Isnin, 22 April 2013

Kognitif



2.3 KOGNITIF
Menurut Atan Long, perkembangan kognitif adalah melibatkan proses penanggapan, pembinaan konsep, pentaakulan, penilaian dan penyelesaian masalah.[1]

Pelopor bagi teori ini ialah Jean Piaget dan Gestalt. Teori kognitif melihat pembelajaran bahasa pertama sebagai proses mental yang berlaku secara aktif dan ianya bergantung kepada pengalaman individu. Justeru itu, kanak-kanak perlu mempunyai pengetahuan untuk memahami bahasa dan bukanlah bergantung pada latihan semata-mata. Kanak-kanak juga mempunyai kemampuan untuk mendengar dan menafsir bunyi bahasa. Kebiasaanya mereka akan dapat menguasai bahasa petama dalam masa 4 hingga 5 tahun sahaja. Menurut teori ini lagi, kanak-kanak belajar berdasarkan konsep try and error. Kesilapan yang berlaku dalam proses pembelajaran akan berkurangan seiring dengan perubahan kematangan kanak-kanak. Teori ini mengutamakan tulisan dan bacaan kerana ia berfungsi sebagai peneguhan kepada lisan.[2]

Piaget membina teorinya berdasarkan  5 konsep yang asas iaitu skema, adaptasi, keseimbangan, asimilasi dan akomodasi.[3]

Skema merujuk kepada potensi sedia ada dalam diri kanak-kanak untuk melakukan sesuatu. Contohnya bayi yang dilengkapi sejak lahir dengan gerakan pantulan untuk menghisap, memegang dan sebagainya. Skema yang ada pada kanak-kanak akan menentukan bagaimana kanak-kanak bertindak balas dengan persekitaran. Asimilasi merupakan proses penyesuaian antara objek yang baru diperoleh dengan skema yang sedia ada. Akomodasi berfungsi apabila skema tidak dapat menyesuaikan persekitaran baru yang belum lagi berada dalam perolehan kognitif kanak-kanak. Adaptasi merupakan satu keadaan yang wujud keseimbangan antara akomodasi dan asimilasi untuk disesuaikan dengan persekitaran.[4]

Piaget juga telah mengkategorikan 4 tahap perkembangan kognitif iaitu sensori motor( sejak lahir-2 tahun), praoperasi(2-7 tahun), operasi konkrit(7-11 tahun) dan operasi formal(11 tahun-dewasa). Justeru itu, tahap kemampuan mental manusia akan berubah selari dengan proses perkembangan yang dilalui[5]


[2] Boon Pong Ying, Noriati A. Rashid, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Murid Dan Alam Belajar, Oxford Fajar Sdn. Bhd., Selangor, hlm.67-68, Ahmad Syeikh Abdul Salam, Muqaddimah Fi Ilm al-Lughah al-Tatbiqiy, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hlm.99-100,
http://www.ehow.com/about_6587239_jean-theory-child-language-development.html

[3] Mok Soon Sang, Perkembangan Kanak-Kanak, Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd., Ipoh, hlm.87-90, Karen Huffman, Psychology in Action, John Wiley & Sons Inc., United States of America, hlm. 346, http://www.academia.edu/1473663/instruksi_P_and_P_bdsrkn_teori_kognitif_Piaget
[4] Mok Soon Sang, Perkembangan Kanak-Kanak, Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd., Ipoh, hlm.87-90, Karen Huffman, Psychology in Action, John Wiley & Sons Inc., United States of America, hlm. 346, http://bahasamindamanusia.blogspot.com/
[5] Karen Huffman, Psychology in Action, John Wiley & Sons Inc., United States of America, hlm. 346,
http://syufaal.blogspot.com/2010/08/implikasi-teori-pembelajaran-kognitif.html

kaitan behavioris dengan BA



2.2 HUBUNGKAIT TEORI DENGAN CARA PENGUASAAN BAHASA ARAB
2.2.1 Pengulangan
Untuk memperoleh kemahiran bahasa, pengulangan dan latih-tubi perlu dijalankan secara kerap sehingga kemahiran bahasa menjadi sebagai satu kebiasaan.[1] Guru boleh memperkenalkan perkataan tertentu dan meminta murid-murid mengulanginya sehinga hadam contohnya ucapan selamat pagi, selamat malam dan sebagainya di dalam bahasa arab. Kemudian perkataan atau frasa ini boleh digunakan setiap kali guru bersua dengan murid. Lama-kelamaan proses ini akan menjadi suatu kebiasaan.
2.2.2 Mewujudkan Persekitaran
Aliran behaviourisme menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa daripada fenomena mental.[2]Justeru itu guru boleh membentuk persekitaran yang dapat membantu murid-murid menguasai bahasa arab. Ini boleh dilaksanakan dengan penggunaan bahasa arab yang optimum semasa proses P&P berjalan. Guru juga boleh menjadi model kepada murid-murid. Selain itu, guru juga boleh mewujudkan sudut bahasa arab atau pun membawa murid-murid belajar di dalam bilik khas seperti bilik j-QAF yang mana bilik ini dipenuhi dengan poster, gambar, kamus dinding dan sebagainya. Tuntasnya, guru mestilah menyediakan persekitaran yang menarik minat murid-murid untuk belajar bahasa arab

2.2.3 Penekanan Kemahiran Lisan
Teori ini amat mementingkan aspek lisan seperti percakapan atau pertuturan kerana bagi mereka bahasa ialah alat untuk berkomunikasi. Justeru itu, guru hendaklah memulakan pengajaran dengan penumpuan kepada kemahiran mendengar dan bertutur. Selepas 2 atau 3 kali sesi pengajaran, barulah kemahiran menulis dan membaca akan diajar.
2.2.4 Peneguhan
Guru juga mestilah memberi peneguhan atau hukuman kepada murid-muridnya. Peneguhan ini dapat dilakukan dengan memberi ganjaran kepada seseorang pelajar apabila mereka memberikan gerak balas yang betul seperti pujian, keistimewaan, pengiktirafan dan sebagainya. Ia dapat membentuk tindak balas yang dikehendaki dan yang lebih penting dapat mewujudkan pengulangan. Apabila pengulangan dapat diwujudkan, proses pembelajaran akan berlaku.



[2] http://encikamirhamzah.blogspot.com/2011/07/teori-pemerolehan-bahasa-bmm-3117.html

Behavioris



BAB II

TEORI PEMEROLEHAN BAHASA

2.1 BEHAVIORIS 

Behavior merujuk kepada aksi atau reaksi manusia dalam bentuk gerak balas hasil daripada rangsangan dalaman atau luaran.[1]

Teori behavioris mengatakan bahasa ialah proses perilaku dan mementingkan satu rangkaian turutan sebab dan kesan. Teori ini menganggap bahasa sebagai hasil operasi rangsangan dan gerak balas yang semata-mata bergantung pada ciri-ciri naluriah yang ada pada manusia. Faktor persekitaran dianggap sebagai rangsangan dan hasil rangsangan itu ialah gerak balas. Teori ini menolak pendapat yang menghubungkan proses penghasilan bahasa dan operasi mental. Teori ini cuba menunjukkan bahawa tingkah laku adalah ditentukan oleh faktor-faktor luaran seperti ganjaran yang menguatkan hubungan rangsangan dan gerak balas.[2]

Pelopor bagi teori ini ialah Thondike, Pavlov dan Skinner. Teori ini menekankan bahawa kemahiran-kemahiran termasuklah kemahiran berbahasa diperolehi daripada persekitaran.[3] Mereka berpendapat bahawa bahasa merupakan sesuatu yang dipelajari dan bukanlah sesuatu yang dimiliki oleh kanak-kanak. Ia dapat diperolehi melalui proses pengulangan sehingga menjadi suatu kebiasaan kerana bagi ahli behavioris, bahasa adalah satu proses tingkah laku yang tidak memerlukan daya mental[4]

Selain itu, mazhab behavioris mengatakan bahawa proses peneguhan amat penting dalam perkembangan bahasa.[5] Skinner menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menyediakan perbendaharaan kata yang betul kepada anak-anaknya.[6]

Teori ini tidak begitu mementingkan fungsi mental. Apa yang menjadi skop kajian mereka ialah data-data iaitu perkatan-perkataan yang dapat diukur dan dikaji. Selain itu, teori ini juga memberi penekanan kepada bentuk-bentuk linguistic. Segala sebutan atau bunyi yang terhasil harus disebut dengan tepat terutamanya dari segi fonologi, struktur dan penguasaan sistem bunyi yang lain[7]


[2] Habibah Elias, Rahil Mahyuddin, Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan, Karisma Publications Sdn. Bhd., Selangor, hlm.153-156, Ahmad Syeikh Abdul Salam, Muqaddimah Fi Ilm al-Lughah al-Tatbiqiy, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hlm.98,

[5] Haliza Hamzah, Joy N. Samuel, Perkembangan Kanak-Kanak, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, hlm.62

[6] Haliza Hamzah, Joy N. Samuel, Perkembangan Kanak-Kanak, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, hlm.62

[7] http://koleksikajiandanpenyelidikan.blogspot.com/p/teori-pendidikan.html, Ahmad Syeikh Abdul Salam, Muqaddimah Fi Ilm al-Lughah al-Tatbiqiy, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hlm.98

Definisi pemerolehan bahasa



BAB I
DEFINISI PEMEROLEHAN BAHASA

1.1 DEFINISI
Pemerolehan bahasa bagi kanak-kanak merujuk kepada cara bahasa itu dapat dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Para ilmuwan berbeza-beza dalam memberikan definisi kepada terma ini.
Mangantar Simanjuntak mendefinisikan pemerolehan bahasa (language acquisition) sebagai proses-proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak(bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Semenjak dilahirkan, kanak-kanak dikatakan mampu menganalisis, membuat dan merumus sesuatu peraturan bahasa. Walau bagaimanapun, mereka sekadar menyesuaikan rumus yang terkandung dalam nahu universal dan nahu bahasa pertamanya. Pemerolehan bahasa dikaitkan dengan penguasaan sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara langsung iaitu tanpa melalui pendidikan secara formal untuk mempelajarinya, sebaliknya memperolehnya dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat di sekitarnya.[1]
Siti Hajar Abdul Aziz pula menerangkan pemerolehan bahasa merupakan proses yang membolehkan manusia menguasai dan membina bahasa. Secara umumnya, kita mengakui  bahawa semua bayi yang sihat memperoleh bahasa dengan mudah pada tahun pertama dalam hidup mereka, dan pendapat ini diterima hampir semua kebudayaan dan masyarakat.  Terdapat dua istilah yang berkaitan dengan pemerolehan bahasa iaitu bahasa pertama yang merujuk kepada  perkembangan bahasa dalam kalangan bayi dan kanak-kanak manakala pemerolehan bahasa kedua merujuk kepada perkembangan kanak-kanak dan orang dewasa.[2]
Ahmad Syeikh Abdul Salam menakrifkan pemerolehan bahasa sebagai suatu proses di mana manusia memperoleh penguasaan bahasa secara bawah sedar di dalam kelompok penutur bahasa ibundanya. Kebiasaannya perkara ini berlaku kepada kanak-kanak.[3]
Menurut Frank Parker, pemerolehan bahasa merupakan suatu pengkajian terhadap bagaimanakah cara manusia memperoleh pengetahuan tentang tatabahasa suatu set kategori yang merangkumi bidang semantik, sintaksis, morfologi dan fonologi berserta dengan rumus-rumus yang menentukan kemampuan bercakap dan memahami sesuatu bahasa yang diadakan kepada manusia.[4]
Menurut Corder penguasaan bahasa pertama merupakan proses dibawah sedar dimana pada saat ia sedang memperoleh kemahiran yang lain serta pengetahuan tentang alam sekitarnya.[5]
Laman sesawang Wikipedia menafsirkan pemerolehan bahasa sebagai proses di mana manusia memperoleh keupayaan untuk melihat dan memahami bahasa serta menghasilkan dan menggunakan kata-kata dan ayat untuk berkomunikasi. Pemerolehan bahasa biasanya merujuk kepada pemerolehan bahasa pertama oleh bayi terhadap bahasa ibunda mereka. Ia berbeza dengan pemerolehan bahasa kedua yang membicarakan tentang pembelajaran pelajar dewasa mahupun kanak-kanak terhadap bahasa tambahan.[6]





[2] http://robonazainol.blogspot.com/2012/11/pemerolehan-bahasa-pertama-pengenalan.html
[3] Ahmad Syeikh Abdul Salam, Muqaddimah Fi Ilm al-Lughah al-Tatbiqiy, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hlm.43

[6] http://en.wikipedia.org/wiki/Language_acquisition