Khamis, 2 Ogos 2012

Hukum memindahkan zakat: pandangan ulama


BAB II

HUKUM MEMINDAHKAN ZAKAT: PANDANGAN ULAMA

2.1 Pendahuluan
Pentadbiran harta perolehan dalam sesebuah negara Islam terutamanya bahagian hasil kutipan zakat telah memperkenalkan satu kaedah atau sistem yang mesti dipatuhi oleh para amil iaitu:[1]
ان توزع فى الاقليم الذى تجبى منه
(maksud: zakat hendaklah diagih di tempat ia dikutip)
Perkara ini cukup penting terutamanya jika melibatkan zakat ternakan, bijian dan buah-buahan. Manakala bagi zakat wang, sistem yang diamalkan oleh kerajaan Islam pada masa itu ialah:[2]
انها تتبع المال لا المالك
(Mmaksud: agihan zakat mengikut kedudukan harta, bukan mengikut pemilik)
Syeikh Qalyub di dalam kitabnyai telah menakrifkan agihan keluat daripada tempat kutipan sebagai:[3]

ان يعطى منها من لم يكن فى محلها وقت الوجوب سواء اكان من أهل ذلك المحل ام من غيرهم سواء أحرجه عن المحل ام جاءوا وقت الوجوب اليه

(maksudnya: zakat diagihkan kepada asnaf yang tidak beraada di daerah kutipan waktu dikutip, samada ia pendudukan asal atau pendatang waktu zakat dikutip, tau dana zakat dihantar keluar daerah)
Bahagian ini akan memaparkan pendapat para ulama dalam masalah pemindahan keluar harta zakat dari kawasan pungutan berdasarkan situasi dan juga pandangan 4 mazhab. Selain itu pandangan ulama-ulama lain yang dipetik daripada kitab tafsir dan kitab khas berkenaan masalah ini juga dinukilkan

2.2 Hukum Memindahkan Zakat Berdasarkan Situasi Penduduk Setempat
Ada 2 keadaan agihan zakat keluar daerah. Pertamanya zakat diagihkan keluar kerana penduduk tempatan tidak memerlukannya dan kedua agihan dipindahkan keluar sedangkan penduduk tempatan masih memerlukan bahagian agihan.
2.2.1 Situasi 1: Penduduk Setempat Tidak Memerlukan Agihan Zakat
Dalam keadaan pertama, Jumhur Ulama mengharuskan pemindahan dana zakat keluar daripada kawasan kutipan.
Maksud penduduk setempat tidak memerlukan zakat ialah tiada kedapatan golongan yang berhak menerima zakat di sesebuah kawasan pungutan atau harta zakat mempunyai lebihan yang banyak sedangkan golongan yang berhak menerimanya telah pun diagihkan haknya. Pada masa ini zakat bolehlah diserahkan kepada pemerintah untuk disalurkan mengikut pertimbangan dan budi bicaranya atau si pembayar zakat sendiri yang memindahkan hartanya ke kampung yang berdekatan.[4]
Mengikut pendapat sebahagian mazhab Syafie dan Maliki, agihan ini diwajibkan jika tidak terdapat golongan yang berhak menerima zakat sedangkan harta zakat masih banyak atau tidak terdapat golongan yang berhak menerimanya. Kata al-Dasuqi:[5]

ان لم يكن بمحل الوجوب او قرية مستحق فانها تنقل كلها وجوبا لمحل فيه مستحق ولو على مسافة القصر
(maksudnya: jika tidak terdapat asnaf yang memerlukan agihan zakat di tempat zakat dikutip, dana tersebut wajib diagihkan ke tempat lain semuanya, biarpun tempat itu jauh melebihi had qasar solat)
Dalam riwayat yang dinukilkan daripada Abu Ubaid, Muaz yang merupakan seorang pegawai zakat pada masa Nabi Muhammad SAW dan Umar al-Khattab telah menyerahkan baki zakat yang tidak dapat diagihkan kepada Umar. Walaubagaimanapun Umar telah memulangkan semula kepada Muaz walau pun Muaz telah menceritakan bahawa di kawasan pungutan zakat itu sudah tiada lagi golongan yang memerlukannya. Jelasnya, dana zakat yang tidak dapat dihabiskan agihan di tempat pungutan harus dipindahkan keluar kawasan.[6]
Syeikh Qardawi pula berpendapat bahawa harus membawa keluar harta zakat dari kawasan agihan berdasarkan situasi di atas dan keharusan ini merupakan suatu perkara ijmak.[7]



2.2.2 Situasi Kedua: Pemindahan Zakat & Terdapat Mustahiq[8] Di Dalamnya
Situasi kedua ialah pemindahan harta zakat keluar kawasan dalam keadaan terdapat golongan yang berhak menerimanya di dalam kawasan tersebut. Isu ini menjadi perbezaan pendapat di kalangan ulama kepada 3 golongan:
Pertama: Kumpulan yang mengatakan makruh
Kumpulan ini berpendapat bahawa makruh memindahkan dana zakat keluar daripada kawasan kutipan terutama setelah tiba akhir haul. Mereka mengatakan bahawa harta yang dikutip lebih elok jika diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya yang tinggal atau berada di dalam kawasan kutipan zakat berkenaan. [9]
Mereka berpegang kepada hujah hadis Muaz bin Jabal yang ditugaskan mengutip zakat dan terus membahagikannya kepada golongan fakir dan miskin di kalangan penduduk Yaman sahaja. Pendapat ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan sebagainya.[10]
Kedua: Kumpulan yang mengatakan harus[11]
Kumpulan kedua pula mengatakan hukumnya harus memindahkan harta zakat keluar daripada kawasan kutipan. Pendapat ini dinisbahkan kepada mazhab Syafie.
Asas atau hujahnya ialah keumuman ayat 60 surah al-Taubah yang tidak menyebut tentang daerah atau kawasan yang khusus. Muaz bin Jabal pernah menyeru penduduk Yaman agar mengumpulkan seberapa banyak pakaian daripada khamis sebagai ganti gandum dan jagung untuk dibahagikan kepada penduduk madinah.
Selain itu, pada masa pemerintahan khalifah Abu Bakar al-Siddiq pula, Adi bin Hatim dan Zabarqan ibn Badr telah menyerahkan kutipan zakat daripada kawasan Tay dan Bani Tamim ke Madinah untuk digunakan sebagai belanja menghadapi peperangan riddah.
Khalifah Umar al-Khattab juga telah mebahagikan dana zakat yang dikirim oleh Gabenor Mesir, Amru al-As kepada penduduk Madinah yang ditimpa musim kemarau.

Ketiga: Kumpulan yang berpegang kepada tidak harus[12]
Kumpulan ini melarang dan menegah pemindahan dana zakat ke mana-mana tempat. Pendapat ini disandarkan kepada mazhab Maliki.
Asas tegahan ini juga berdasarkan kepada hadis Muaz selaku pegawai zakat yang ditugaskan memungut zakat di kawasan Yaman. Beliau mengutipnya di kawasan Yaman lalu membahagikannya di kalangan penduduk miskin di Yaman.
Dalam riwayat yang lain pula, telah diceritakan bahawa Abu Juhaifah, seorang kanak-kanak yatim telah mendapat agihan seekor unta yang dibayar oleh penduduk di daerahnya.



[1] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 813-816, Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 82, al-Zuhailiy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Beirut, jil.2, hlm.892-893

[2] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 813-816, Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 82

[3] Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 82
[4] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 813
[5] al-Dusuqi, Ibrahim bin Abdul Aziz, Hashiyah Dusuqi, Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, t.t., vol 1, hlm.501

[6] Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84
[7] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 813

[8] Mustahiq ialah golongan yang berhak menerima zakat (disebut juga asnaf 8)

[9] Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84, al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 814-817
[10] Muhammad Bakr Ismail, al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah Ala al-Mazahib al-Arbaah, Dar al-Manar, Kaherah, Jil.1, hlm511, Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84
[11] al-Qardawi, Yusuf, Fiqh al-Zakat Dirasat Muqaranah Li Ahkamiha Wa Falsafatiha Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Muassasah al-Risalah, Beirut, Jil 2, hlm, 814-817, Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84

[12] Ali al-Syarbajiy, Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Wadih, al-Dar al-Shamiah, Beirut, jil. 1., Muhammad Bakr Ismail, al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah Ala al-Mazahib al-Arbaah, Dar al-Manar, Kaherah, Jil.1, hlm511, Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 84,
http://muhammadmaryono.wordpress.com/2012/03/02/hukum-mengeluarkan-hasil-zakat-ke-negara-lain/

Tiada ulasan: