Saturday, March 27, 2010

al-Quran....cara wahyu diturunkan & peringkat penurunan

1.2 Cara Al-Quran (Wahyu) Diturunkan

Aishah isteri Rasulullah SAW, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Baginda bagaimana wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab : ”Kadang-kadang wahyu datang kepadaku dengan gema (desingan) loceng dan ini amat berat bagiku, dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepadaku. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepadaku merupai lelaki, bercakap denganku dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepadaku.”

1.3 Peringkat Penurunan Al-Quran
Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu :
• Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke Lauh Mahfuz
• Kali kedua, dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah di langit dunia
• Kali ketiga, penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam. Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah dan dari Bait al-cIzzah kepada Rasulullah SAW Melalui Jibril a.s.

1.3.1 Dari Allah SWT ke Lauh Mahfuz
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Lauh Mahfuzini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 Dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir, bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.”



1.3.2 Dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah di langit dunia.
Penurunan kali kedua secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Bait al-cIzzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas; Allah SWT berfirman,
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said bin Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan Abdullah bin Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-cIzzah di langit dunia.
Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara cAtiyyah bin al-Aswad dan Abdullah bin Abbas yang mana cAtiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Safar dan Rabiul Awal.” Kemudian Ibn Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekaligus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari

1.3.3 Dari Bait al-cIzzah kepada Rasulullah S.A.W. (dalam masa 20 tahun).
Penurunan di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah SAW sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah S.A.W, dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Mengikut pendapat ini, Jibril a.s diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-cIzzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.
Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke Lauh Mahfuz, ke Bait al-cIzzah (langit dunia) dan kepada Rasulullah SAW.

2 comments:

Anonymous said...

syukran alaik...
jazakAllah hu khairon jazak..
barokAllah ala hayaatuka...

Anonymous said...

syukran...jazakAllah