ni sebagai sisipan dengan majalah

 

Ada kisah kawan ambo yang pulang bercuti di Malaysia. Pagi tu sampai kat kampung, kebetulan malam tu selepas maghrib ada ceramah Israk Mikraj (masa tu bulan Rajab). Penceramah kemudiannya tak dapat hadir. Pihak AJK masjid dan penduduk kampung minta dia yang baru pulang ke kampung tak sampai 24 jam untuk berucap ttg Israk Mikraj. Puas beliau fikir nak cakap apa, lalu diambilnya majalah azhar dan dibaca serta terjemah depan audien. Nak belek kitab tak sempat, majalah al-azhar yang dikeleknya. Tiada rotan kira akar pun berguna.

 

Al-Tasawwuf al-Islamiy.

Ambo tak ingat penerbitnya, tapi majalah ni banyak berbicara tentang sifat2 mahmudah, mazmumah dan sebagainya. Ada juga memuatkan tafsir ayat dan hadis tentang amalan hati. Juga ada ruangan soal jawab agama.

 

Minbar Islamiy

Majalah ini diterbitkan oleh Majlis Aala, agaknya macam JAKIM kalau kat negara kita. Banyak memuatkan tulisan berunsur tazkirah, keagamaan sama seperti majalah al azhar. Pengisiannya hampir sama dengan majalah al-azhar, cuma penerbitnya ialah badan berautoriti macam JAKIM. Rasanya majalah ni diterbitkan buat kali pertama sekitar tahun 2000 (tak pasti)

 

Majalah al-Tawheed

Majalah ini diterbitkan oleh Jamaah Ansar Sunnah. Harga dalam 1-1.50. Biasanya memuatkan isu-isu keagamaan. Majalah ini pernah dituduh mendapat dana penerbitannya dari Arab Saudi sehingga ketua pengarang terpaksa menulis satu kolum menjelaskannya. Ambo kekadang merujuk isu isu hadis dari majalah ni. Siapa yang minat Albaniy kena baca majalah ni

 

Rose al-yusuf (rozelyusuf)

Ambo mula2 tengok majalah ni milik Auni Muhammad, antara tetamu tetap rumah sewa kami. Ambo cub abaca dan perasan majalah ni banyak memuatkan pandangan atau benda2 pelik (pelik bagi kami). Kami akan jumpa pandangan atau tulisan yang ditulis oleh golongan yang ingin membebaskan wanita daripada segala kekangan adat, budaya bahkan sehingga agama itu sendiri. Ada juga penulis yang menulis tentang al-Quran edisi kritis, sekali baca dah macam tulisan orientalis. Ambo banyak bertanya kepada senior bila baca majalah ni. Biasanya pandangan dalam rose el-yousuf yang pelik2 akan dijawab oleh ulama azhar samada dalam majalah azhar, akhbar azhar atau saluran lain. Ustaz kami selalu sebut, hujah mesti dijawab hujah. Maka antara gelanggang hujahan ialah majalah ni.

 

Majalah ini dah terbit sejak 1920an lagi oleh rose al-yusuf, seorang wartawan perempuan Lubnan. Asalnya majalah rose al-yusuf ni bercorak politik, namun ada juga dimasukkan unsur hiburan dan social. Kemudian presiden Gamal abdel nasir memiliknegarakan majalah ini, mula dikawal oleh kerajaan mesir. So perlantikan ketua pengarang dia dibuat oleh sebuah agensi kerajaan. Majalah ini dikeluarkan hampir 250k seminggu masa tahun 2000.

 

Al-Arabiy (Kuwait)

Majalah ini diterbitkan oleh Kementerian Penerangan Kuwait dan diedarkan ke seluruh dunia arab. Harga 1.25 sen tapi paling lawa dengan kertas bersinar-sinar dan kulit warna-warni. Memang tak lojik harga sebegitu tapi bila sebut Kuwait ni tak terasa pelik, geng kayangan. Majalah ini lebih kepada majalah sastera, politik,ekonomi dan social. Pernah kami anggap majalah ni sebagai readers digest arab. Agaknya kalau rancangan tv, majalah ni macam rancangan majalah3 kat TV3.

 

Ada dimuatkan ttg dunia arab meliputi seni, adat, budaya dan macam2 dari serata negara arab dari negara teluk ke hujung maghribi. Ambo banyak dapat info adat dan budaya teluk dari majalah ini. Harganya amat murah. Antara majalah wajib ambo beli. Antara yang ambo ingat ialah tentang perkembangan Dubai, Abu Dhabi, Douha dari sebuah area biasa biasa menuju ke kemuncak dunia.

 

Laras bahasanya agak tinggi. Ibarat baca majalah terbitan DBP. Berpeluh juga tangan membelek marbawiy, Wajiz, Wasit n etc nak faham majalah ni. Bila dah faham baca majalah al arabi ni akan terasa mudah bila baca majalah lain. Ambo sempat melihat koleksi majalah al-Arabiy ini di perpustakaan Tun Seri Lanang di UKM. Bagi yang ada cita-cita nak masuk fakulti Bahasa, ambo syorkan majalah ini sebagai bacaan wajib.

 

Al-Arabiy al-Saghir (Kuwait)

Majalah ni macam adik kepada al arabiy. Kandungannya penuh dengan lakaran kartun dan sesuai untuk kanak kanak. Ada juga info tentang sains dan teknologi. Harganya sekitar 1-1.50. kalau sapa minat kartun buleh la beli majalah ni. Ambo beli majalah ni sebagai koleksi. Sekali sekala buleh tengok satira atau kartun arab

 

Mickey Mouse

Majalah ini terjemahan daripada majalah asal yang berbahasa inggeris. Sebagaimana mickey mouse yang kita ketahui, majalah ni memaparkan geng mickey mouse. Ambo tak pernah baca sebab tak minat mickey mouse. Tapi ada pelajar kita yang tak miss majalah ni sebagai bahan pembelajaran dan menambah kosa kata.

 

Selain dari majalah yang ambo sebut tu, ada banyak lagi yang tak mampu disebut satu persatu. Ada yang keluar secara mingguan, ada yang keluar secara bulanan. Ada kata2 yang masyhur, KAHERAH YANG TULIS, BEIRUT YANG CETAK DAN SELURUH ARAB AKAN MENJADI PEMBACANYA. Begitulah yang boleh digambarkan suasana kaherah yang sentiasa berdebu. Kaherah ialah syurga buku dan bahan bacaan

Tiada ulasan: