1.5
Hikmah Zakat
Zakat mempunyai hikmat dan faedah yang
cukup banyak. Ia memberi kebaikan kepada orang yang mengeluarkan zakat dan
orang yang mengambil atau menerimanya. Di antara hikmat atau kebaikan tersebut
ialah:[1]
1) Dapat beribadah kepada Allah SWT
dengan lebih tenang. Ini kerana dengan berzakat, pengeluarnya dapat membiasakan
dirinya bersifat dengan sifat mulia seperti pemurah dan dapat mencabut sifat
mazmumah seperti sifat kikir, bakhil, rakus dan tamak.[2] Seterusnya melahirkan
ciri-ciri masyarakat mukmin sebagaimana firman Allah SAW yang bermaksud:
(Dan orang-orang yang beriman, lelaki
dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka
menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.
Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana)[3]
2) Membantu fakir miskin dan
meringankan beban mereka yang berada dalam kesusahan dan kesulitan.
Pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan
material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi
seolah-olah sebatang tubuh. Zakat juga menjadi faktor penyebab untuk mendapat
rahmat Allah seperti FirmanNya yang bermaksud:
(Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap
sesuatu, maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang
memberi zakat)[4]
3) Merapatkan jurang perbezaan
kekayaan yang keterlaluan dalam masyarakat Islam. Ia merupakan syarat untuk
mendapatkan bantuan daripada Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
(Dan sesungguhnya Allah akan tolong
sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat,
lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi
zakat)[5]
4) Zakat juga menguatkan ikatan
persaudaraan dan kasih sayang di antara pengeluar zakat dan masyarakat
(penerima)[6]. Apabila golongan kaya
mengeluarkan zakat dan mengagihkannya kepada ahli masyarakat yang
memerlukannya, akan timbul rasa kasih sayang, persaudaraan sesame mereka.
Kesemua ini akan mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan.
5) Zakat ini jugalah yang dianggap
sebagai ciri-ciri mukmin yang berhak mewarisi syurga firdaus sebagaimana
firmanNya yang bermaksud:
(Dan mereka yang berusaha membersihkan
hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu))[7]
6) Zakat menghapuskan banyak faktor
pengangguran. Di antara sebab pengangguran yang utama ialah orang fakir tidak
memiliki kadar harta yang minimum untuk memulakan perniagaan, perusahaan atau
pun sebarang bentuk pekerjaan. Apabila zakat dilaksanakan sebagaimana yang
sepatutnya, mereka (orang fakir yang berkemahiran) akan mempunyai modal untuk
memulakan perusahaan dan kerjaya mereka. Secara tidak langsung, ini akan
menyempitkan ruang pengangguran[8]
9) Zakat menggalakkan seseorang
berkerja keras dan tabah menghadapi cabaran. Dengan memindahkan sebahagian
harta melalui zakat yang diambil daripada orang kaya untuk orang yang miskin,
fakir, pemungut zakat, muallaf, orang yang dibebani hutang dan selainnya
merupakan satu metod yang akan menggalakkan mereka untuk berkerja lebih keras,
sabar dan tabah serta setia dan jujur terhadap masyarakat. Ini akan menambahkan
daya usaha dan pendapatan mereka, lalu menjadikan masyarakat lebih mantap dan
harmoni[9]
[1] http://www.zakatkedah.com/index.php/pedoman/hikmah-zakat, Muhammad Bakr Ismail, al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah
Ala al-Mazahib al-Arbaah, Dar al-Manar, Kaherah, 1997, Jil.1, hlm.456-457, al-Raziy, Muhammad Fakhr al-Din Ibn
Umar, Tafsir Fakhr al-RaziyTafsir
al-Kabir Wa Mafatih al-Ghayb, Dar al-Fikr Li al-Tabacah Wa
al-Nashr Wa al-Tawzic,Beirut, jil 32, hlm.105, Ismail Kamus, Mohd
Azrul Ab. Hamid, Indahnya Hidup
Bersyariat, Telaga Biru Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2009, hlm. 158
[2]
Abdullah Muhammad Basmeh, Mastika Hadis
Rasulullah SAW, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala
Lumpur, 1995, jil.3, hlm. 156
[3]
Al-Taubah, 71
[4]
Al-Aaraf, 156
[5] Al-Hajj, 40-41
[6] Abdullah Muhammad Basmeh, Mastika Hadis Rasulullah SAW, Bahagian
Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, 1995, jil.3, hlm. 157
[7] Al-Mukminun, 4
[8] Ali al-Syarbajiy, Mustafa
al-Khin, Mustafa al-Bugha, al-Fiqh
al-manhajiy, al-Dar al-Shamiah, Beirut, 2005, jil.1, hlm 328
[9] Abdul
Basit Abdul Rahman, Keindahan Islam,
Telaga Biru Sdn. Bhd., Selangor, 2012, hlm.85
Tiada ulasan:
Catat Ulasan