BAB
III
TALAK
TIGA SEKALIGUS: SUATU PANDANGAN ULAMA
3.1
PENDAHULUAN
Maksud talak tiga sekaligus
di sini ialah seseorang suami melafazkan kepada isterinya bahawa aku ceraikan
engkau dengan talak tiga. Atau dengan lafaz aku ceraikan engkau, aku ceraikan
engkau, aku ceraikan engkau sebanyak 3 kali.
Persoalannya
apabila suami mengucapkan demikian, apakah jatuh talak kepada isterinya itu
dengan satu talak atau 3 talak? Kalaulah kita katakan jatuh dengan satu talak,
maka si suami mempunyai hak untuk rujuk kerana orang lelaki yang merdeka
mempunyai 3 bilangan talak. Sebaliknya kalau kita katakana jatuh dengan talak
3, maka si suami tidak lagi mempunyai hak untuk rujuk. Sebaliknya isteri
hendaklah berkahwin dengan lelaki lain (yang bukan suami yang menceraikannya itu),
kemudian meneruskan kehidupan rumahtangga sebagaimana biasa dengan suami
barunya itu, kemudian selang tempoh masa si suami barunya itu menceraikan
perempuan berkenaan, barulah si suami pertama tadi dapat mengahwininya.
Jelasnya persoalan itu walau pun dilihat kecil tapi mempunyai implikasi hukum
yang cukup besar pada suami isteri berkenaan
3.2
PANDANGAN JUMHUR ULAMA[1]
Para jumhur yang terdiri
daripada golongan Hanafiyyah, Malikiah, Syaficiyyah dan Hanabilah
mengatakan bahawa talak tiga sekaligus diiktiraf dan dikira 3 talak. Si suami
yang mengucapkan lafaz demikian dikiran menceraikan isterinya dengan 3 talak
dan dia tidak boleh lagi merujuk kembali bekas isterinya kecuali setelah
isterinya berkahwin dengan lelaki lain, berlaku persetubuhan antara bekas
isterinya dan suami barunya, kemudian kalaulah mereka bercerai, barulah si
suami yang pertama ini kembali menikahinya dengan akad dan mas kahwin yang baru
setelah isteri berkenaan habis iddahnya[2]
Talak
seperti ini tidak haram. ia hanyalah khilaf sunnah dan tidak bertepatan dengan
cara talak yang terbaik. Dalilnya ialah hadis yang menyebut bahawa:[3]
(Rukanah telah menceraikan
isterinya sama sekali (iaitu beliau berkata kepada isterinya aku ceraikan
engkau sama sekali). Nabi SAW berkata kepadanya selepas beliau bertanyakan cara
untuk rujuk kepada isterinya”Demi Allah, adakah kamu hanya bermaksud talak satu
sahaja/” jawab Rukanah ”Demi Allah, aku hanya bermaksud talak satu sahaja. Maka
nabi SAW mengembalikan semula isterinya kepadanya.-Tirmizi)
Hadis
ini menjadi dalil kerana jika Rukanah bermaksud talak tiga semasa dia berkata semua
sekali, nescaya talak tiga itu akan berlaku. Nabi SAW juga tidak akan
membenarkannya kembali rujuk kepada isterinya. Jika nabi tidak mengizinkannya,
permintaan dan sumpah yang dilakukan tidak bermakna, tiada kesan hokum menjadi
apa-apa. Namun dalam kes Rukana, sumpah dan permintaan memberi makna atau
dikira kepadanya. Ini kerana nabi SAW membenarknannya kemali merujuk kepada
isterinya[4]
Mereka
juga berhujah dengan fatwa yang dinisbahkan kepada Ali, Uthman bin Affan, Umar
al-Khatta, Ibn Mascud, Ibn Abbas dan sebagainya bahawa mereka (para
sahabat) telah berfatwa dan bersetuju bahawa mana-mana suami yang melafazkan
talak tiga sekaligus kepada isterinya itu dikira tiga. Bahkan ada juga yang
mendakwa bahawa ini adalah ijmak. Lagi pun para sahabat tidak akan berfatwa
melainkan dengan fatwa yang bersumberkan sesuatu yang datang dari Rasulullah
SAW. Walaupun ada hadis sahih yang bertentangan dengan pendapat ini, namun
hukumannya telah terbatal (nasakh)[5]
3.3
PANDANGAN TAWUS, IKRIMAH, IBN ABBAS DAN LAIN-LAIN
Mereka berpendapat bahawa
talak tiga yang dilafazkan sekaligus atau diulang berturut-turut dalam satu
majlis dikira satu talak sahaja. Mereka berpadangan demikian kerana menurut
mereka talak hanya boleh berlaku satu demi satu, tidak boleh berlaku banyak
sekaligus.[6]
Selain
itu, nas al-Quran juga menyebut bahawa talak disebut berlaku 2 kali. Justeru
itu, talak tidak mungkin berlaku secara sekaligus. Jika ianya dilafazkan secara
sekaligus, maka sesungguhnya talak itu tetap dikira satu.[7]
Mereka
berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Ibn Abbas r.a
كَانَ الطَّلاَقُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَسَنَتَيْنِ مِنْ خِلاَفَةِ عُمَرَ طَلاَقُ
الثَّلاَثِ وَاحِدَةً. فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: إِنَّ النَّاسَ قَدْ
اسْتَعْجَلُوا فِي أَمْرٍ قَدْ كَانَتْ لَهُمْ فِيهِ أَنَاةٌ فَلَوْ أَمْضَيْنَاهُ
عَلَيْهِمْ فَأَمْضَاهُ عَلَيْهِمْ.
(bahawa talak yang
berlaku pada masa Rasulullah SAW, Abu Bakar, 2 tahun pertama daripada
pemerintahan Umar adalah dikira 1. Umar al-Khaattab berkara.”sesunguhnya orang
ramai tergesa-gesa dalam urusan talak sedangkan mereka sepatutnya
berhati-hati, kalau kami tetapkan ketentuan hokum ke atas mereka, nescaya kami
tetapkan ke atas mereka-Muslim).[8]
Hadis
ini menjadi bukti bahawa hukum ini bukanlah suatu ijmak. Ia merupakan masalah
khilaf. Di antara kaedah usul yang diterima umum adalah bertaklid kepada
seseorang mujtahid bukanlah suatu kewajipan. Justeru itu, harus bagi sesiapa
pun untuk mengambil mana-mana pendapat seorang mujtahid. Apabila sah bahawa
pendapat ini sememangnya dari Ibn Abbas , maka bolehlah kita bertaklid mengikut
pendapatnya sebagaimana kita selama ini mengikut atau bertaklid kepada mujtahid
yang lain. Inilah keadaan yang berlaku pada zaman Baginda SAW. Sumber riwayat
ini juga agak kuat dan ianya tidak mendapat cercaan dan kritikan.[9]
Mereka
juga mengatakan bahawa Umar adalah seorang sahabat, mujtahid yang mungkin betul
dan mungkin salah. Jika Umar tersalah dalam ijtihadnya, beliau tetap mendapat
ganjaran pahala. Namun lebih utama bagi kita mengikuti apa yang dilakukan oleh Rasulullah
SAW.[10]
Justeru
itu pendapat yang mengatakan bahawa talak tiga sekaligus dikira satu merupakan
suatu pendapat yang diterima. Inilah keadaan yang berlaku pada zaman Rasulullah
SAW, Abu Bakar dan 2 tahun pertama pemerintahan Umar.[11]
3.4 PANDANGAN GOLONGAN SYIAH
Pendapat
ini dinisbahkan kepada golongan syiah Imamiah. Mereka berpendapat bahawa talak
yang dilafazkan tiga sekaligus tidak menjadi apa-apa. Secara mudahnya talak
tersebut tidak dikira dan ianya sia-sia sahaja. Mereka berhujah bahawa cara
tersebut bukanlah cara yang diajar oleh Rasulullah SAW yang telah menentukan
dan mengajar kepada kita tentang talak. Justeru itu, apa-apa sahaja yang
dilakukan bukan dengan cara yang diajar oleh Rasulullah dikira terbatal[12]
[1] http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/06/lafaz-talak-tanpa-niat-talak-3.html,
Ahmad Muhammad Shakir, Nizam al-Islam fi al-Talaq, Maktabah
al-Sunnah, Kaherah, hlm.26-29
[3] cAli al-Sharbaji, Mustafa
al-Bugha, Mustafa al-Khin, al-Fiqh al-manhaji cala madhhab
al-Imam al-Shaficiyy, Dar al-Qalam, Damshik, Jil.3, hlm.11
[4] cAli al-Sharbaji, Mustafa
al-Bugha, Mustafa al-Khin, al-Fiqh al-manhaji cala madhhab
al-Imam al-Shaficiyy, Dar al-Qalam, Damshik, Jil.3, hlm.11
[5] Muhammad Abu Zuhrah, al-Ahwal
al-Shaksiyyah, Dar al-Fikr al-Arabiy, t.tmpt, hlm305
[7] Muhammad Abu Zuhrah, al-Ahwal
al-Shaksiyyah, Dar al-Fikr al-Arabiy, t.tmpt, hlm304
[8] al-jaziriy, Abdul Rahman, Kitab al-Fiqh cAla al-Mazahib al-cArbacah,
Kaherah, jil.4, hlm.303; http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Menjawab_fitnah/15.htm
[9] al-jaziriy, Abdul Rahman, Kitab al-Fiqh cAla al-Mazahib al-cArbacah,
Kaherah, jil.4, hlm.303
[10] Muhammad Abu Zuhrah, al-Ahwal al-Shaksiyyah, Dar al-Fikr
al-Arabiy, t.tmpt, hlm304
[11] al-jaziriy, Abdul Rahman, Kitab al-Fiqh cAla al-Mazahib al-cArbacah,
Kaherah, jil.4, hlm.303-304
[12] Muhammad Abu Zuhrah, al-Ahwal al-Shaksiyyah, Dar al-Fikr
al-Arabiy, t.tmpt, hlm305