Bila sebut university atau institusi pendidikan, perkataan maktabah atau perpustakaan tidak dapat dipisahkan. Sepanjang ambo belajar kat sini, ambo jarang masuk ke perpustakaan univ. Biasanya kalau kami nak cari atau dapatkan kitab2 rujukan, kami akan cari kat kedai buku. Kadang-kadang kami beli sebab kitab kat sini murah. Tafsir Ibn Kathir contohnya yang siap ada tahkik hanya berharga dalam LE30 (rasanya dalam rm25 jer). Naskhah yang ambo beli ada 4 jilid. Setiap jilid tebalnya dalam 2 inci. So 4 jilid tu bila disusun rapat di rak perpustakaan hampir 8 atau 9 inci. Agak tebal namun murah. Begitu juga kitab feqh 4 mazhab (al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah) yang berjilid jilid namun harganya tak sampai LE50. So kitab yang kami nak guna untuk rujukan biasanya kami beli. Itulah harta kami yang paling bernilai sepanjang belajar kat sini
Bagi sesetengah pelajar yang tak mampu, kami akan berziarah ke rumah abang lama untuk mencari kitab rujukan. Kebiasaanya abang lama yang dapat pinjaman MARA, biasiswa KPM, atau duit zakat negeri seperti Selangor mempunyai koleksi kitab2 rujukan yang banyak. Kalau dah banyak sangat sampai tak muat almari, mereka akan pos ke Malaysia dahulu terutama untuk koleksi kitab yang jarang dibuat rujukan. Sementara kitab yang seringkali diguna dan dirujuk, pengeposan hanya dibuat setelah habis belajar. Harga untuk pengeposan satu kotak kitab dalam 100USD pada masa tu. Kotak yang digunapakai untuk pengeposan ialah kotak rokok. Kira agak besar juga kotak tu
Seterusnya kami akan pusing2 bandar Kaherah ke perpustakaan yang berhampiran. Ada juga perpustakaan milik peribadi, milik jutawan yang membina perpustakaan untuk bacaan awam. Ada juga perpustakaan milik masjid, milik gereja (untuk kitab injil yang menjadi bacaan pelajar yang mengkaji ilmu perbandingan agama). Tapi perpustakaan sebegini tidak membenarkan kami meminjam buku atau kitab untuk dibawa pulang ke rumah. Kami kena masuk ke sana dan menulis, menyalin atau membaca di meja perpustakaan sahaja. Perpustakaan milik peribadi tidak menyimpan kitab2 nadir. Kebanyakannya kitab2 yang popular dan seringkali menjadi rujukan sahaja.
Kat Abasiah ada sebuah gereja yang besar, khabarnya yang terbesar di Mesir. Kat gereja tu ada perpustakaan yang memuatkan injil dan segala bacaan tentang Kristian. Ada sesetengah pelajar kita yang belajar perbandingan agama selalu berulang ke perpustakaan tu. Lama kelamaan, entah mengapa bawwab tu tak benarkan pelajar kita masuk ke situ. Kami tak pasti kenapa, apakah kerana kami pelajar al-azhar yang datang untuk baca kitab tentang perbandingan agama, atau kerana ada arahan lain
Yang terakhir ialah perpustakaan di university. Ambo pernah masuk ke perpustakaan kuliah syariah yang terletak di tingkat atas bangunan fakulti. Kitab yang ada kat sini biasanya kitab yang nadir, himpunan tesis dan kertas kerja. Seingat ambo, kita akan berdepan dengan SOP yang tak biasa kita lalui di Malaysia. Masa nak masuk, kena tunjuk dan serahkan kad pelajar kepada petugas perpustakaan. Kemudian dia akan memeriksa barangan dalam beg kita. Biasanya kami akan bawa alat tulis seperti pen dan kertas dalam beg. Kitab2 peribadi lain tidak dibenarkan untuk dibawa masuk. Jika petugas tu berpuas hati, barulah kami dibenarkan masuk. Kemudian kita terus duduk di meja, melihat senarai kitab yang terdapat di perpustakaan tu, kira macam tengok menu kat restoran la. Jika kita berkenan untuk merujuk atau melihat kitab tu, kita tulis nama tajuk buku bersama nama penulis di atas sekeping kertas yang kita koyak dari mana mana kertas, serahkan nota kecil tu kepada petugas perpustakaan, kemudian mereka akan masuk ke bilik yang penuh dengan rak buku yang sempit. Tak lama kemudian mereka akan bawa kitab tu kepada kita. Hanya 2 buah kitab sahaja yang dibenarkan untuk sekali nota pesanan. So pelajar seperti kami hanya berada di meja dan tidak dibenarkan bergelintaran dan melilau di rak buku. Laluan di celah rak2 buku tu jika dilalui oleh 2 orang yang berbadan gempal, rasanya akan bersentuhan kulit belakang. Bacalah apa yang kita nak baca, tulislah semahu kita. Kemudian buleh tukar kitab. Lihat semula senarai kitab tu kemudian tulis di atas kepingan kertas kecil dan serahkan kepada petugas untuk kitab seterusnya. Kami tidak dibenarkan untuk meminjam dengan cara bawa pulang seperti suasana kat Malaysia. Keadaan dalam perpustakaan pula kalau musim sejuk tiada masalah. Tapi kalau musim panas, berasaplah kat dalam tu. Apa yang ada hanyalah kipas siling dan jendela yang terbuka. Kalau dah 38 darjah celcius tu alamatnya kami pulang ke rumah jer.
Begitulah suasana kami di perpustakaan universiti. Bilangan pengguna pula terhad. Jika terdapat ramai pelajar pada masa tu, kami tidak akan dibenarkan masuk ke perpustpakaan. Bilangan kerusi dan meja yang disediakan juga terhad. Agaknya itulah punca kenapa pelajar luar mesir seperi kami tak begitu mesra dengan perpustakaan universiti.
Ada satu lagi tempat yang ambo tak ingat namanya. Tempat yang menyimpan makhtutat lama (manuskrip). Ambo dah tak ingat nama tempat ni. Apa yang ambo tahu kawalannya agak ketat jika nak banding dengan perpustakaan biasa. Tempat ini biasanya menjadi perhatian para pengkaji. Ada juga pelajar Malaysia yang belajar PHD di Saudi datang ke tempat ini untuk mendapatkan manuskrip lama untuk dibuat kajian. Biasanya kalau nak masuk ke sini, kita kena dapatkan surat sokongan bahawa kita ni pengkaji peringkat sarjana atau PHD dari university tertentu. Kalau sekadar nak melenggang masuk tu seingat ambo tak dibenarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan