Khamis, 2 Ogos 2012

Pendapat Ulama 4 Mazhab Dalam Masalah Pemindahan Keluar Dana Zakat


2.3 Pendapat Ulama 4 Mazhab Dalam Masalah Pemindahan Keluar Dana Zakat
2.3.1 Hanafiyyah[1]
Golongan Hanafiyyah mengatakan bahawa perbuatan memindahkan zakat ke tempat lain hukumnya makruh karahah tanzih. Walaubagaimanapun terdapat pengecualian terhadap hukum makruh itu. Di antaranya ialah:
1) jika perbuatan itu dilakukan untuk diagihkan kepada kaum kerabatnya yang berhajat menerimanya untuk menampung keperluan mereka
2) terdapat suatu kaum atau penduduk di kawasan yang lebih memerlukannya
3) perbuatan memindahkan harta zakat tersebut member manfaat kepada kaum muslimin
4) perbuatan memindahkan zakat dilakukan dari sesebuah negara yang bermusuh dengan Islam (dar al-harbi) kepada negara Islam
5) kepada penuntut ilmu. Contohnya zakat yang dipungut di Malaysia dibahagikan kepada penuntut ilmu di timur tengah dan sebagainya
6) zakat dikeluarkan sebelum sampai haulnya
Walau bagaimanapun jika seseorang yang ingin mengeluarkan zakatnya tetapi ingin memindahkan zakatnya keluar dari kawasannya, ianya masih berada dalam radar perbuatan yang tidak diharamkan kerana harta itu adalah miliknya. Tegasnya perbuatan tersebut hanyalah makruh karahah tanzih[2]

2.3.2 Malikiyyah
Golongan Malikiyyah pula berpendapat bahawa tidak harus memindahkan zakat lebih dari had yang boleh diqasarkan solat. Maknanya harta tersebut tidak boleh dibawa keluar daripada kawasan pungutan dalam jarak yang dibolehkan untuk qasar solat.Jarak qasar solat ialah 89KM.[3]

2.3.3 Syafiiyyah
Ulama al-Syafiiyyah berpendapat bahawa yang azharnya perbuatan memindahkan zakat keluar daripada kawasan pungutan adalah ditegah. Harta tersebut wajib diagihkan kepada asnaf di dalam kawasan pungutan sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Muaz. Jika tidak terdapat asnaf di dalam kawasan pungutan, harta tersebut hendaklah diagihkan kepada kampung atau pekan yang paling hampir yang terdapat di dalamnya asnaf[4]
Imam Syafie di dalam kitabnya al-Umm menegaskan bahawa apabila zakat dipungut daripada sesuatu kaum, dana berkenaan hendaklah diagihkan di dalam kawasan mereka. Harta tersebut tidak boleh dipindahkan keluar kawasan sehinggalah tiada lagi mereka yang berhak menerimanya wujud di dalam kawasan pungutan itu
al-Muzani pula menukilkan di dalam mukhtasarnya bahawa tidak boleh dikeluarkan harta zakat berkenaan daripada kawasan yang dipungut sedangkan terdapat golongan yang berhak menerima berada di dalam kawasan berkenaan
Imam al-Mawardiy semasa memberikan syarahan terhadap nas ini di dalam kitabnya mengatakan bahawa terdapat 2 pendapat Imam Syafie di dalam masalah ini iaitu pendapat yang mengharuskan pemindahan harta zakat keluar kawasan dan satu lagi pendapat mengatakan tidak harus. Kedua-dua pendapat ini merupakan pendapat baru (al-qawl al-jadid). Pendapat kedua Imam Syafie ini diriwayatkan dengan jalur selain daripadan kitab al-Umm.[5]
Imam al-Haramayn al-Juwayniy pula mengatakan bahawa dalam masalah memindahkan harta zakat, terdapat 2 pendapat. Yang pertama mengharuskannya berdalilkan kepada keumuman ayat 60 al-Taubah. Sementara pendapat kedua pula mengatakan tidak harus berdalilkan kepada hadis Muaz
Imam al-Nawawi semasa menghuraikan permasalahan ini pula berkata memindahkan harta zakat keluar daripada kawasan pungutan dalam keadaan terdapatnya mustahiq di dalam kawasan berkenaan hukumnya haram. Namun kewajipan zakat berkenaan tidak gugur samada pemindahan tersebut dilakukan dalam jarak yang melebihi qasar solat atau pun tidak. Beliau menegaskan lagi bahawa ada 2 pendapat dalam masalah pemindahan keluar harta zakat dan yang azhar ialah dilarang.


2.3.4 Hanabilah
Golongan Hanabilah pula berpendapat bahawa tidak harus memindahkan zakat keluar dari kawasan pungutannya dalam jarak qasar solat (89KM). harta tersebut hendaklah diagihkan di dalam kawasan yang dipungut dalam radius jarak yang boleh diqasarkan solat (89KM). Namun sebaik-baiknya harta tersebut cuba diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya yang berada dalam kampung atau dusun yang berdekatan. Jika tidak terdapat golongan yang berhak menerimanya di dalam kampung yang sama, harta tersebut bolehlah diagihkan melangkaui kampung atau pekan seterusnya dengan syarat jangan melebihi jarak yang dibolehkan qasar solat[6]
Ibn Quddamah berkata bahawa tidak harus memindahkan harta zakat keluar dari kawasan pungutannya setakar jarak yang dibolehkan mengqasar solat[7]



[1] al-Zuhailiy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Beirut, jil.2, hlm.892-893, Muhammad Bakr Ismail, al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah Ala al-Mazahib al-Arbaah, Dar al-Manar, Kaherah, Jil.1, hlm511 Mujaini Tarimin, Zakat Menuju Pengurusan Profesional, Utusan Publications & Distributors, Selangor, hlm. 83-84

[2] al-Zuhailiy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Beirut, jil.2, hlm.892-893
[3] al-Zuhailiy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Beirut, jil.2, hlm.729-730, Muhammad Bakr Ismail. al-Fiqh al-Wadih Min al-Kitab Wa al-Sunnah Ala al-Mazahib al-Arbaah. Dar al-Manar. 1997. Kaherah. Jil.1

[4] al-Zuhailiy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Beirut, jil.2, hlm.729-730

[5] al-Mawardi, Ali bin Muhammad bin Habib, al-Ahkam al-Sultaniyyah Wa al-Wilayat al-Diniyyah, al-Maktab al-Islamiy, Kaherah, hlm.76
[6] al-Zuhailiy, Wahbah, al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh, Dar al-Fikr, Beirut, jil.2, hlm.729-730

Tiada ulasan: