3.4 Hukum beramal dengan resm Uthmani
Ulama mempunyai 3 pendapat yang berbeza mengenai cara penulisan al-Quran. Ada sesetengah kitab menyebutnya di bawah tajuk sebagai hukum beramal dengan resm uthmani. Bagi Jumhur Ulama termasuklah Imam Malik dan Ahmad, mereka mengatakan bahawa Resm Uthmani wajib digunakan dalam penulisan al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam Mushaf al-Imam, iaitu mushaf asal yang disimpan di Madinah. Penulisan mushaf yang bertentangan dengan Resm Uthmani dalam semua bentuk adalah haram. Justeru Resm Uthmani menjadi asas kepada semua bentuk Qira’at yang lain dalam satu-satu perkataan. Mereka berhujah bahawa penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah SAW dikawal selia oleh baginda sendiri dan mendapat perakuannya. Penulis wahyu juga akan menulis menurut apa yang diajar oleh baginda. Apabila rasulullah SAW wafat, kaedah ini diikuti oleh para khalifah selepasnya dengan cara, metod dan teknik yang telah ditetapkan. Oleh itu, ia merupakan suatu ketetapan yang wajib kita ikut.
Sementara sebahagian ulama yang lain seperti Abu Bakar al-Baqilaniy, cIzz al-Din Abdul Salam dan Ibn Khaldun berpendapat bahawa penulisan mushaf dengan menggunakan cara-cara yang lain atau menggunakan resm imla’iy (tulisan biasa) yang dikenali oleh masyarakat adalah harus. Ini kerana para sahabat menulis mushaf peribadi dengan kaedah mereka sendiri sedangkan mereka tidaklah berkemahiran. Jika sedemikian rupa kesalahan akan berlaku dan kita tidak diwajibkan mengikutinya, bahkan boleh menyalahinya. Selain itu, mereka berhujah lagi bahawa tidak terdapat dalil yang mewajibkan bentuk penulisan tertentu. Sebarang penambahan atau pembuangan pada bentuk tulisan bukanlah suatu ketetapan wahyu dari Allah SWT.
Sebahagian ulama zaman mutakhir mengatakan wajib menulis dengan resm imla’iy bagi orang awam manakala selain mereka dimestikan dengan resm uthmani. Walau bagaimanapun kita wajib menjaga resm uthmani sebagai salah satu ilmu yang diwarisi. Pendapat ini menurut Syeikh Zarqaniy memberi kelebihan kepada orang awam kerana ia agak praktikal dan mengelakkan kekeliruan.
Menurut Lajnah Fatwa al-Azhar dan sebahagian ulama pada masa kini, penulisan al-Quran perlu berdasarkan sumber yang ma’thur bagi memelihara keaslian al-Quran dari segi huruf dan tulisan. Ia juga bertujuan menjaga ciri warisan penulisannya yang telah dibuat pada zaman awal Islam. Fatwa ini selaras dengan pendirian para ulama mujtahid yang tidak seorang pun mahu mengubah huruf mushaf daripada bentuk penulisan di peringkat awal. Selain itu, dengan cara ini juga dapat diketahui qira’at yang betul dan salah. Justeru itu, tidaklah bijak memberi ruang yang boleh mendedahkan al-Quran kepada sebarang perubahan, penyelewengan dan pengubahsuaian. Walau bagaimanapun, para Jumhur juga berpendapat bahawa tidak menjadi halangan bagi seseorang menulis ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan bentuk tulisan moden dalam konteks pengajaran dan pendidikan.
RUJUKAN
* al-Zuhailiy, Wahbah, Tafsir al-Munir Fi al-cAqidah Wa al-Syaricah Wa al-Manhaj, Edisi Melayu, Jilid 1, Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia And Publication, Kuala Lumpur, hlm.11-14
* Sabri Mohamad. Salah Faham Terhadap Resm Uthamni: Satu Penjelasan. Seminar al-Quran Resm Uthmani.hlm.7
Tiada ulasan:
Catat Ulasan