Khamis, 2 Ogos 2012

Pemindahan Zakat Di Dalam Kitab-Kitab Tafsir


2.4 Pemindahan Zakat Di Dalam Kitab-Kitab Tafsir
Terdapat banyak kitab tafsir khasnya tafsir berkenaan ayat-ayat hukum namun apa yang akan dinukilkan di sini hanyalah 2 buah sahaja iaitu tafsir Qurtubi dan Ibn Arabi. Sememangnya 2 buah kitab tafsir ini merupakan tafsir yang sentiasa menjadi rujukan di dalam penafsiran ayat-ayat hukum

2.4.1 Tafsir al-Qurtubiy
al-Qurtubi di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ulama telah berselisih pendapat dalam masalah ini kepada 3 golongan. Golongan pertama berpendapat tidak boleh memindahkan harta zakat. Pendapat ini dipegang oleh Sahnun dan Ibn al-Qasim.[1]
Diriwayatkan daripada Sahnun bahawa kalau pemerintah atau kerajaan telah mendapat berita bahawa terdapat kawasan yang lebih memerlukan harta zakat atau kawasan tersebut berada di dalam kesusahan yang besar, dalam masalah ini harus bagi pihak pemerintah memindahkan sebahagian harta zakat keluar daripada kawasan pungutannya untuk diagihkan di dalam kawasan yang lebih memerlukannya.
Ibn al-Qasim pula menegaskan bahawa jika harta zakat tersebut dipindahkan kerana darurat hukumnya harus
Pendapat kedua pula mengatakan bahawa harus bagi pemerintah memindahkan harta zakat. Pendapat ini dinisbahkan kepada Imam Malik. Mereka berhujah bahawa pernah suatu ketika Muaz berkata kepada penduduk Yaman supaya menyerahkan kepadanya khamis (sejenis pakaian) atau pakaian sebagai ganti daripada jagung dan gandum untuk diberikan kepada penduduk di Madinah. Perbuatan menggantikan jagung dan gandum dengan pakaian ini lebih bermanfaat untuk penduduk Madinah selaku penerima zakat. Selain itu, penduduk Yaman selaku pengeluar zakat pula lebih mudah untuk mengeluarkannya. Tuntasnya, kesemua perbuatan ini lebih memberi kemudahan dan manfaat yang lebih baik
Perbuatan Muaz ini mempunyai 2 poin penting. Yang pertama ialah keharusan memindahkan zakat dari Yaman ke Madinah sebagaimana keumuman ayat al-Quran yang menyatakan bahawa harta zakat itu untuk diagihkan kepada golongan fakir tanpa menetapkan samada fakir yang berada di dalam kawasan pungutan zakat atau sebaliknya.Perkara yang kedua ialah perbuatan Muaz menjadi dalil bahawa harus memungut nilai daripada zakat Sementara pendapat ketiga mengatakan bahawa bahagian untuk golongan fakir dan miskin hendaklah diagihkan di dalam kawasan yang dipungut harta zakat. Sementara bahagian mustahiq yang lain seperti amil, orang yang berhutang dan sebagainya daripada 8 asnaf berkenaan, perkara tersebut hendaklah diserahkan kepada ijtihad pemerintah.[2]

2.4.2 Tafsir Ibn Arabi
Ibn Arabi di dalam kitabnya Akkam al-Quran semasa menafsirkan ayat 60 al-Taubah menyebut bahawa terdapat 3 pandangan dalam masalah ini. Pandangan pertama dinukilkan daripada Sahnun dan Ibn al-Qasim bahawa tidak harus memindahkan keluar dana zakat kecuali kerana darurat.[3]
            Pendapat kedua pula katanya disandarkan kepada Imam Malik tentang harus membawa keluar dana zakat.
Sementara pendapat ketiga membezakan di antara bahagian untuk fakir dan miskin serta 6 bahagian untuk asnaf yang lain. Bahagian fakir dan miskin mestilah diagihkan di dalam kawasan pungutan sementara 6 bahagian yang lain, perkara itu diserahkan kepada pertimbangan pemerintah
Tuntasnya, permasalahan ini mendapat perhatian yang khusus daripada ulama tafsir sehingga mereka memasukkannya secara panjang lebar di dalam kitab tafsir mereka.




[1] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, 2006, jil.10, hlm 256

[2] al-Qurtubiy, Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar, al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Muassasah al-Risalah, Beirut, 2006, jil.10, hlm 258

[3] Ibn Arabi, Abu Bakar Muhammad bin Abdullah, Ahkam al-Quran, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, hlm.541-542

Tiada ulasan: