Sabtu, 22 Jun 2013

al-Dabt / Dabit dari sudut Istilah



1.2 al-Dabt / Dabit dari sudut Istilah
Dabit ialah kuat ingatan. Ulama hadis menakrifkannya sebagai ketelitian dan keprihatinan perawi terhadap riwayatnya semasa mendengar dan ketika menyampaikan semula hadis berkenaan. Ia akan memastikan seorang perawi menghafal secara sempurna tanpa teragak-agak dalam hafalannya di samping tegas dalam mempertahankan hafalannya itu. Selain itu, perawi berkenaan juga dapat menyampaikan hadisnya itu dengan tepat seperti yang diterimanya tanpa sebarang kesalahan pada bila-bila masa yang dikehendaki[1]
Subhi Salleh pula menjelaskan bahawa maksud para ulama dengan dabt di sini ialah perawi mendengar sendiri hadis-hadis untuk diriwayatkan sebagaimana beliau diwajibkan memahamninya dengan baik, mengingati serta mengajarnya dengan sempurna tanpa sebarang syak terhadap hadis tersebut. Ketiga-tiga perkara ini tetap stabil di sisi perawi sejak mendengar atau mengambil hadis sehinggalah meriwayatkannya. Selain itu, termasuk dalam syarat al-dabt ialah perawi mestilah seorang yang kuat ingatan dan mengambil perhatian terhadap hadis berkenaan secara bersungguh-sungguh[2]
Ibn Hajar al-Asqalaniy pula berpendapat bahawa sifat dabit bermaksud orang yang kuat menghafal apa yang didengar dan dilihatnya. Dengan menghafal dia mampu untuk menyampaikan semula apa yang dihafal pada bila-bila masa sahaja tanpa sebarang kesalahan samada dalam bentuk lisan atau catatan.[3]
Muhammad Abu Syuhbah di dalam kitabnya pula menjelaskan bahawa dabt ialah kuat ingatan sekira-kira banyak ingat dan benarnya berbanding lupa dan tersilap, hafal riwayatnya jika dia meriwayatkan hadis secara hafalan, tepat dalam penulisannya jika dia meriwayatkan dengan cara tulisan dan mengetahui makna jika meriwayatkan hadis dengan cara demikian sehingga benar-benar dipercayai, amanah dan keadaan ini tidak berubah sehingga akhir hayatnya[4]
Syeikh Salih Uthaimin, seorang ulama Saudi menjelaskan bahawa dabt ialah apabila seorang perawi menyampaikan apa yang didengarnya atau apa yang diriwayatkanya dengan cara yang dibawanya tanpa sebarang penambahan dan kekurangan. Tidak mengapa jika mempunyai sedikit kesilapan kerana tiada seorang pun yang terselamat daripada kesilapan yang sedikit[5]
Terdapat juga sebahagian ulama yang mengatakan bahawa dabit sebagai orang yang mendengar perbicaraan dengan keadaan yang sepatutnya seperti mendengar dengan sungguh-sungguh, memerhati dengan sungguh-sungguh dan sebagainyya. Kemudian dia menghafalnya dengan sepenuh kesungguhan sehingga sempurna dan akhirnya dia mampui menyampaikan semula apa yang dihafalnya kepada orang lain.
Ada juga yang mengistilahkan dabit sebagai bersungguh-sungguh dalam mendapatkan hadis, memahami dengan sepenuhnya hadis tersebut serta menghafalnya dengan sempurna sehingga dia boleh menyampaikan hadis tersebut kepada orang lain
Secara keseluruhannya, sifat-sifat yang dabit yang digambarkan oleh para ulama berkisar kepada 2 perkara besar iaitu ingat dan faham. Maksud ingat di sini ialah kekuatan ingatan atau kesungguhan untuk menghafal semasa menerima hadis, menyimpannya dalam bentuk hafalan atau tulisan dan menyampainkannya semula dengan baik. Selaian itu dabit juga berkisar kepada memahami hadis yang disampaikan dengan sepenuhnya walaupun diriwayatkan dengan makna sahaja. Apabila seorang perawi dapat mengingati dan memahami maksud hadis tersebut, dia akan dapat memahaminya pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu kepada rujukan atau catatan. Para ulama telah memberikan taraf yang istimewa kepada seseorang perawi yang lebih faham maksud hadis di samping menghafalnya berbanding dengan perawi yang menghafal hadis tersebut namun tidak memahami maksud hadis tersebut. Keistimewaan ini disebut dalam ilmu hadis sebagai rajih (lebih kuat)


[1] Asmawi Ehsan, Ilmu Hadith, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.87, Ahmad Umar Hashim, Adwa’ Ala Mustalah al-Hadith, Universiti al-Azhar, Kaherah, hlm.56,


[2] Subhi Salleh, Ilmu Hadith Satu Pengenalan Dan Kajian, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.123

[3] Asmawi Ehsan, Ilmu Hadith, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.102

[4] Muhammad bin Muhammad Abu Syuhbah, al-Wasit Fi cUlum Wa Mustalah al-Hadith, cAlam al-Macrifat Li al-Nashr Wa al-Tauzic, t.tmpt., hlm.89-90

Tiada ulasan: