2.7 Membezakan Di Antara Perkara Yang Ghaib Dan
Nyata[1]
Sunnah
membicarakan perkara-perkara yang bersangkutan dengan perkara ghaib. Setengah
daripadanya bersangkut-paut dengan alam kita seperti malaikat, jin, syaitan,
Arasy, Kursiy dan sebagainya. Sunnah juga memperkatakan perkara-perkara yang
bersangkutan dengan alam barzakh dan kehidupan selepas mati seperti soal kubur,
kenikmatan dan azab kubur. Ada juga yang bersangkutan dengan perkara akhirat
seperti hari kebangkitan, syafaat, Mizan, Hisab, al-Sirat, syurga, neraka dan
sebagainya. Kesemua perkara ini telah diterangkan oleh al-Quran namun sunnah
telah memberi penjelasan dan perincian terhadap perkara ini
Apa yang
menjadi kewajipan kepada kita orang Islam ialah menerima apa yang datang dari
sunnah jika ia sahih mengikut kaedah yang telah digariskan oleh ahli ilmu dan
salaf. Tidak harus bagi kita untuk menyalahi mereka hanya kerana ianya
bertentangan dengan apa yang telah maklum asalkan ianya sahih.
Dalam
masalah ini, golongan Muktazilah telah melampau dengan menolak hadis-hadis
sahih yang bertentangan dengan akal fikiran seperti hadis berkenaan azab dan
nikmat kubur, al-Mizan, al-Sirat, keharusan melihat Allah di syurga dan sebagainya. Kesemua perkara
ini telah datang secara jelas dengan nas-nas yang sahih namun ditolak mereka
kerana bersalahan dengan akal.
Imam
al-Syatibi di dalam karyanya al-Ictisam telah menjelaskan bahawa di
antara ciri-ciri ahli bidaah ialah menolak hadis-hadis yang tidak selari dengan
mazhab mereka. Mereka mendakwa bahawa ianya tidak logik, tidak selari dengan
tuntutan nas dan sebagainya.
Apabila
manusia mencuba menggunakan akal yang terbatas ini memikirkan perkara ghaib,
maka jadilah mereka lebih teruk daripada orang buta yang cuba menghuraikan
gajah. Gajah yang dapat di sentuh pancaindera pun dihuraikan salah dan
menyimpang, apalagi hal-hal ghaib, maka huraiannya menggunakan akal akan lebih
jauh salah dan menyimpang.
Kaedah
apabila berhadapan dengan hal-hal ghaib amatlah mudah iaitu beriman dengan
segala hal-hal ghaib yang sabit daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Kalau
difikirkan juga akan hal ghaib itu, akan jadilah manusia berfikiran seperti
golongan Muktazilah yang menolak akan hal nikmat dan azab kubur hanya kerana
logik akal.
Para
ulama menggariskan bahawa Islam ini mungkin akan membawa hal-hal yang
menghairankan akal, tetapi Islam tidak akan membawa hal-hal yang mustahil pada
akal. Sebagai contoh akan hadith yang diriwayatkan oleh
Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim;
ان فى الجنة لشجرة يسير الراكب فى ظلها مائة عام لا يقطهعا
(Di
dalam syurga terdapat sebatang pohon yang besar, jika seseorang penunggang unta
berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun (dunia), nescaya dia tidak
akan dapat menghabiskannya)
Persoalannya,
apakah dapat difikirkan besarnya pohon itu? Zahirnya, terdapat ayat al-Quran
dalam surah al-Hajj yang memberitahu kita bahawa satu hari di akhirat itu
tempohnya adalah seribu tahun dunia. Maka mustahillah akal untuk memikirkan
pohon yang besar itu walau sebijak manapun akalnya. Apa yang betulnya bagi kita adalah beriman dengan segala
hal-hal ghaib yang sabit daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.
Secara keseluruhannya kita tidak mampu untuk
memikirkan perkara yang berada di luar pemikiran manusia untuk melangkaunya
walaupun dengan kemajuan sains dan teknologi. Justeru itu dalam masalah perkara
ghaib ini, cukuplah bagi kita untuk menerima dan beriman dengan penerangan
daripada al-Quran dan sunnah yang sahih lagi sabit.
[1] Al-Qardawi,
Yusuf, al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah, Muassasah
al-Risalah, Beirut-Lebanon, hlm174, http://ersal.lightbb.com/t20-topic
Tiada ulasan:
Catat Ulasan