Saturday, March 27, 2010

al-Quran....Pengumpulan & Penulisan al-Quran Di Zaman Rasulullah SAW

2.2 Pengumpulan & Penulisan al-Quran Di Zaman Rasulullah SAW

Pengumpulan dan Penulisan al-Quran bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Setiap kali baginda didatangi malaikat Jibril, baginda akan mengarahkan para sahabatnya supaya menghafaz dan mencatat ayat-ayat al-quran yang diterimanya. Para sahabat yang terpilih sebagai penulis wahyu ialah Muawiyah, Ali, Ubay bin Kaab, Zaid bin Thabit, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan sebagainya. Rasulullah SAW juga akan menunjukkan kepada mereka cara-cara menyusun ayat, surah dan sebagainya. Selain itu, ada juga para sahabat yang merekodkan al-Quran melalui inisiatif mereka sendiri dengan menghafaznya, menulisnya di atas pelepah tamar, tulang, kulit kayu dan sebagainya tanpa arahan Rasulullah SAW. Catatan tersebut kemudiannya disalin semula oleh para sahabat yang lain. Selepas itu, mereka akan menunjukkanya kepada Rasulullah SAW untuk dibuat semakan. Walau bagaimanapun para sahabat pada zaman ini lebih mengutamakan hafazan berbanding tulisan disebabkan para sahabat pada masa itu kuat hafalan dan ingatan. Selain itu, jumlah sahabat yang mempunyai kepandaian menulis juga amat sedikit ditambah pula dengan kemudahan alat tulis yang sukar.

Pengumpulan al-Quran pada zaman ini tidaklah berada di dalam satu tempat yang teratur seperti mushaf al-Quran yang ada sekarang. Ada tulisan yang berada di dalam simpanan sahabat tertentu dan tidak berada di dalam simpanan sahabat yang lain. Begitulah sebaliknya apa yang ada pada seseorang sahabat tidak terdapat pada orang lain

Para ulama juga telah menjelaskan bahawa segolongan daripada sahabat seperti Ali, Muaz bin Jabal, Ubay bin Kaab, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Mascud telah menghafal seluruh isi al-Quran di masa hayat Rasulullah SAW. Sementara Zaid bin Thabit pula merupakan sahabat yang terakhir mengkhatamkan bacaan al-Quran di hadapan Rasulullah SAW

Apabila Rasulullah SAW wafat, al-Quran dipelihara dan direkodkan melalui 2 cara iaitu hafalan para sahabat dan tulisan. Para ulama telah menjelaskan bahawa sebab utama kenapa al-Quran tidak ditulis di dalam satu mushaf sebagaimana yang ada sekarang ialah kerana wahyu masih turun. Ada ayat-ayat al-Quran yang menjadi pembatal (al-nasikh) kepada hukum yang turun sebelumnya(al-mansukh). Oleh itu, jika al-Quran terus ditulis dalam keadaan wahyu masih turun, dibimbangi akan bercampur di antara ayat-ayat yang mansukh dengan nasikh.

RUJUKAN
* Mannac Qattan, Mabahith Fi Ulum al-Quran, Maktabat al-Macarif Li al-Tauzic Wa al-Nashr, Riyad, hlm. 119
* http://www.saifulbahri.net/index.php/Umum/Sejarah-Pembukuan-Al-Quran/Page-2.html
* http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Ushul%20Tafsir/quran7.htm
* Adnan Muhammad Zurzur, Ulum al-Quran Madkhal Ila Tafsir al-Quran Wa Bayan Icjazihi, al-Maktabat al-Islamiy, hlm. 90

2 comments:

Anonymous said...

salam.ana xsetuju enta kata sahabat tulis tanpa arahan nabi.sedangkan nabi sendiri lantik zaid bin thabit sebagai khatib rasulullah utk tulis ayat2 quran.

abu muhammad walid ilias said...

tq kerana komentar anda. setahu hamba yang daif, baginda SAW memang mempunyai penulis wahyu seperti zaid bin thabit. mereka akan menulis sebagaimana yang diperintahkan.
namun ada juga sahabat lain yang menghafaz di dalam dada. then ada di kalangan mereka yang amik inisiatif sendiri menulisnya untuk simpanan peribadi.
walau bagaimanapun saya sebagai seorang yang masih belajar, mengalukan sebarang sokongan kepada pendapat saudara. kalau ada rujukan kitab, link dan sebagainya bolehlah dikemukakan untuk faedah bersama.
apa pun tq