Selasa, 30 Mac 2010

al-Quran.....ANALISA KAJIAN SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN

BAB IV

ANALISA KAJIAN SEJARAH PENGUMPULAN AL-QURAN
Sepanjang pemerhatian dan kajian yang telah dilakukan, penulis dapat melihat sikap serta kesungguhan para sahabat di dalam mengumpul dan seterusnya menulis al-Quran ke dalam satu naskhah. Selain itu, sikap berhati-hati para sahabat di dalam menerima khabar atau riwayat (ayat al-Quran) juga cukup mengagumkan.

Kesungguhan para sahabat dalam memelihara dan menjaga kesucian al-Quran dapat diperhatikan tiap kali turunnya Jibril membawa wahyu kepada Rasulullah SAW. Para sahabat setiap kali turunnya ayat al-Quran cuba menghafal sedaya upaya ayat tersebut. Bagi mereka yang tahu menulis, mereka akan menulisnya dengan menggunakan alat tulis pada waktu itu. Ada yang menulis kerana arahan Rasulullah SAW seperti yang telah dilakukan oleh penulis wahyu. Ada yang menulisnya di atas inisiatif sendiri. Kemudian mereka akan merujuk tulisan atau hafazan mereka kepada Rasulullah SAW. Kesemua perkara ini menunjukkan kesungguhan para sahabat di dalam menjaga dan memelihara kemuliaan al-Quran supaya tidak hilang

Kita juga dapat saksikan betapa telitinya Zaid bin Thabid dalam menerima ayat-ayat al-Quran yang berada dalam hafazan para sahabat. Zaid telah menggunakan 2 teknik utama dalam pengumpulan al-Quran pada peringkat pertama (zaman Khalifah Abu Bakar) iaitu hafazan dan tulisan. Mana-mana sahabat yang menghafaz ayat-ayat al-Quran dikehendaki datang ke masjid dan memperdengarkan bacaan mereka kepada Zaid dan Umar al-Khattab. Walaupun ayat-ayat tersebut telah pun dihafaz oleh Zaid, Umar al-Khattab dan para sahabat lain namun Zaid tetap inginkan kepastian dengan meminta mereka memperdengarkan bacaan mereka. Kemudian mereka diminta menunjukkan tulisan ayat tersebut. Bahkan lebih dari itu, sebagai langkah berhati-hati Zaid meminta mereka membawakan 2 orang saksi. Semua ini menunjukkan betapa telitinya Zaid bin Thabit dan para sahabat di dalam menerima dan meriwayatkan al-Quran.

Sementara pada zaman Khalifah Uthman bin Affan pula, perbalahan yang timbul di kalangan umat Islam tentang cara bacaan al-Quran merupakan sebab utama al-Quran disalin ke dalam satu naskhah. Al-Quran pada zaman Khalifah Abu Bakar masih dibaca dengan tujuh cara bacaan(tujuh ahruf). Pada zaman Uthman bin Affan, bacaan al-Quran diseragamkan dengan menggunakan bahasa Quraisy. Mushaf ini yang dikenali dengan nama Mushaf Imam kemudiannya menjadi asas kepada percetakan al-Quran pada hari ini. Mushaf ini kemudiannya ditulis dalam Resm Uthmani dan ditambah dengan titik, baris dan sebagainya untuk memudahkan lagi pembacaan. Usaha-usaha ini kesemuanya menunjukkan kegigihan, kesungguhan dan ketelitian para sahabat di dalam memelihara kesucian al-Quran. Selain itu, kita juga dapat melihat betapa dominannya bahasa Quraisy sebagai dialek yang menjadi asas penulisan al-Quran.

1 ulasan:

abu muhammad w.i berkata...

entri ini merupakan entri terakhir daripada assignment yang aku buat untuk seorang ustazah.