Khamis, 2 Ogos 2012

Pemindahan zakat oleh pemerintah


BAB III

PEMINDAHAN ZAKAT OLEH PEMERINTAH


Pendahuluan
Zakat bukanlah merupakan ibadat semata-mata bahkan lebih dari itu ia merupakan sistem yang menentukan bagaimana harta akan dipungut, kadar dan jenis harta yang dikenakan zakat dan seterusnya ia menentukan dan menyusun sistem pengagihan yang cukup hebat. Justeru itu, zakat tidak dapat dipisahkan daripada pemerintah samada ianya melibatkan pungutan, menentukan siapa yang berhak dan pengagihan.


3.1 Peranan Pemerintah Dalam Pengagihan Zakat
Persoalannya adakah pemerintah boleh memindahkan harta zakat? Kalau ianya diharuskan, apakah keharusan itu tidak terikat dengan terdapatnya golongan yang berhak yang menetap atau tinggal di dalam kawasan pungutan atau adakah pemerintah mempunyai kuasa mutlak boleh memindahkan harta zakat keluar daripada kawasan pungutannya.

3.1.1 Pendapat Syafiiyyah
Dalam masalah pengagihan keluar dana zakat ini, golongan Syafiiyah merupakan golongan yang agak ketat menghalang pengaliran keluar harta zakat. Namun larangan ini jika melibatkan individu. Jika ia melibatkan pemerintah, ianya harus. Kata al-nawawi:[1]

ان كان الامام أذن للساعى فى تفريقها فرقهاو وان لم يأذن له حملها إلى اللإمام

(maksudnya: jika pemerintah memberi keizinan kepada pegawainya untuk mengagihkannya bolehlah pegawai itu melaksanakannya dan jika sebaliknya (tidak memberi keizinan) pegawai itu mestilah menyerahkannya kepada pemerintah.

Katanya lagi:[2]

واعلم أن عبارة المصنف (المذكورة) تقتضى الجزم بجواز نقل الزكاة للإمام و الساعى وأن الخلاف المشهور فى نقل الزكاة انما هو فى نقل رب الماك خاصة

(maksudnya: ketahuilah bahawa ibarat pengarang yang telah disebut merupakan suatu kepastian tentang keharusan memindahkan zakat kepada pemerintah dan pegawainya. Sesungguhnya perbezaan pendapat yang masyhur di dalam pengagihan keluar dana zakat hanya jika ia dilakukan oleh tuan atau golongan pembayar zakat secara khusus

Imam al-Rafii pula menegaskan:[3]

وهذا الذى رجحه هو الراجح الذى تقتضيه الحديث

Inilah pendapat yang rajih yang menepati kehendak hadis

3.1.2 Pandangan Syeikh Qardawi[4]

Syeikh Qardawi menukilkan di dalam karya monumentalnya bahawa hukum asal pada zakat ialah diagihkan di dalam kawasan pungutan. Hal ini untuk menjaga kehormatan jiran tetangga, membasmi kemiskinan dan melatih setiap kampung atau negeri mempunyai sumber kewangan dan pengagihannya sendiri. Selain itu, harta zakat juga mempunyai kesan yang mendalam ke dalam hati orang miskin di kawasan berkenaan. Justeru kalaulah dikutip harta zakat di sesebuah kampung lalu diagihkan di luar kawasannya ini akan menjadikan mereka berasa sedih sedangkan mereka yang merupakan jiran orang kaya di kampung berkenaan lebih utama untuk menerima zakatnya berbanding dengan penduduk luar. Inilah hukum asal zakat.

Walaubagaimanapun tegas Qardawi lagi bahawa hukum asal ini tidak menghalang pemerintah yang adil untuk keluar daripadanya dengan mengagihkan zakat di luar kawasan pungutan setelah mengadakan mesyuarat dengan ahli syura. Pemerintah juga mestilah melihat kepada maslahat dan kebaikan menyeluruh untuk umat Islam. Beliau berhujah dan memetik kata-kata Sahnun:

(Apabila sampai berita kepada penguasa bahawa di sebahagian daerah terdapat keperluan yang luarbiasa, maka boleh baginya memindahkan sebahagian sedekah yang merupakan hak orang lain, bagi daerah itu, kerana apabila terdapat sesuatu keperluan maka wajib mendahulukannya dari orang yang belum memerlukan)[5]

Tegasnya pengagihan keluar dana zakat itu dibenarkan berlaku kerana daerah luar itu sangat-sangat memerlukannya dan orang-orang tempatan pula tidak memerlukannya lagi. Hal ini selari dengan pendapat ulamak Syafi’i dan Hanbali. Mereka berpendapat zakat yang dipungut mesti digunakan di daerah di mana zakat itu dipungut kecuali daerah tersebut sudah tidak ada lagi mustahiknya. Kalau diagihakn juga keluar sedangkan orang-orang di daerahnya masih memerlukan, hukumnya adalah berdosa[6]

Pengagihan keluar ini janganlah melibatkan keseluruhan harta zakat. Namun kalaulah penduduk di sebuah kampung itu tidak lagi memerlukan zakat, pada masa ini pemerintah bolehlah mengeluarkan kesemuanya untuk diagihkan ke tempat yang lebih memerlukan.[7]






[1] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 819

[2]ibid
[3] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 815

[4] Ibid, hlm.815

[5] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, 2006, jil.10, hlm 258

[6] Muhammad Shukri Salleh, Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis, Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP), Universiti Sains Malaysia (www.ukm.my/hairun/.../paper-zakat-shukri)

[7] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 815

Tiada ulasan: