3.7 Tahap penulisan al-Quran
Pada asalnya mushaf Uthmani ditulis tanpa baris dan titik. Pada masa itu orang arab mempunyai kemampuan berbahasa secara semulajadi. Mereka mampu menguasai bahasa pertuturan, syair dan nahu mereka dengan tidak perlu kepada baris dan titik. Ini disebabkan mereka masih belum lagi terdedah kepada pergaulan dengan bangsa-bangsa lain. Walau bagaimanapun apabila wilayah Islam semakin luas, mereka bergaul dan berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain seperti Parsi, Rom dan sebagainya yang menyebabkan penguasaan bahasa arab mereka semakin lemah. Justeru itu, titik dan baris kemudiannya digunakan untuk memudahkan lagi bacaan al-Quran. Orang yang pertama meletakkan tanda baris dan titik ialah Abu al-Aswad al-Dualiy dengan perintah daripada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Ada juga riwayat lain mengatakan bahawa Hasan Basri, Yahya Yacmar, dan ramai lagi sebagai orang yang pertama meletakkan tanda-tanda berkenaan. Secara ringkasnya tahap penulisan al-Quran Rasm Uthmani seperti yang terdapat sekarang ini melalui tahap-tahap berikut:
i. Tahap Pertama: Belum diletakkan sebarang tanda.
ii. Tahap Kedua: Ditandakan titik ( نقطة العرب ) yang dipelopori oleh/Abu al-Aswad al-Duali (meninggal dunia pada tahun 69 Hijrah pada zaman Khalifah Marwan bin al-Hakam).
iii. Tahap Ketiga: Mula ditandakan dengan titik ( نقطة العجام ) yang dipelopori oleh Yahya bin Ya'mar dan Nasyr bin 'Asim al-Laisy dengan perintah Gabenor Iraq iaitu al-Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi,
iv. Tahap Keempat: Mula diletakkan dengan tanda-tanda baris (harakah) yang dipelopori oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi pada zaman pemerintahan Abbasiyah iaitu Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
v. Tahap Kelima: Ditambah dengan tanda-tanda waqaf dan lain-lain tanda lagi
RUJUKAN
* Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Panduan Resm Uthmani, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, 2005, hlm.19-20
* Mannac Qattan, Mabahith Fi Ulum al-Quran, Maktabat al-Macarif Li al-Tauzic Wa al-Nashr, Riyad, hlm. 151
* http://www.saifulbahri.net/index.php/Umum/Sejarah-Pembukuan-Al-Quran/Page-5.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan