2.5 Membezakan Di Antara Wasilah Dan Tujuan[1]
Di antara sebab yang boleh menyebabkan berlakukanya kepincangan
dalam memahami sunnah adalah apabila kita gagal untuk membezakan di antara
wasilah dan matlamat. Terdapat sesetengah golongan yang terlalu menekankan
kepada wasilah seolah-olah itulah maksud dan matlamat sebenar sunnah sedangkan
para ulama dan pengkaji yang benar-benar memahami hadis Rasulullah SAW dapat
melihat dengan jelas tujuan sebenar sesuatu sunnah itu. Matlamat ini bersifat
jelas dan abadi sedangkan wasilah yang ditekankan itu sifatnya sementara dan
boleh berubah-ubah.
Contohnya dalam masalah perubatan yang dinamakan al-Tibb al-Nabawi
(perubatan nabi). Terdapat sebahagian daripada kita yang benar-benar member
tumpuan kepada ubat-ubatan, pemakanan, biji-bijian dan tumbuhan yang disifatkan
oleh Nabi SAW sebagai ubat dan mampu menyembuhkan penyakit. Benar, Rasulullah
SAW bersabda bahawa berbekam sebagai suatu cara yang terbaik untuk berubat
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Hakim dan al-Tabarani
خير ما تداينتم
به الحجامة
( sebaik-baik cara
berubat ialah dengan berbekam)
Rasulullah SAW juga menyebut bahawa:
عليكم بهذه الحبة السوداء فإن فيها شفاء من كل داء إلا السام وهو
الموت
(hendaklah kamu berubat
dengan Habbatul Sauda’. Sesungguhnya padanya terdapat kesembuhan
daripada segala penyakit kecuali al-sam iaitu mati)
Al-Qaradawi berpendapat bahawa kesemua ini bukanlah merupakan suatu
ruh atau matlamat sunnah. Matlamat sebenar hadis-hadis sedemikian ialah menjaga
kesihatan manusia, kecergasan fizikal dan sebagainya. Seseungguhnya berubat
bukanlah menafikan beriman dengan Qada’ Qadar. Ia juga tidak menafikan sifat
tawakkal kepada Allah. Sesungguhnya bagi setiap penyakit ada ubatnya. Justeru
itu, penekanan sunnah kepada kebersihan diri, tempat tinggal dan alam sekitar,
penumpuan kepada konsep mencegah lebih baik daripada berubat, mengharamkan
kesemua perkara yang mendatangkan mudarat, kesihatan jiwa dan spiritual dan
sebagainya kesemua itu merupakan hakikat sebenar apa yang digelar sebagai al-tibb
al-nabawi (perubatan nabi).
Wasilah atau teknik boleh berubah mengikut peredaran dan perubahan
zaman. Apabila sunnah menerangkan teknik-teknik berubat pada zaman baginda SAW,
tujuannya hanyalah untuk menerangkan reality yang berlaku pada masa itu. Ini
bukanlah bererti kita mesti berpegang dengan teknik perubatan pada zaman nabi
100 peratus tanpa berusaha untuk mencari dan mengkaji teknik dan ubatan yang
baru. Tidak salah untuk kita berbekam atau makan habbatul sauda’, namun
jangalah kita terikat dengan perkara ini sehingga kita mengabaikan teknik dan
ubatan lain.
[1] Al-Qardawi,
Yusuf, al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah, Muassasah
al-Risalah, Beirut-Lebanon, hlm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan