Sabtu, 22 Jun 2013

SYARAT PENERIMAAN HADIS



BAB III
SYARAT PENERIMAAN HADIS
3.1 Pendahuluan
Terdapat 5 syarat yang mesti dipenuhi untuk menjadikan sesuatu hadis itu sebagai sahih. 2 melibatkan perawi hadis iaitu adil dan dabit. Sementara 3 syarat lagi lebih kepada sanad dan matan iaitu kesinambungan sanad, tiada kecacatan dan tiada kejanggalan.
Kelima-lima syarat tersebut merupakan syarat umum bagi sesuatu riwayat hadis. Ketidaksempurnaan syarat tersebut ke atas suatu periwayatan akan memnyebabkan riwayat tersebut dikeluarkan daripada senarai hadis yang sahih. Syarat-syarat tersebut ialah[1]
1)      para perawi bersifat adil
2)      para perawi bersifat dabit
3)      kesinambungan sanad para perawi
4)      tidak mengandungi sebarang kecacatan (cillat) dalam riwayat
5)      tiada kejanggalan (syaz) dalam periwayatan
Hadis diriwayatakan atau disampaikan dengan 2 cara iaitu dengan lafaznya yang asli daripada Rasulullah SAW atau dengan makna sahaja.[2]
Apa yang dimaksudkan dengan lafaz asli daripada Baginda SAW ialah seorang sahabat dapat mengingat keseluruhan perkataan Baginda SAW tanpa sebarang kecacatan samada tertinggal atau terlebih mana-mana perkataan. Sahabat ini menyampaikan kembali lafaz tersebut yang diingatinya tepat sebagaimana apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kebiasaannya lafaz perkataan atau perbuatan Rasulullah SAW tidak terlalu cepat dan banyak sehingga sahabat dapat memberi tumpuan sepenuhnya. Dalam keadaan ini, para sahabat dapat meriwayatkan semula teks ucapan baginda tanpa mengubahnya sedikit pun
Cara kedua ialah periwayatan dengan makna dan maksudnya sahaja daripada Nabi Muhammad SAW sedangkan lafaz perkataannya diriwayatkan oleh para sahabat dengan kata-kata mereka sendiri. Perkara ini sememangnya berlaku kerana sejak baginda dilantik menjadi rasul, pastinya terlalu banyak perbuatan dan kata-kata yang keluar daripada lidah Baginda SAW. Kemungkinan besar sahabat hanya dapat mengingati maksud kata-kata Baginda SAW dalam sesuatu perkara dan kemudiannya mereka akan meriwayatkan kembali berpandukan kefahaman yang ada pada mereka.[3]


[1] Ahmad Umar Hashim, Adwa’ Ala Mustalah al-Hadith, Universiti al-Azhar, Kaherah, hlm.53-60

[2] Ahmad Umar Hashim, Adwa’ Ala Mustalah al-Hadith, Universiti al-Azhar, Kaherah, hlm53-60

[3] Asmawi Ehsan, Ilmu Hadith, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm84

Tiada ulasan: