Jumaat, 31 Disember 2021

Kenangan Kaherah (34)

Rehlah ke Muhafazah

Para senior selalu berpesan, masa cuti ambil la kesempatan untuk melancong atau berjalan ke merata Mesir. Kalau ada kemampuan kewangan, nak jalan2 lakukanlah masa masih bergelar adik baru. Bila kita dah berada lama kat Mesir, perasaan nak melancong tu dah mula kendur. Orang teruja sebut pyramid, kita dah tak minat nak pergi lagi. Orang bersemangat sebut Terusan Suez, kita dah hilang keterujaannya.

 

Seminggu selepas peperiksaan musim panas 1998, buat kali pertama ambo keluar dari Kaherah. Sebelum ni teman2 di muhafazah selalu jemput kami ke tempat mereka, namun ambo belum bersedia tinggalkan Kaherah. Tambahan lagi ketika berada di tahun pertama pengajian yang cukup mencabar.

 

Destinasi pertama kami ialah Muhafazah Gharbiyyah. Secara lateral, Gharbiyyah bermaksud barat dan ianya diapit oleh muhafazah Kafr El-Sheikh di utara dan el-Menoufiyya di selatan. Ibu negeri Gharbiyyah ialah Tanta dan bandar terbesarnya ialah el-Mahalla el-Kubra. Jarak antara Tanta dengan Kaherah lebih kurang 90KM. Antara ulama besar al-Azhar yang berasal dari Gharbiyyah ialah Syeikh Yusuf el-Qaradawiy dan Sheikh Muhammad Abu Zuhrah. Pelajar Malaysia yang belajar di al-Azhar Tanta kesemuanya lelaki.

 

Kami menaiki tremco di Ramsis. Sepanjang perjalanan ambo dapat melihat tanaman gandum dan lain-lain yang menghijau. Tanah lapang yang luas menghijau. Sebelum ni, apa yang ada dalam kepala ambo ialah Mesir dipenuhi dengan padang pasir yang tandus, kontang dengan tanaman yang cukup minimum. Rupa-rupanya sangkaan ambo cukup meleset. Benarlah kata sejarawan, Mesir ialah hadiah sungai Nil. Kerajaan Mesir mengoptimumkan sepenuhnya air sungai nil melalui projek pengairan, terusan dan tali air kecil. Justeru itu, jangan pelik jika anda melihat Mesir yang hijau di kawasan sekeliling Delta Nil.

 

Ambo tinggal seminggu di Tanta bermalam di rumah sahabat kami. Kami sempat berjalan kaki menikmati suasana malam di bandar Tanta sambil menikmati ayam golek dan pelbagai makanan tempatan. Antara tempat yang menjadi tumpuan ialah Masjid Sidi Ahmad Badawi yang merupakan masjid terbesar di Tanta.

 

Suasana di muhafazah nyata lebih tenang dan mendamaikan jika nak dibandingkan dengan Kaherah yang sesekali kami gelar kota seribu keserabutan. Penduduknya juga lebih peramah dan mudah diajak bersembang. Ambo juga sempat menziarahi teman2 SEMUARA yang tinggal di Tanta samada geng satu batch seperti Abdul Fattah al-bayumiy, Abdul Halim, Ibrahim dan Zulkifli atau pun geng yang lebih senior. Bila berada di tempat orang, kami sebenarnya lebih rapat. Setiap berita dari Malaysia yang sampai ke Mesir, kami akan berkongsi.

 

Selepas Tanta, ambo teruskan jaulah ke muhafazah Buhaira yang terletak lebih kurang 60km dari Tanta. Ibu kota bagi Buhaira ialah Damanhour. Ambo bermalam di shaqqah sahabat SEMUARA kami Zakuan, Nazlan, Khirman dan Nasir. Bergilir-gilir di shaqqah mereka. Teman SEMUARA yang lebih senior juga datang berjumpa kami apabila mendengar berita kedatangan ambo ke Damanhour. Setiap kali ada perjumpaan, biasanya kami makan ayam golek, sosej dan makanan arab yang lain.

 

Kalau di Kaherah, susah juga ambo nak tengok lembu, kerbau dan ayam. Memandangkan shaqqah kami di sini dikelilingi kawasan pertanian, ambo dapat lihat binatang ternakan seperti keldai yang digunakan untuk membajak dan mengairi tanaman. Selain enjin dan peralatan moden, teknologi pertanian di kampung masih menggunakan binatang. Apa yang paling menarik, ambo dapat melihat seorang kanak-kanak yang rasanya berusia 10 tahun menarik seekor kerbau besar hanya dengan memegang telinga kerbau.

 

Selain itu, ambo juga dapat melihat penduduk tempatan membela ternakan di atas sutuh (sutuh ialah bahagian paling atas sesebuah bangunan). Ambo tak dapat bayangkan kalau penduduk Malaysia yang tinggal di rumah flat atau apartment membela kambing, biri-biri atau ayam di puncak bangunan. Pastinya mengundang isu dengan pihak berkuasa tempatan Malaysia.

 

Masa kat Damanhour, timbul idea untuk ziarah ke pantai Iskandariyyah (Alexndria). Lagi pun jarak antara 2 negeri ni hanyalah 60km atau 40 minit naik tremco sahaja. beberapa hari kemudian, kami berlepas menaiki keretapi dari stesen Damanhour ke Iskandariyyah

 

Alex (Iskandariyyah) merupakan bandaraya kedua terbesar di Mesir, selepas Kaherah. Sejarah merekodkan Iskandariah di buka oleh Alexander the great (Iskandariah tu diambil dari Alexander) dan pernah menjadi ibu kota mesir selama 1000 tahun sebelum kedatangan Amru al-As. So sejarah di kota Alex ni agak panjang kerana telah melalui peradaban era Ptolemy, Byzantine hinggalah ke era Islam.  

 

Ambo cukup kagum melihat pemandangan di sekitar bandaraya Alex yang cantik dan agak bersih jika nak bandingkan dengan Kaherah. Bangunannya masih ada senibina lama sebelum Islam lagi. Memang cantik. Tak pellik la kalau Alex pernah menjadi ibu kota mesir sebelum kedatangan Islam. Kalau ikutkan sejarah, salah satu faktor utama Amru al As menjadikan Kaherah sebagai ibu kota adalah kerana faktor keselamatan dan ketenteraan. Kedudukan Alex di tepi pantai menjadikan ia mudah terdedah kepada serangan musuh. Kalau anda nak melancong ke Mesir, ambillah masa untuk ke Alex. Dan lihatlah perbezaan yang cukup ketara antara dua bandar ni.

 

Masa kat Alex, kami mandi di pantai sambil menikmati juadah yang kami beli di bawah payung besar (ambo dah lupa nama pantai tu). Pantainya agak landai dan cantik dengan air yang biru. Ambo berjalan ke dalam air sampai ke paras tengkuk kononnya nak ke Turki, bila berpaling ke belakang tengok ke tepi pantai dah rasa sayup. Agaknya jarak tu dah hampir 50 atau 70 meter tapi masih landai. Pengunjung yang datang agak ramai. Kebanyakannya warga Mesir dari luar Alex. Hampir 4 atau 5 jam main air. Kami naik ke pantai dan makan. Petangnya kami ambil tremco ke stesen keretapi dan terus kembali ke Damanhour. Kulit muka dah mula menggelupas (sunburn). Kami tak lama berada kat Alex. Masa ambo belajar dulu pelajar Malaysia agak ramai yang belajar kat Alex. Kesemuanya akhawat / muslimat sahaja. Justeru itu, jika kita saja2 nak ke Alex kadang tu orang pandang semacam jer. Orang tak kata kita ke Alex kerana perpustakaan, pantai atau apa apa, orang akan terfikir bahawa kita ada isteri atau nak usha sapa sapa kat sana.

Tiada ulasan: