Monday, April 22, 2013

Definisi pemerolehan bahasa



BAB I
DEFINISI PEMEROLEHAN BAHASA

1.1 DEFINISI
Pemerolehan bahasa bagi kanak-kanak merujuk kepada cara bahasa itu dapat dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Para ilmuwan berbeza-beza dalam memberikan definisi kepada terma ini.
Mangantar Simanjuntak mendefinisikan pemerolehan bahasa (language acquisition) sebagai proses-proses yang berlaku di dalam otak seseorang kanak-kanak(bayi) sewaktu memperoleh bahasa ibundanya. Semenjak dilahirkan, kanak-kanak dikatakan mampu menganalisis, membuat dan merumus sesuatu peraturan bahasa. Walau bagaimanapun, mereka sekadar menyesuaikan rumus yang terkandung dalam nahu universal dan nahu bahasa pertamanya. Pemerolehan bahasa dikaitkan dengan penguasaan sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari secara langsung iaitu tanpa melalui pendidikan secara formal untuk mempelajarinya, sebaliknya memperolehnya dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat di sekitarnya.[1]
Siti Hajar Abdul Aziz pula menerangkan pemerolehan bahasa merupakan proses yang membolehkan manusia menguasai dan membina bahasa. Secara umumnya, kita mengakui  bahawa semua bayi yang sihat memperoleh bahasa dengan mudah pada tahun pertama dalam hidup mereka, dan pendapat ini diterima hampir semua kebudayaan dan masyarakat.  Terdapat dua istilah yang berkaitan dengan pemerolehan bahasa iaitu bahasa pertama yang merujuk kepada  perkembangan bahasa dalam kalangan bayi dan kanak-kanak manakala pemerolehan bahasa kedua merujuk kepada perkembangan kanak-kanak dan orang dewasa.[2]
Ahmad Syeikh Abdul Salam menakrifkan pemerolehan bahasa sebagai suatu proses di mana manusia memperoleh penguasaan bahasa secara bawah sedar di dalam kelompok penutur bahasa ibundanya. Kebiasaannya perkara ini berlaku kepada kanak-kanak.[3]
Menurut Frank Parker, pemerolehan bahasa merupakan suatu pengkajian terhadap bagaimanakah cara manusia memperoleh pengetahuan tentang tatabahasa suatu set kategori yang merangkumi bidang semantik, sintaksis, morfologi dan fonologi berserta dengan rumus-rumus yang menentukan kemampuan bercakap dan memahami sesuatu bahasa yang diadakan kepada manusia.[4]
Menurut Corder penguasaan bahasa pertama merupakan proses dibawah sedar dimana pada saat ia sedang memperoleh kemahiran yang lain serta pengetahuan tentang alam sekitarnya.[5]
Laman sesawang Wikipedia menafsirkan pemerolehan bahasa sebagai proses di mana manusia memperoleh keupayaan untuk melihat dan memahami bahasa serta menghasilkan dan menggunakan kata-kata dan ayat untuk berkomunikasi. Pemerolehan bahasa biasanya merujuk kepada pemerolehan bahasa pertama oleh bayi terhadap bahasa ibunda mereka. Ia berbeza dengan pemerolehan bahasa kedua yang membicarakan tentang pembelajaran pelajar dewasa mahupun kanak-kanak terhadap bahasa tambahan.[6]





[2] http://robonazainol.blogspot.com/2012/11/pemerolehan-bahasa-pertama-pengenalan.html
[3] Ahmad Syeikh Abdul Salam, Muqaddimah Fi Ilm al-Lughah al-Tatbiqiy, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hlm.43

[6] http://en.wikipedia.org/wiki/Language_acquisition


No comments: