Sunday, July 14, 2013

analisa topik dan pengajaran....hijrah



BAB III

ANALISA TOPIK DAN PENGAJARAN

Penulis memilih 2 topik sahaja untuk dibuat analisa iaitu topik berkenaan dengan peristiwa hijrah dan perang Hunain.


3.1 Hijrah
Pengarang menceritakan peristiwa hijrah bermula dari bab 43 sehingga bab 50. Peristiwa ini diceritakan secara terperinci bermula dengan keizinan Allah kepada kaum Muslimin untuk berhijrah (bab 43), hijrah nabi ke Madinah (44), mesyuarat Quraisy untuk membunuh Nabi SAW (45), persembunyian nabi di gua Thur (46), usaha Quraisy menjejaki nabi (48) sehinggalah Nabi Muhammad SAW disambut oleh penduduk Madinah (50).

3.2 Hijrah Berlaku Pada Waktu Malam Atau Siang?
Pengarang menjelaskan bahawa peristiwa hijrah berlaku pada waktu malam. Pada malam berkenaan, pemuda Quraisy mengepung rumah baginda SAW. Menjelang tengah malam nabi keluar melalui pintu rumah Baginda sambil membaca beberapa potong ayat-ayat al-Quran dari surah Yasin lalu melemparkan pasir kepada pemuda-pemuda Qurasiy sehingga mereka tertidur. Sebelumnya baginda menyuruh Ali bin Abu Talib tidur di tempat Baginda menggantikannya.[1]

Riwayat bahawa Rasulullah SAW berhijrah pada waktu malam bertentangan dengan riwayat yang sahih dari Bukhari dan lain-lain yang menjelaskan bahawa Rasulullah berhijrah pada siang hari. Tidak ada kisah rumah baginda dikepung, perjalanan malam, kisah Ali menggantikan tempat tidur Baginda dan sebagainya. Begitu juga kisah labah-labah membuat sarang di Gua Thur, ianya tidak sahih. Memang Rasulullah bersembunyi di Gua Thur tapi tiada riwayat yang sahih berkenaan labah-labah membuat sarang. Justeru itu, penulis bersetuju kalau dikatakan bahawa pengarang memasukkan riwayat berdasarkan kepada sumber-sumber yang lemah.[2]

3.3 Pengajaran dari Hijrah
Banyak pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa hijrah. Walau bagaimanapun penulis hanya menyenaraikan 2 pengajaran sahaja iaitu berusaha memiliki sendiri barang-barang yang digunakan pada jalan Allah dan perancangan teliti Baginda SAW ketika hijrah.

3.3.1 Berusaha Memiliki Barangan Sendiri
Pengarang menjelaskan saat-saat ketika nabi diminta oleh Abu Bakar supaya memilih salah seekor daripada 2 ekor unta yang dibawa oleh Abdullah Uraiqit kepadanya. Baginda menolak pemberian Abu Bakar dan mahu membayar harga unta itu. Kata pengarang:

(ini menjadi satu pengajaran atau hukum kepada umat Islam bahawa kita sebagai umat Islam tidak sewajarnya menggunakan barang-barang kepunyaan orang lain terutama untuk berjuang atau melakukan ibadat kepada Allah. Tetapi berusahalah membelinya agar barang-barang yang ktia gunakan untuk berjuang di jalan Allah atau untuk beribadat itu adalah milik kita sendiri)[3]

3.3.2 Perancangan Teliti
Kita juga dapat melihat betapa hebatnya perancangan Rasulullah SAW dalam peristiwa ini. Sebelum hijrah Abu Bakar awal-awal lagi telah membeli 2 ekor unta dan memberinya kepada Abdullah Uraiqit untuk menjaganya. Unta inilah yang digunakan dalam mengharungi perjalanan jauh ke Madinah. Selain itu, apabila keluar dari rumahnya Baginda SAW bersama Abu Bakar tidak terus menuju ke arah utara (Madinah). Sebaliknya mereka menuju ke selatan dan bersembunyi di Gua Thur. Apabila Rasulullah SAW bersama Abu Bakar mendaki dan bersembunyi di gua ini, keesokan harinya Amir bin Fuhairah menjalankan tugasnya mengembala kambing di kaki bukit. Tujuannya untuk memadam kesan-kesan tapak kaki mereka di kaki bukit. Pada sebelah malamnya Amir bin Fuhairah akan memerah susu kambing untuk dibawa kepada Baginda dan Abu Bakar. Abdullah, anak lelaki abu bakar pula ditugaskan sebagai pengintip. Beliau akan mendengar segala percakapan Quraisy dan perancangan mereka tentang baginda. Sementara Asma’ Abu Bakar pula ditugaskan membawa makanan ke gua.

Selepas 2 hari 3 malam, Baginda SAW bersama Abu Bakar keluar dari Gua Thur menuju ke Madinah menggunakan laluan Tihamah di tepi Laut Merah. Laluan ini merupakan laluan yang jarang digunakan orang khasnya puak Quraisy. Abdullah Uraiqit menjadi penunjuk jalan kepada mereka.

Tegasnya peristiwa hijrah memberi pengajaran kepada kita supaya merancang dengan teliti sesuatu perkara dan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan sesuatu kerja sebelum menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Baginda SAW merupakan seorang nabi dan rasul yang sentiasa dipelihara Allah merancang setiap gerak kerja dakwahnya dengan teliti, seharusnya kita juga merancang dan merencana setiap gerakan dakwah dengan baik, mengambil kira hukum sebab musabbab selain bertawakkal kepada Allah



[1] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.384-385

[2]

[3] Tarikuddin Hassan, Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar Nabi Muhammad SAW, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, hlm.397

No comments: