Ahad, 14 Julai 2013

ulasan buku...penutup



BAB IV
PENUTUP
Secara keseluruhannya, buku Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW hasil buah tangan Tarikuddin Hassan merupakan sebuah buku yang baik dan perlu dibaca oleh setiap mereka yang mengaku mencintai Rasulullah SAW.  Walaupun tebal dan kelihatan terlalu ilmiah, namun dengan gaya bahasa yang mudah dan santai menjadikan kita tidak berasa bosan membaca buku ini.
Selain itu, susunan bab berserta tajuk-tajuk kecil yang tersusun memudahkan kita untuk menyemak kembali pembacaan kita. Bagi pembaca yang sudah biasa membaca buku-buku sirah, menatap tajuk-tajuk kecil berkenaan sudah cukup untuk refresh kembali apa yang dibaca.
Dengan membaca buku ini, kita akan dapat menggambarkan kepayahan dan kesusahan yang ditempoh oleh Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam. Seolah-olah tergambar di fikiran kita hiruk-pikuk suasana perang di lembah Hunain. Seolah-olah terbayang di mata kita perjalanan Rasulullah SAW bersama 3 orang pengiringnya merentasi laluan pantai di tepi Laut Merah menuju ke Madinah dalam peristiwa hijrah. Sememangnya keseluruhan perjalanan hidup Baginda SAW memberikan suatu motivasi dan perangsang kepada kita untuk menuruti jejaknya.
Kalaulah penulis diminta memberi bintang kepada karya ini, dengan menjadikan angka 10 sebagai angka tertinggi dan angka 0 sebagai tahap terendah, penulis akan meletakkan karya ini pada tahap 9 dalam kategori buku-buku sirah berbahasa melayu.
Walaupun demikian, buku ini juga menghadapi cabaran dan permasalahan yang sama dengan buku-buku sirah yang lain iaitu masalah sumber periwayatan. Pada zaman sekarang sudah ada cadangan daripada para ulama supaya menilai kembali peristiwa-peristiwa yang dimuatkan dalam buku-buku sirah menggunakan metodolgi ilmu hadis. Itulah sebabnya sesetengah peristiwa yang diriwayatkan dalam buku-buku sirah tidak terdapat dalam riwayat-riwayat hadis. Penulis secara jujurnya bersetuju dengan saranan demikian supaya setiap berita tentang Rasulullah SAW ditapis, disemak, diteliti dan disaring sebagaimana ilmu hadis. Walaupun ini akan menyebabkan sesetengah cerita tergantung dan tiada kesinambungan, namun cukuplah bagi kita dengan apa-apa yang sahih dari Rasulullah SAW kerana Baginda SAW bukanlah merupakan watak-watak dalam hikayat dongeng yang boleh ditokok tambah

Tiada ulasan: