Thursday, February 14, 2013

HIKMAH PENGHARAMAN RIBA



2.5 HIKMAH PENGHARAMAN RIBA
Dalam masalah ini, para ulama telah berselisih pendapat kepada 2 golongan. Golongan yang pertama mengatakan bahawa hikmat pengharaman riba merupakan perkara tacabudiyyah (ibadat). Maknanya Allah telah mengharamkan riba ke atas kita dengan kita tidak perlu lagi mencari hikmat pengharamannya kerana ia termasuk di dalam perkara tacabbudiy. Keadaan ini samalah seperti kita tidak tahu hikmat kenapa solat zohor 4 rakaat, bukannya 5 atau 3 rakaat.[1]
Sementara golongan kedua berpendapat bahawa hikmat pengharaman riba merupakan perkara yang dapat diketahui dan difahami. Ini kerana pengharaman riba termasuk di dalam ketegori urusan muamalat sesama manusia. Menurut kebiasaannya, akal manusia mampu untuk mencari dan melihat sesuatu hikmah di sebalik sebarang hukum yang bersangkut paut dengan urusan muamalat.[2]
Di antara hikmat pengharaman riba ialah:[3]
1) riba merupakan perbuatan mengambil harta orang lain tanpa berlaku sebarang pertukaran. Ini kerana orang yang menjual 1 dirham dengan harga 2 dirham dengan cara lani atau tangguh sebenarnya telah menghasilkan dirham tambahan tanpa sebarang pertukaran melalui proses jual beli dan sebagainya. Ini merupakan suatu perbuatan eksploitasi dan penindasan.
2) riba juga menyuburkan sikap malas berkerja kerana orang kaya yang berharta tidak perlu lagi bersusah-payah untuk berniaga, berfikir bagaimana memasarkan barangan jualanya atau projek pelaburannya. Apa yang perlu mereka lakukan ialah memberi hutang  atau pinjaman kepada mana-mana pihak yang memerlukannya dengan kadar faedah. Keadaan ini akan mewujudkan golongan yang malas berkerja dan perbuatan ini bertentangan dengan Islam
3) riba juga boleh menyebabkan penindasan dan menyuburkan sifat permusuhan sesame manusia. Ia juga dapat menghilangkan rasa kasih-sayang dan saling menolong sesama manusia. Ini cukup bertentangan dengan sifat agama langit khasnya Islam yang sentiasa menyeru kepada tolong-menolon ke arah kebaikan.[4]


[1] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah, hlm.15; Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2-3

[2] Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2

[3] Ramadan Hafiz Abdul Rahman, Mawqif al-Shariah al-Islamiyyah Min al-Bunuk Wa Sunduq al-Tawfir Wa Shahadah al-Istithmar, Dar al-Salam, Kaherah, hlm.15-16; Al-Zuhayliyy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dar al-Fikr, Damsyik-Syria, jil.4, hlm.668; Zaharuddin Abd. Rahman, Riba Dan Isu Kewangan Semasa, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, hlm.2

[4] Al-Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, al-Fath Li al-I’lam al-Arabiy, Kaherah, jil.3, hlm.124

No comments: