Sabtu, 22 Jun 2013

qaradawi:Penyelarasan Atau Tarjih Di Antara Hadis-Hadis Yang Kelihatan Bertentangan



2.3 Penyelarasan Atau Tarjih Di Antara Hadis-Hadis Yang Kelihatan Bertentangan[1]
Pada dasarnya semua dalil Syarak tidak bertentangan di antara satu sama lain kerana kebenaran tidak akan bertentangan dengan kebenaran. Apabila kita dapati wujudnya pertentangan, sebenarnya ia bukanlah pertentangan dalam erti kata yang sebenar dan menjadi tugas para ulama untuk menghilangkan pertentangan itu samada dengan cara himpun dan selaras atau tarjih
Jika terdapat kemungkinan untuk menghilangkan pertentangan itu dengan cara menghimpunkan kesemua dalil atau membuat penyelarasan terhadapnya, maka itulah yang terbaik. Kaedah ini (himpun dan selaras) lebih utama daripada tarjih kerana tarjih maknanya mendahulukan satu hadis dan mengabaikan satu hadis lain yang kelihatan bertentangan. Sementara dalam kaedah himpun dan selaras kita akan dapat beramal dengan kedua-dua hadis berbanding dengan kaedah tarjih. Justeru itu, kaedah himpun dan selaras ini lebih diutamakan berbanding kaedah tarjih
Kata Ibn Qudamah (620H): “Ketahuilah bahawa percanggahan itu bererti saling berlawanan. Hal ini tidak boleh terjadi kepada dua dalil syarak kerana firman Allah dan sabda Nabi tidak saling mendustai antara satu dengan yang lain.”[2]
Kata Abu Bakar bin Huzaimah (311H): “Saya tidak mengetahui adanya hadis-hadis Nabi yang sahih yang bercanggah. Sesiapa yang menemukan hal tersebut, sampailah kepada saya, saya akan menyelaraskan.”[3]
Pertentangan diantara nas-nas yang sahih itu dapat di hilangkan dengan penyelarasan (tawfiq) atau tarjih. Tawfiq ialah menerima semua nas-nas itu dan melakukan penyelarasan di antara kesemuanya sementara tarjih bererti menerima satu nas dan menolak yang lainnya atau mengambil nas yang paling kuat dan meninggalkan nas yang kurang kuat
Jika hadis-hadis berkenaan tidak boleh dibuat penyelarasan, maka ia akan dinilai dari sudut sejarah untuk mengesan mana yang dahulu dan yang kemudian. Kalau tidak mungkin untuk dibuat penyelarasan, maka hadis yang datang kemudian akan menghapus hadis yang datang sebelumnya.
Contohnya dalam kes larangan ziarah ke kuburan bagi kaum wanita. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Baginda SAW melaknat wanita yang berziarah ke kubur.
أن رسول الله صلى الله عليه و سلم  لعن زوارات القبور
( sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat wanita yang berziarah ke kubur)
Hadis ini juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan lafaz زائرات القبور . Terdapat juga dalam riwayat yang lain bahawa Rasulullah SAW menegah wanita daripada mengikuti jenazah ke kubur. Justeru itu, kesimpulan yang dapat diambil daripada hadis-hadis ini ialah wanita ditegah atau dilarang berziarah ke kubur
Walau bagaimanapun terdapat juga hadis-hadis yang dapat difahami bahawa Rasulullah SAW memberi keizinan kepada wanita untuk ziarah ke kubur sebagaimana lelaki. Di antaranya hadis
زوروا القبور فإنها تذكر الموت
(aku telah melarang kamu daripada ziarah ke kubur, maka ziarahlah) dan hadis (ziarahlah ke kubur, sesungguhnya ia dapat mengingatkan kita kepada kematian -Muslim). Keizinan secara umum ini termasuk terhadap kaum wanita.
Dalam riwayat Muslim dan al-Nasai’ pula:
عن عائشة رضى الله عنهاكيف أقول لهم يا رسول الله؟ (تعني إذا زرت القبور) قال: قولي ( السلام على أهل الديار من المؤمنين و المسلمين ويرحم الله المستقدمين منا و المستأحرين وإنا إن شاَ الله بكم للاحقون
(Aisyah telah bertanya soalan kepada Rasulullah SAW apakah yang harus diucapkan apabila berziarah ke kubur. Rasulullah SAW telah menjawabnya dan mengajarnya kata-kata atau salam yang perlu diucapkan apabila ziarah ke kubur.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Anas:
أن النبي صلي الله عليه وسلم مر بامرأة تبكي عند قبر فقال( اتقي الله و اصبري) فقالت (إليك عني فإنك لم تصب بمثل مصيبتي ولم تعرفه,,,,,
Bahawa Rasulullah telah berjalan dan melalui seorang perempuan yang menangis di atas kubur. Rasulullah berkata padanya “bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah”. Jawab perempuan itu”kamu tidak tahu dan tidak melalui saat-saat yang aku lalui sekarang (perempuan itu tidak mengenali Rasulullah SAW). Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melarang menziarahi kubur kerana ratapan, bukannya larangan kerana semata-mata ziarah
Hadis yang lain daripada al-Hakim bahawa Fatimah, anak perempuan Rasulullah SAW menziarai kubur bapa saudaranya Hamzah setiap hari jumaat.
Hadis ini dan hadis-hadis lain yang memberi keizinan kepada kaum wanita untuk ziarah kubur lebih sahih dan lebih banyak daripada hadis-hadis yang menegah. Justeru itu, teknik himpun dan selaras boleh dilakukan di sini dengan cara menafsirkan laknat yang disebut di dalam hadis sebagai gollongan yang selalu ziarah ke kubur. Ia dapat diketahui melalui sighah mubalaghah. Inilah yang dikatakan oleh al-Qurtubi.
Selain itu, larangan ini mungkin berpunca daripada isu-isu lain yang timbul seperti meratap di kuburan, hak-hak suami yang mungkin terabai disebabkan isteri yang selalu ke kuburan menziarahi ayah bondanya dan sebagainya. Apabila kesemua isu ini selesai dan ianya dapat dielakkan, maka tidak menjadi tegahan untuk wanita menziarahi kubur kerana lelaki dan wanita kesemuanya perlu sentiasa mengingati mati.
Begitu juga dalam suatu hadis disebutkan Rasulullah SAW meminta dijadikan orang miskin, sementara banyak hadis-hadis lain Rasulullah SAW meminta kekayaan. Maka digabungkan bahawa maksud miskin dalam hadis pertama adalah sikap orang miskin yang rendah hati dan tidak sombong.[4]


[1] Al-Qardawi, Yusuf, al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lebanon, hlm115-125

[2] http://bro2009.blogspot.com/2011/01/kuliah-masaf-10-bagaimana-berinteraksi.html

[3] http://bro2009.blogspot.com/2011/01/kuliah-masaf-10-bagaimana-berinteraksi.html

[4] http://bro2009.blogspot.com/2011/01/kuliah-masaf-10-bagaimana-berinteraksi.html

Tiada ulasan: