Rabu, 29 Disember 2021

Kenangan Kaherah (33)

 

EXAM MEI 1998

Masuk bulan Mei, kami akan menghadapi exam kali kedua sepanjang berada di sini. Peperiksaan semester 2 pada mei. Ada 5 atau 6 subjek yang kami kena hadap.

 

Secara keseluruhan, ambo rasa lebih yakin menghadapi exam kali kedua kat sini. Pertamanya kerana tahap penguasaan bahasa yang semakin baik jika nak dibandingkan dengan exam masa semester pertama. Masa ni kalau baca akhbar tempatan pun, dah banyak faham daripada tak faham terutama berita pasal bola. Kamus sentiasa ada kat tangan. Sesekali ambo belek al-mawrid (kamus English-arabic) dan sesekali cuba belek al-wasit/ al-wajiz (kamus arab-arab). Kamus al-Marbawiy masih tak tinggal cuma dah mula bertatih ke kamus arab-arab.

 

Masa semester kedua ada beberapa subjek yang kami kena hadap. Di antaranya ialah subjek Figh Perbandingan. Suatu subjek yang terlalu asing bagi kami. Biasanya kami hanya didedahkan antara khilaf al-Nawawiy-al-Rafiey jer masa dok Malaysia. Atau antara Ibn Hagar dan al-Ramliey jer. Sekarang perbahasan tu semakin meluas. Kami mula mendengar nama ulama seperti Ibn Ragab Hanbaliy. Al-Sarkhasiy. Ibn Abidin, al-Kamal ibn Humamm. Memula tu memang pening namun lama kelamaan kita mula terasa cukup kerdil di lautan ilmu Allah yang tak bertepi. Terlalu kerdil

 

Belajar pula pasal nahu, sebelum ni kita hanya didedahkan dengan ayat mudah seperti gaama zaidun atau zaidun gaaimun. Apabila belajar kat sini, ayat sebegitu walaupun betul tetapi terlalu mudah. Biasanya kami kena bawakan ayat al-Quran atau syair arab yang menyokong contoh kami. Kekadang berjumpa pula dengan pandangan semua keadaan muthanna dibaca dengan alif, allazin dibaca dengan allazuun ketika rofok dan sebagainya. Kekadang terlintas juga dalam hati, bacalah apa pun asalkan tak sakit perut. Apa yang kita baca mesti kena dengan salah satu pandangan dalam nahu walaupun ianya agak shaz dan sebagainya. Begitulah yang kami fikir masa menghadapi lautan ilmu yang terlalu luas.

Pernah senior kami bercerita, suatu ketika pensyarah sedang menerangkan perbahasan khilaf di kalangan ulama nahu, ada sebilangan pelajar arab menyalahkan mazhab kufah. Kononnya kerana ulama mazhab kufahlah yang menjadikan nahu ni semakin bercabang dan luas pendapatnya sehingga sukar bagi kami nak hadam. Masa tu kami nampak pensyarah menjawab sambal menahan marah. Siap dia pesan, hormatilah pandangan ulama dahulu yang menyususn kaedah berdasarkan metodologi yang telah kukuh. Kamu buleh kritik, buleh berbeza pendapat, namun hormatilah pandangan ulama terdahulu.

 

Seperti biasa, beberapa hari sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan kami akan menyemak nama kami dan tempat atau bangunan peperiksaan. Ada yang berada di koridor. Ada yang berada di tepi tandas. Ada yang berada di tepi tingkap. Seingat ambo, peperiksaan fakulti Syariah diadakan di sebelah petang.

 

Sepanjang peperiksaan berlangsung, ada penjaja atau penjual minuman karbonat ke hulu ke hilir menawarkan air karbonat atau teh. Ada pepsi, mirinda (oren), fanta dan sebagainya. Harga hagah saah tu dalam 1LE. Seronok juga jawab soalan peperiksaan sambil menikmati air karbonat. Masa untuk menjawab 2 jam. Kebiasaannya sekitar 1 jam setengah kami dah selesai menjawab peperiksaan.

 

Kat Kaherah, ada satu subjek namanya Bahath. Bahath ni macam subjek perbahasan dalam fegh yang memerlukan kajian mendalam terhadap sesuatu topik. Seingat ambo, kami diberi pilihan samada nak buat assignment (dalam 15 peratus markah) atau baca buku dan terus masuk exam bertulis (markah 100% berdasarkan jawapan bertulis). Ambo lebih memilih untuk masuk exam bertulis.

 

Biasanya 2 bulan sebelum exam, kami dah mula bertapa. Tak keluar bilik. Ada yang hanya makan roti eish bersama kacang atau lensyun 2 minggu sebelum exam. Mereka akan keluar bilik apabila kehabisan stok makanan. Ada yang jenis mengulangkaji sambil berjalan kaki keliling Kaherah. Nak release tension katanya. Ada yang suka study kat masjid. Katanya kat masjid lebih tenang. Masjid yang menjadi pilihan pelajar Malaysia untuk mengulangkaji kebiasaannya ialah Masjid an-Nur di Abbasiah. Ada juga yang bawa buku sambil mengulangkaji di stesen bas atau setesen keretapi. Kalua keseorangan dalam bilik akan mengantuk. Justeru itu, pelajar jenis ni akan sengaja duduk di stesen bas, atau stesen keretapi. Katanya suasana meriah dan tak mengantuk. Ada juga yang naik keretapi lengkap dengan penghawa dingin ke Iskandariah sambal mengulangkaji. Macam2 ragam.

 

Usai exam, lega rasanya. Lepas beban. Dalam kepala ambo, dah mula nampak keindahan pesisir pantai Mediteranean di Iskandariah. Ada sebilangan kecil kami yang pulang bercuti. Ada juga yang berkira-kira nak ke eropah memetik strawberi. Ada juga yang menetapkan matlamat nak baca beberapa buah buku sepanjang cuti musim panas ni

Tiada ulasan: