Sabtu, 22 Jun 2013

cara beramal dengan sunnah (qaradawi): penutup dan kesimpulan



BAB III
PENUTUP & KESIMPULAN
Kesimpulannya, sunnah haruslah difahami dengan betul sebagaimana kefahaman generasi salaf.  Sebagai penjelas kepada a-Quran, ia harus dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan kita. Untuk memahami sunnah, kita mestilah mengikuti kaedah-kaedah tertentu yang telah digariskan oleh para ulama khasnya Syeikh al-Qaradawi di dalam kitabnya yang cukup berharga iaitu al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah. Kegagalan memahami sunnah dengan cara yang sepatutnya boleh menyebabkan sunnah kelihatan tidak relevan dengan dunia kini. Justeru itu, fahamilah sunnah dengan cara yang sepatutnya.
Sepanjang menyiapkan tugasan ini, penulis banyak menggunakan rujukan perpustakaan dan internet. Boleh dikatakan banyak kitab, weblog, portal, artikel dan bahan rujukan internet memuatkan tulisan atau petikan daripada kitab beliau. Terdapat juga penilaian yang dilakukan oleh ulama dan ustaz lain yang memuji dan memberikan kredit kepada al-Qaradawi. Penulis berani mengatakan bahawa kitab ini menjadi tanda aras dan pemangkin untuk kita beramal dengan sunnah. Ia merupakan pintu gerbang untuk kita memahami sunnah dengan cara yang sepatutnya. Usaha gigih yang dilakukan oleh Syeikh al-Qaradawi dalam meletakkan panduan untuk beramal dengan sunnah merupakan suatu usaha yang terpuji. Sememangnya kitab beliau merupakan suatu kitab yang bermutu tinggi dan menjadi rujukan bagi orang ramai.


qaradawi: Meneliti & Memperinci Maksud Lafaz Hadis



2.8 Meneliti & Memperinci Maksud Lafaz Hadis[1]
Di antara perkara yang penting untuk memahami sunnah ialah dengan meneliti dan membuat perincian terhadap maksud lafaz yang terdapat dalam sunnah kerana maksud sesuatu lafaz itu berbeza dengan perbezaan tempat dan masa. Perkara ini merupakan suatu yang umum diketahui oleh ahli bahasa disebakan oleh perkembahngan bahasa dan kesan perubahan zaman dan tempat terhadap bahasa itu sendiri.
Justeru itu maksud lafaz hadis perlulah difahami sebagaimana pemahamana para salaf. Kata Imam al-Ghazali (ketahulah bahawa punca berlaku kesamaran diantara ilmu yang dikeji dengan ilmu yang terpuji ialah mengubah perkataan-perkataan yang dipuji kepada makna-makna yang tidak dikehendaki oleh golongan salaf. Kemudiannya menyebarkan dengan tujuan buruk. Lafaz-lafaz itu ialah al-fiqh, al-ilm, at-tauhid, at-tadhkir, dan al-hikmah. Ini merupakan perkataan-perkataan yang tinggi dan terpuji. Orang yang memilikinya mempunyai kedudukan tinggi dalam agama. Tetapi sekarang ini telah ditukar kepada makna yang keji yang menjadi tawar hati kerana keburukan orang yang menyandangnya.
Sebagai contoh ialah perkataan Al-Musawwirin. Perkataan ini difahami sekarang sebagai orang yang menggunakan kamera mengambil gambar. Sebenarnya, perkataan ini patut difahami sebagai orang yang membuat patung-patung. Inilah pemahaman golongan salaf dan inilah yang sebenar. Orang yang menggunakan kamera mengambil gambar pula perlulah dipakai perkataan Al-Akkas ketika merujuk kepada mereka. Jika menyalahi pemahaman makna lafaz, akan berlakulah kecelaruan ketika memahami Al-Sunnah.




[1] al-Qardawi, Yusuf, al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lebanon, hlm179

qaradawi: Membezakan Di Antara Perkara Yang Ghaib Dan Nyata



2.7 Membezakan Di Antara Perkara Yang Ghaib Dan Nyata[1]
Sunnah membicarakan perkara-perkara yang bersangkutan dengan perkara ghaib. Setengah daripadanya bersangkut-paut dengan alam kita seperti malaikat, jin, syaitan, Arasy, Kursiy dan sebagainya. Sunnah juga memperkatakan perkara-perkara yang bersangkutan dengan alam barzakh dan kehidupan selepas mati seperti soal kubur, kenikmatan dan azab kubur. Ada juga yang bersangkutan dengan perkara akhirat seperti hari kebangkitan, syafaat, Mizan, Hisab, al-Sirat, syurga, neraka dan sebagainya. Kesemua perkara ini telah diterangkan oleh al-Quran namun sunnah telah memberi penjelasan dan perincian terhadap perkara ini
Apa yang menjadi kewajipan kepada kita orang Islam ialah menerima apa yang datang dari sunnah jika ia sahih mengikut kaedah yang telah digariskan oleh ahli ilmu dan salaf. Tidak harus bagi kita untuk menyalahi mereka hanya kerana ianya bertentangan dengan apa yang telah maklum asalkan ianya sahih.
Dalam masalah ini, golongan Muktazilah telah melampau dengan menolak hadis-hadis sahih yang bertentangan dengan akal fikiran seperti hadis berkenaan azab dan nikmat kubur, al-Mizan, al-Sirat, keharusan melihat  Allah di syurga dan sebagainya. Kesemua perkara ini telah datang secara jelas dengan nas-nas yang sahih namun ditolak mereka kerana bersalahan dengan akal.
Imam al-Syatibi di dalam karyanya al-Ictisam telah menjelaskan bahawa di antara ciri-ciri ahli bidaah ialah menolak hadis-hadis yang tidak selari dengan mazhab mereka. Mereka mendakwa bahawa ianya tidak logik, tidak selari dengan tuntutan nas dan sebagainya.
Apabila manusia mencuba menggunakan akal yang terbatas ini memikirkan perkara ghaib, maka jadilah mereka lebih teruk daripada orang buta yang cuba menghuraikan gajah. Gajah yang dapat di sentuh pancaindera pun dihuraikan salah dan menyimpang, apalagi hal-hal ghaib, maka huraiannya menggunakan akal akan lebih jauh salah dan menyimpang.
Kaedah apabila berhadapan dengan hal-hal ghaib amatlah mudah iaitu beriman dengan segala hal-hal ghaib yang sabit daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Kalau difikirkan juga akan hal ghaib itu, akan jadilah manusia berfikiran seperti golongan Muktazilah yang menolak akan hal nikmat dan azab kubur hanya kerana logik akal.
Para ulama menggariskan bahawa Islam ini mungkin akan membawa hal-hal yang menghairankan akal, tetapi Islam tidak akan membawa hal-hal yang mustahil pada akal. Sebagai contoh akan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim;
ان فى الجنة لشجرة يسير الراكب فى ظلها مائة عام لا يقطهعا
(Di dalam syurga terdapat sebatang pohon yang besar, jika seseorang penunggang unta berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun (dunia), nescaya dia tidak akan dapat menghabiskannya)
Persoalannya, apakah dapat difikirkan besarnya pohon itu? Zahirnya, terdapat ayat al-Quran dalam surah al-Hajj yang memberitahu kita bahawa satu hari di akhirat itu tempohnya adalah seribu tahun dunia. Maka mustahillah akal untuk memikirkan pohon yang besar itu walau sebijak manapun akalnya. Apa yang betulnya bagi kita adalah beriman dengan segala hal-hal ghaib yang sabit daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.
Secara keseluruhannya kita tidak mampu untuk memikirkan perkara yang berada di luar pemikiran manusia untuk melangkaunya walaupun dengan kemajuan sains dan teknologi. Justeru itu dalam masalah perkara ghaib ini, cukuplah bagi kita untuk menerima dan beriman dengan penerangan daripada al-Quran dan sunnah yang sahih lagi sabit.


[1] Al-Qardawi, Yusuf, al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lebanon, hlm174, http://ersal.lightbb.com/t20-topic

qaradawi: Membezakan Hakikat Dan Majaz Dalam Memahami Hadis



2.6 Membezakan Hakikat Dan Majaz Dalam Memahami Hadis[1]
Bahasa Arab mengandungi banyak kata kiasan (majaz) dan Rasulullah SAW pula merupakan seorang arab yang tingi bahasa kiasanya. Justeru itu, banyak hadis yang disebut secara kiasan
Pengertian majaz di sini merangkumi majaz dari sudut bahasa, akal, istiarah., kinayah, istiarah tamthiliyyah dan semua perkataan atau ayat yang tidak menunjukkan maksudnya yang asal. Maksud kiasan ini dapat diketahui dengan tanda-tanda tertentu. Mengetahui maksud perkataan dan ayat majaz ini cukup penting di dalam memahami hadis Rasulullah SAW. Contohnya sabda Rasulullah SAW terhadap isteri-isterinya:
أسرعكن لحوقا بي أطولكن يدا
(Yang paling cepat bertemu denganku (paling cepaat meninggal dunia) ialah yang paling panjang tangannya- Muslim)
Hadis ini pada zahirnya menerangkan kepada kita bahawa orang yang paling cepat bertemu dengan Baginda SAW ialah seorang yang mempunyai tangan yang paling panjang. Menurut Aisyah, para isteri dan anak-anak Rasulullah SAW mengukur tangan-tangan mereka untuk mencari siapakah yang mempunyai tangan yang terpanjang. Maksud sebenar panjang tangan di sini ialah mereka yang paling banyak melakukan kebaikan. Panjang tangan hanyalah suatu kiasan kepada orang yang banyak melakukan perkara kebajikan. Hal ini dapat dibuktikan apabila isteri pertama yang meninggal selepas kewafatan baginda SAW ialah Zainab Binti Jahsy. Beliau merupakan seorang yang paling kuat berkerja dan berbuat kebajikan. Justeru tangan panjang di sini bukanlah bererti ukuran tangan yang terpanjang di antara mereka namun maksud sebenar hadis ini ialah kiasan kepada mereka yang kuat berkerja dan melakukan kebaikan.
Di riwayatkan dalam Kitab Al-Lu’lu Wal Marjan:[2]
اعلموا أن الجنة تحت ظلال السيوف
(Ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayang-bayang pedang)
Hadis ini jika difahami secara zahir akan membawa maksud bahawa syurga terletak atau berada di bawah baying-bayang pedang. Apakah sesiapa yang dapat melihat syurga di bawah bayang-bayang pedang? Adakah ini yang dimaksudkan dalam hadis di atas? Maksud sebenar hadis ini ialah gambaran syurga di bawah pedang orang yang berjihad pada jalan Allah SWT
Kesimpulannya Bahasa Arab merupakan bahasa yang istimewa, terangkum di dalamnya hakikat dan majaz. Memahami bahasa arab dengan baik samada dari sudut hakikat mahupun kiasannya akan menjadikan kita lebih memahami sunnah.


[1] Al-Qardawi, Yusuf, al-Madkhal Li Dirasat al-Sunnah al-Nabawiyyah, Muassasah al-Risalah, Beirut-Lebanon, hlm157

[2] http://bro2009.blogspot.com/2011/01/kuliah-masaf-10-bagaimana-berinteraksi.html