Ahad, 14 Julai 2013

Perang Hunain(atau Wadi Hunain)



3.4 Perang Hunain(atau Wadi Hunain)
Di bahawa tajuk perang Hunaian terdapat tajuk-tajuk kecil yang mudah dan ringkas :

1) kaum Hawazin tetap memusuhi kaum muslimin
2) usaha Malik bin Auf menyatukan kabila-kabilah hawazin memerangi nabi
3) tentera hawazin berkumpul di lembah Autas
4) Malik bin Auf berdebat dengan Duraid al-Shimmah
5) tentera hawazin kemudian berkumpul di lembah Hunain

Pengarang menceritakan bagaimana perasaan kaum Hawazin dan kabilah-kabilah Arab di sekitarnya apabila mendengar kejayaan Rasulullah SAW membuka Mekah. Mereka masih ingat bahawa nabi itulah nabi yang pernah mereka halau dari Mekah suatu ketika dahulu. Golongan musuh dipimpin oleh Malik Bin Auf, pemimpin muda Hawazin yang berusaha meniup semangat kaum-kaum Arab yang lain supaya bersatu bersama Hawazin menentang Rasulullah SAW. Seruannya disambut oleh suku Thaqif di bawah pimpinan Kinanah bin Abdul Yalail dan Jusyam di bawah pimpinan panglima yang telah terlalu tua, Duraid al-Syimmah

Peristiwa tentan perang Hunain dimuatkan dalam4  bab iaitu bab 209 hingga 212 pada helaian 1322 hingga 1351. Pengarang meletakkan sebab-sebab atau punca berlakunya peperangan pada bab 209, bermula dengan permusuhan kaum Hawazin terhadap muslimin dan usaha Malik bin Auf termasuklah perdebatannya dengan Duraid al-Syimmah, panglima tua dalam soal strategi peperangan.

Dalam bab 210 pengarang menyebut tentang peristiwa pra peperangan bagi kedua-dua belah pihak. Bagi pihak muslimin, nabi membuat persediaan dengan menghantar pengitip, meminjam senjata dan kelengkapan perang dari golongan musyrikin, mengatur kedudukan tentera dan sebagainya.

Sementara bab ke 211 barulah bermula peperangan dengan serangan gerila yang dilakukan oleh tentera Hawazin di lembah Hunain yang menggemaparkan tentera Islam di barisan hadapan. Serangan ini menyebabkan pasukan Muslimin hampir kalah. Namun keberanian rasulullah SAW dan kaum muslimin, dengan bantuan dari langit membolehkan tentera Islam kembali menerajui peperangan. Peperangan ini dimenangi oleh pihak Rasulullah SAW dengan harta rampasan yang cukup banyak


3.5 Pengajaran Dari Perang Wadi Hunain
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peritiwa ini. Namun penulis hanya mengemukakan2 sahaja iaitu sifat takabbur dan keizinan membunuh orang tua yang terlibat secara langsung dalam perang

3.5.1 Angkuh & Takabbur
Kekuatan angkatan perang Rasulullah SAW adalah seramai 12000 orang tentera. Diantaranya ialah 2000 kaum Quraisy yang baru memeluk Islam pada hari pembukaan Mekah dan 80 orang yang masih Musyrik. Inilah peperangan di zaman Rasulullah SAW yang mana pasukan tentera Islam dilihat mempunyai kelebihan berbanding lawan. Berbanding dengan perang Badar, Uhud, Ahzab dan peperangan kecil yang lain, jumlah dan kekuatan zahir seperti kelengkapan perang sentiasa menyebelahi kaum Musyrik Mekah. Namun bermula dengan pembukaan Mekah dan seterusnya Hunain, angkatan perang Muslimin cukup gah dengan tentera yang ramai, tentera berkuda di barisan hadapan bagaikan kereta kebal, kelengkapan perang seperti baju besi dan sebgainya. Hal ini menimbulkan perasaan angkuh dan takabbur. Pengarang menggambarkan suasana ini:

( dalam perjalanan menuju ke lembah Hunain itu, boleh dikatakan sebahagian besar tentera Islam itu merasa gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai para pejuang di jalan Allah. Namun di sebalik kegembiraan itu, terselit pula rasa gembira yang berlainan sekali. Kegembiraan yang berdasarkan kepada kekuatan pasukan. Kegembiraan yang diresapi oleh perasaan bahawa mereka sekali ini akan beroleh kemenangan menentang musuh kerana jumlah mereka yang cukup ramai)[1]

Sambungnya lagi:
( Kegembiraan itu bukan setakat bermain di dalam hati sahaja, tetapi telah melempah sampai ke luar. Sampai ke telinga nabi. Sungguhpun ucapan itu terbit dari mulut seorang askar sahaja, tetapi sungguh amat tidak menyenangkan hati nabi. Ini kerana kata-kata itu mengandungi unsur-unsur bongkak, takabbur, lupa kepada Allah dan bersifat jahiliah. Kata-kata yang nabi dengar itu berbunyi” Kita tidak akan dikalahkan pada hari ini kerana jumlah yang sedikit”)

Setengah riwayat lain pula meriwayatkan:
“(Kita yakin bahawa kemenangan pasti akan jatuh ke tangan kita. Pihak musuh pasti tidak akan dapat menewaskan kita kerana jumlah kita yang ramai ini”)

Kesimpulannya, jumlah yang ramai dan kelengkapan perang yang lengkap bukanlah menjadi faktor mutlak untuk memenangi perang. Sejarah telah membuktikan bahawa terdapat jumlah askar yang sedikit dapat mengalahkan pasukan tentera yang lebih ramai. Contoh yang paling mudah ialah seperti di perang Badar. Justeru itu, hendaklah kita meletakkan pergantungan hati kepada Allah sepenuhnya selepas berusaha sedaya upaya.

3.5.2 Keizinan Membunuh Orang Tua Dalam Peperangan
Dalam peperangan ini, suku Jusyam telah bersatu dengan Hawazin menentang Rasulullah SAW. Mereka dipimpin oleh seorang tua yang bernama Duraid al-Syimmah berusia 150 tahun. Duraid mempunyai akal fikiran yang licik dan memberi pendapatnya dalam peperangan tersebut. Kesudahannya dia tewas dan dibunuh oleh Ibnu Dughanah. Kalau dikira dari segi hukum asal dalam peperangan, tentera Muslimin dilarang membunuh kaum wanita dan kanak-kanak, orang tua yang lemah dan tidak berupaya, paderi-paderi dan pendeta yang mengasingkan diri dalam biara serta memusnahkan ternakan dan tanaman. Ini adalah sebahagian hukum asal. Namun dalam kes Duraid, beliau dibunuh kerana terlibat secara langsung dalam peperangan dengan memberikan pendapatnya dan mengatur strategi menentang Rasulullah SAW.





[1] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.1333

Tiada ulasan: