NATIJAH
Masa ambo berada kat Tanta, lebih tepatnya di rumah Syahdan(arwah) kami dah mula dengar pasal natijah di Kaherah. Ada beberapa pelajar Tanta yang baru pulang dari Kaherah menyebut bahawa natijah untuk pelajar tahun 1 1997 dah keluar. Apabila ambo mendengar berita tu, dah rasa tak senang hati. Nak duduk tak tenang, nak makan pun mula rasa semacam jer. Terasa nak kena segera balik ke Kaherah tengok natijah. Masa tu waktu dah mula zohor.
Ambo bergegas pulang ke Kaherah. Terus ke stesen keretapi Tanta dan ambil keretapi kelas Fransawiy. Naik secara koboi jer (tanpa tiket) sebab masa tu keretapi dah nak berlepas. Kebetulannya ada banyak kerusi kosong. Penumpang tak ramai. Ambo masuk dan duduk di salah satu kerusi yang kosong. Tak lama kemudian datanglah pemungut tiket dan bertanyakan tiket kepada ambo. Ambo jawab ambo tiada tiket, ambo beri kad pelajar kepadanya. Kemudian pakcik tersebut mengeluarkan tiket kepada ambo berserta denda. Ambo dah tak ingat nilai denda tu. Kalau tak silap jumlah tambang berserta denda tak sampai 10LE.
Koc yang ambo duduk tu berhawa dingin. Selesa dan tenang. Hajatnya nak lelapkan mata tapi tak mampu. Hati dah mula bimbang. Asyik terfikir pasal natijah tahun pertama yang bakal menjadi penentu hala tuju kami. Dari tingkap keretapi ambo dapat lihat ladang jagung dan tanaman lain yang menghijau. Ambo intai2 juga koc lain kot ada arab yang dok atas siling (tempat letak barang dalam koc) dengan kaki berjuntai kat atas kepala. Nampak semua penumpang kat atas kerusi jer. Ambo intai juga kalau ada koc yang mana penumpang membawa bersama ternakan seperti kambing, biri bir , ayam dan sebagainya namun tiada. Rupanya koc dan keretapi yang ambo naik ni dah dikira mahal.
Abang lama selalu cakap, usahakanlah untuk lulus di tahun pertama. Biasanya kalau kita lulus tahun pertama, kita akan dapat momentum untuk terus mendaki dengan tidak menoleh ke belakang lagi. Sebaliknya jika kandas, momentum tu akan berkurangan dan kalau tak kena cara boleh melemahkan semangat kita untuk terus belajar. Kesannya juga akan terpalit kepada abang lama. Kalau tak lulus, nanti dikatakan mereka tak pandai nak bimbing adik baru dan menjadi penyebab kegagalan adik baru. Justeru itu usahakanlah supaya lulus walaupun mengheret dada.
Apabila sampai di Ramses (stesen keretapi Kaherah) ambo terus menaikil teksi ke bangunan fakulti. Sampai je kat pintu pagar, ambo lihat pagar dah berkunci. Ramai juga ambo tengok pelajar wafidin (bukan mesir) kat pintu pagar memohon untuk masuk ke bangunan fakulti namun tidak dibenarkan. Ambo rasa hampa. Berkejar dari Tanta lagi nak tengok natijah namun tak dapat. Ambo pulang ke rumah.
Sampai kat shaqqah, abang lama dah sebut pasal natijah. Katanya esok pergilah tengok. Apa yang membuatkan ambo hairan, teman2 serumah dan kawan2 kami macam dah tahu keputusan kami. Macam keputusan dah bocor.
Selepas maghrib ambo berjalan kaki ke shaqqah Orbit, tempat batch kami berkumpul. Kawan2 kat orbit dah beritahu natijah kami semua. Ambo masih tak percaya. Kawan2 Orbit dapat sebut satu persatu markah kami berserta teman2 yang lain. Ada antara kami yang lulus dan naik ke tahun 2 dengan membawa 2 subjek yang gagal. Kita kena mengulang 2 subjek berkenaan di tahun 2. Ada juga teman Orbit bergurau bahawa kita dah tak setaraf. Datang satu kapalterbang namun bila pulang, tak bersama. Ambo senyap jer. Selagi ambo tak tengok dengan mata sendiri keputusan ambo, ambo tak nak cakap apa-apa
Keesokan harinya ambo bergegas ke bangunan fakulti. Ambo lihat ramai pelajar mengerumuni papan kenyataan yang memaparkan markah kami. Biasanya senarai pelajar warga mesir berada papan tanda yang berbeza dengan pelajar wafidin (bukan Mesir). Justeru itu, agak mudah untuk kami mengenal nama geng muwafidin terutama pelajar Malaysia. Setiap nama ditulis dengan 4 keturunan (ism rubaciy). Oleh itu, cuba anda bayangkan nama-nama pelajar Malaysia yang panjang ditulis bersekali 4 keturunan. Mesti panjang kan.
Kat papan kenyataan tu, terpampang nama kami berserta keputusan setiap subjek. Kita akan dapat mengetahui keputusan peperiksaan sesiapa jer dari kalangan kami. Asalkan tahu nama sebenar dan kewarganegaraan mereka. Justeru itu apabila natijah ditampal kelmarin kat dinding, keputusan kami dah bocor. Semua orang tahu. Tak boleh nak sorok atau main teka-teki. Keputusan yang ditampal cukup lengkap dengan paparan kesemua subjek dan peratus. Alhamdulillah ambo lulus untuk tahun pertama. Perkara pertama yang ambo buat selepas bersyukur kepada Allah ialah menelifon ke Malaysia. Itulah berita gembira yang kita dapat hadiahkan kepada keluarga.
Seterusnya ambo pulang ke Nasr City. Bersembang sambal berlegar legar kat depan RKB bertanyakan natijah tentang sahabat lain. Orang lelaki ni walau pun sedih dengan kegagalan, namun kebanyakannya masih sempat berbual dan sembang seperti biasa. Dalam hati hanya Allah yang tahu. Kemudian ada seorang abang lama bertaraf otai bertanyakan ambo tentang natijah peperiksaan. Apabila ambo sebut ambo lulus, dia datang memeluk ambo sambal ucap tahniah. Kita dapat nampak kegembiraan para senior apabila kami yang masih baru dapat lulus di tahun pertama. Benarlah, suasana ikhwah tu cukup dirasai di rantau orang
Kami tak tahu pasal nilai CGPA atau PNG/PNGK seperti teman kami kat Malaysia. Kadang tu bila terdengr sahabat dari Jordan yang ziarah Mesir bersembang sesama mereka tentang CGPA, kami tercengang tak faham. Kadang tu ada teman kami yang selalu berutus surat dengan teman di Malaysia, apabila sahabat kami di Malaysia sebut pasal CGPA kami tak faham apa pun. Macam tikus tengok besi jer. Sistem kami macam sistem kat sekolah Malaysia. Apa yang ada ialah status kesemua subjek yang diambil samada lulus (mumtaz, jayyid jiddan, jayyid, maqbul) atau gagal (daif. Daif jiddan). Kemudian ada nilai peratusan keseluruhan. Itu jer. Ambo sempat juga melihat natijah sahabat2 lain. Terasa juga kesedihan apabila melihat ramai juga yang gugur. Teringat kata2 ustaz kat SEMUARA sebelum kami berlepas ke Mesir, kamu pergi bersama, belum tentu dapat pulang bersama.