Isnin, 13 Disember 2021

Kenangan kaherah (27)

KOMUNIKASI

Masa awal zaman ambo kat sana, telefon pintar tidak semudah dan semewah zaman sekarang. Kami tak kenal SMS, segala aplikasi Wasap dan sebagainya lagi. Ada juga segelintir kami yang mula menggunakan telefon pintar. Ambo tak pasti mereka membelinya kat mana dan khidat talian yang mereka guna.

 

Cara berhubung yang paling popular dan murah ialah melalui surat. Tulis surat, masukkan dalam sampul, beli setem dan pos ke Malaysia. Lagi bagus kalau sampul tu ada lukisan piramid, padang pasir, unta atau menara berkembar masjid al-Azhar. Ambo tak ingat harga setem, kalau tak silap 1LE untuk pos ke Malaysia. Kami juga tak pasti masa yang diambil untuk surat tu sampai ke Malaysia.

 

Ada juga kami bagikan surat tu kepada sahabat yang nak pulang ke Malaysia samada pulang bercuti atau pulang graduasi. Biasanya kalau hujung tahun, pelajar yang pulang ialah mereka yang dah tamat pengajian. Kalau musim panas antara Jun-Ogos pula ialah mereka yang pulang bercuti ke Malaysia. Mereka yang pulang akan membawa surat-surat kiriman kawan untuk dipos kat Malaysia. Kami bagi duit jer pada mereka untuk beli setem dan poskan di Malaysia. Justeru itu, kalau sahabat berkenaan orang Johor, maka surat akan sampai ke Kelantan dengan setem dan cop pejabat pos dari  Johor. Begitulah yang kami buat, cara ni rasanya lebih cepat daripada cara pertama yang memerlukan kami pos surat dari Mesir.

 

Biasanya kat luar sampul tu kami dah tulis nama pengirim. Jadi kalau keluarga terima surat bersetem Malaysia namun ada nama kami, mereka akan tahu bahawa surat ni dari Mesir lagi. Ada juga kawan2 kami yang belajar kat Lembah Klang pada mulanya rasa tak percaya surat tu daripada kami  kat Kaherah. Mereka ingat kami pulang bercuti atau kami bergurau.

Selan daripada surat, kami guna telefon. Masa zaman ambo mula sampai, kos untuk membuat panggilan telefon dari Kaherah ke Kelantan rasanya 7LE seminit. Kalau kami bercakap 5 minit, maknanya kami kena bayar 35LE. Ada banyak juga syarikat yang menawarkan perkhidmatan sebegini. Suara kadang tu jelas, dapat dengar bunyi sekeliling termasuk ayam berkokok atau bunyi orang kat belakang sedang bercakap. Kadang tu tak jelas, bila kita bercakap, kita akan dengar suara kita dulu kemudian barulah ada jawapan daripada keluarga.

 

Ada juga syarikat yang bagus. Suara kita dapat didengari dengan jelas. Harganya sama 7LE seminit. Masa bercakap memang terasa keluarga ada kat depan kami. Cukup jelas. Kemudiannya syarikat berkenaan menutup operasi. Ada khabar angin bahawa syarikat tu beroperasi secara tidak sah. Mereka curi talian daripada pihak pembekal perkhidmatan telekomunikasi kerajan kat sana. Entah la betul ker tak.

 

Ambo biasanya akan membuat panggilan telefon pada waktu petang di Kaherah. Beza waktu sekitar 8 atau 7 jam. Justeru itu, keluarga akan tahu bahawa deringan telefon pada awal pagi sekitar jam 2 atau 3 pagi kat Malaysia tu daripada ambo. Biasanya ambo akan buat panggilan pada hari raya (2 3 hari selepas raya atau sebelum raya), menjelang peperiksaan, apabila keluar natijah dan sebagainya. Biasanya setiap 3 bulan ambo akan telefon.

 

Sekitar tahun 2000, internet dah mula popular. Cybercafe dah mula tumbuh bagai cendawan kat Kaherah ni. Kami dapat baca akhbar harian Malaysia, dapat buka dan guna emel, dapat sembang guna MIRC, yahoo messenger, msn messenger dan segala aplikasi internet pada masa tu. Antara laman web yang ambo selalu baca ialah soccernet.com dan laman web kelab FC Barcelona. Biasanya kalau dengan rakan kat Malaysia, kami bersembang melalui yahoo messenger. Ada juga guna mirc (chating). Masa ni harga sejam masuk cybercafé dalam 5LE sejam (ambo dah lupa). Ada juga sahabat kami yang berjumpa jodoh melalui aplikasi sebegini. Tapi kalau dengan keluarga, kami tetap guna telefon atau surat. Ayah dan ibu tak begitu mahir dengan teknologi sebegini.

 

Emel pertama ambo ialah cairo102@. Ambo sajer letak nama cairo sebagai kenangan bahawa emel tu dibuka ketika ambo masih berada di sini. Emel tu masih berfungsi dan ambo masih guna hingga sekarang.

 

Kami juga dapat berhubung melalui talian telefon yang menggunakan talian internet. Ambo pun tak faham sistem tu tapi kaedah ini lebih murah. Caranya kami ke cybercafé, beritahu nak buat panggilan ke Malaysia. Pemilik cybercafe akan memberikan kami nombor pin (kena bayar). Kemudian ada ikon telefon kat PC, tekan kat ikon tu. Ada beberapa langkah seperti masukkan nombor pin yang dibeli tu. Biasanya pemilik cybercafé akan bantu kami buat panggilan ke Malaysia samada ke talian mudah alih atau talian kediaman rumah penerima. Dari segi harga, 1 nombor pin tu dijual 5LE atau 3LE. Sementara harga untuk sejam penggunaan pc di cybercafé pula 3LE. Kualiti suara tidaklah begitu baik, namun harganya agak murah jika nak dibandingkan dengan talian telefon biasa. Kami buleh bercakap dengan keluarga dengan lebih lama. Kadang tu suara keluarga kita bunyi lain jer, tak sama dengan suara yang kita biasa dengar.

 

Ada kisah lucu masa buat panggilan telefon. Ambo pernah beratur untuk buat panggilan bersama 2 3 orang pelajar Malaysia yang lain. Ada juga pelajar perempuan (akhawat). Pada waktu yang sama, ada seorang senior sedang bercakap dengan keluarga di Malaysia. Agaknya talian pada masa tu kurang jelas. Senior tadi bercakap kuat dalam dialek Kelantan tentang hasrat beliau nak berkahwin di sini. 2 3 kali beliau dok ulang perkataan

“Mak! Ore minta nak nnikoh ni. Ore nak nnikoh ssini buleh ko? Dengar ko?”. Kami yang menuggu kat luar dapat dengar satu persatu sambil menahan ketawa.

 

Tiada ulasan: