TAZKIRAH RAMADAN (10)
10 MALAM TERAKHIR RAMADAN &
LAILATUL QADR
PANITIA
AGAMA ISLAM SKLR 2013
Hadis 10 Malam Terakhir Ramadan
Terdapat hadis-hadis yang
menceritakan keadaan Rasulullah SAW pada 10 malam terakhir Ramadan.
Di antaranya
ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah ra (Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di
sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang
lain- Muslim)
(Adalah Nabi SAW beriktikaf
padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)- Bukhari & Muslim)
(Apabila telah masuk 10
terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya
dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan
ibadat yang khusus)- Bukhari & Muslim)
Rahsia Kesungguhan Nabi SAW
Menurut Qaradawi, Baginda SAW
melakukan ibadat dengan begitu bersungguh-sungguh pada period ini disebabkan 2
faktor.
Faktor pertama
ialah ia merupakan penghujung Ramadan sedangkan setiap amalan dikira pada
akhirnya. Justeru itu, salah satu daripada doa Rasulullah SAW (Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik hariku
ialah hari aku menemuiMu, dan sebaik-baik umurku ialah pada akhirnya, dan
sebaik-baik amalanku ialah pada penghujungnya)
Faktor kedua
ialah kerana pada malam ini terdapatnya suatu malam yang cukup istimewa iaitu
malam al-Qadr.
Bilakah Lailatul Qadr
Terdapat 27 atau 45 pendapat
tentang bilakah lailatul qadr. Yang paling masyhur ialah lailatul qadr jatuh pada salah satu
malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w.
menerangkan (Carilah Lailatul Qadr pada malam-malam yang
ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan -Bukhari)
Tarikh tetap atau berubah?
Sebahagian ulama berpendapat
bahawa tarikh Lailatul Qadr bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam
27 Ramadan. Sebilangan besar ulama termasuk Imam al-Nawawi mengatakan bahawa ia
berubah pada setiap tahun dan tidak kekal statik hanya pada satu tarikh
tertentu
Selain dari itu, berdasarkan
dalil hadis al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam
terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan hadis Nabi SAW(Aku
lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang
mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir- Bukhari & Muslim)
Di antara tarikh 25, 27 dan 29 Ramadan ini, malam 27 merupakan malam
yang paling ditunggu oleh kebanyakan umat Islam di Negara Arab. Pada malam ini
mereka akan mengadakan suatu majlis khusus untuk menyambut malam berkenaan
dengan dihadiri oleh raja atau presiden sendiri.
Selain itu, tarikh 27 ini juga dipegang oleh kebanyakan sahabat Nabi
SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin
Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (di zamannya secara khasnya kerana
beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada
tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang
menyebut (Malam al-Qadar adalah malam ke dua puluh tujuh- Ahmad, Abu Daawud)
Bagaimana Menghidupkan Malam al-Qadr
Mulai sepuluh malam terakhir
bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). (A’isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki
sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada
para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut
berqiamullail –Muslim)
Di samping itu
dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada
Allah s.w.t.(Aisyah r.a. menerangkan
bahawa dia pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku
mendapati salah satu malam daripada Lailatul
Qadr, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab
(ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.”- Ibn Majah)
Ibadat Wanita Yang Uzur
Bagaimanakah caranya bagi wanita
yang uzur melakukan ibadat pada malam ini? Bagi wanita yang uzur, mereka
bolehlah melakukan pelbagai ibadah yang lain seperti berzikir, berdoa,
mendengar bacaan al-quran daripada bacaan orang lain atau pun melalui radio.
Persoalan Lailatul Qadr
Ada juga orang yang menimbulkan
persoalan tentang masalah perbezaan permulaan puasa di antara negara yang
berbeza. Contohnya Negara Thailand berpuasa pada 1 Ramadan yang bersamaan
dengan 1 Julai sementara Negara Malaysia mula berpuasa pada 2 Julai. Justeru
itu, malam yang dianggap ganjil di Malaysia boleh jadi malam yang genap di
Thailand dan sebaliknya. Justeru itu, mana satukah malam yang genap dan mana
satukah malam yang ganjil?
Bagi menjelaskan
persoalan ini, Syeikh Qaradawi menerangkan bahawa seeloknya kita
memperbanyakkan amal ibadat pada setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan
tanpa mengambil kira samada malam genap atau ganjil. Ini kerana apabila kita
telah ketahui secara tepat bahawa malam tertentu merupakan malam al-Qadr maka
berkemungkinan kita hanya akan menambah amal pada malam tersebut sahaja dengan
mengabaikan malam-malam yang lain. Tarikh malam ini sengaja disembunyikan oleh
Allah SWT agar kita semua berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya. Rahsia
ini menjadi suatu motivasi kepada kita untuk melakukan amal ibadat pada bulan
itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir.
Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah. Hal
ini sebagaimana Allah SWT merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari
jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari jumaat. Allah SWT
juga merahsiakan Nama-Nya (asma’ al-husna) yang paling agung yang apabila
digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan
Nama-Nama secara keseluruhan
RUJUKAN