Sabtu, 22 Jun 2013

Sifat-sifat yang mencacatkan Dabt perawi



1.6 Sifat-sifat yang mencacatkan Dabt perawi
Ada 10 sifat yang boleh mencacatkan perawi dan menyebabkan riwayatnya ditolak. 5 daripadanya melibatkan aspek keadilan perawi dan 5 lagi melibatkan dabitnya. Bahagian ini hanya melibatkan aspek dabt sementara aspek keadilan akan diterangkan dalam bab seterusnya.[1]

1)      Banyak kesalahan semasa periwayatan
Seorang perawi hadis yang banyak melakukan kesalahan semasa meriwayatkan hadis seperti kesalahan menyebut nama perawi atau gelarannya atau tempat tinggalnya atau kesilapan menyebut matan hadis. Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang banyak melakukan kesilapan ini diistilahkan sebagai hadis munkar

2)      Dikenali sebagai pelupa
Hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang dikenali sebagai pelupa di kalangan ulama hadis diistilahkan sebagai hadis munkar.

3)      Mukhalafah
Mukhalafah maksudnya seorang perawi meriwayatkan hadis yang menyalahi riwayat orang lain yang lebih dipercayai. Contohnya riwayat perawi A menyalahi riwayat yang disampaikan oleh perawi lain yang lebih masyhur dan dipercayai di kalangan ulama hadis. Pertentangan ini samada dari segi sanadnya seperti nama perawi yang tersalah, pelbagai sanad yang bercantum menjadi satu sanad atau teks itu sendiri bertentangan dengan riwayat yang lebih rajih. Hadis ini diistilahkan samada hadis maqlub, hadis mudarraj atau hadis mudarrib

4)      Lemah hafalan
Jika tedapat kesilapan ketika seorang perawi membacakan semula hafalannya samada kesilapan itu merupakan kelaziman diri atau berpunca daripada peningkatan usia atau tugas yang membebankan, maka hadis ini diistilahkan sebagai hadis syaz atau mukhtalit. Jika lemah hafalan itu merupakan suatu kelaziman, maka ia dinamakan hadis syaz. Sebaliknya jika lemah hafalan itu disebabkan sifat yang datang kemudiannya seperti faktor usia ia dinamakan hadis mukhtalit

5)      Seorang yang disyaki melakukan kesilapan dalam meriwayat hadis dan riwayatnya juga disyaki mengandungi kesalahan samada dari sudut sanad atau teks. Sekiranya terdapat sedikit kesalahan yang dilakukan, riwayat itu hnendaklah diteliti. Jika terdapat riwayat lain yang tidak mengandungi kesalahan sama dengan riwayatnya, maka hadis yang diriwayatkannya itu boleh diterima tapi tidak menerusi sanadnya itu. Jika tidak terdapat sanad lain, hadis itu mesti di tawaqquff. Perawi yang disabitkan banyak melakukan kesalahan akan menyebabkan hadis yang diriwayatkannya itu termasuk dalam kategori hadis muallal.



[1] Amru Abdul Muncim Salim, Taysir Dirasat al-Asanid Lilmubtadi’in, Dar al-Diya’, Tanta, hlm. 72, Asmawi Ehsan, Ilmu Hadith, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.

Tiada ulasan: