Selasa, 16 Ogos 2016

3.0 Pengertian Tarbiyyah



3.0 Pengertian Tarbiyah.
Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan  dan  pendidikan. Tarbiyah  Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber  al-Quran  al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani.  Dengan  sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang  mendapat  jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:
“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat  kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
(Ali ‘Imran: 110)
Peranan Tarbiyah Islamiyah.
Tarbiyah  memainkan  peranan   penting  dan  berkesan dalam kebangkitan,  pembangunan dan kemajuan sesuatu  masyarakat. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu  diberi keutamaan  dalam  perancangan  pembangunan  sesuatu masyarakat. Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama  untuk  membangunkan  manusia  yang  mampu  menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.
Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan bahawa asas dan titik tolak didikan  Islam adalah iman.
Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’ menghuraikan dengan  panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan masyarakat  Islam. Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah Islam yakni tauhid  Rububiyatillah  dan  tauhid Uluhiyatillah. "Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia  mengetahui hakikat  diri dan letak duduknya manusia itu dalam  hidup  supaya faham mengapa manusia itu  dijadikan,  memahami  hubungan  dan pimpinan  akal   fikiran  manusia,   tindak   lakunya  dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.
Sehubungan itu, Muhammad Shadid  dalam  ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap  kembali  sejarah  dengan menjelaskan bahawa Rasulullah  SAW  adalah utusan  Allah SWT. Baginda adalah contoh utama  dan  qudwah hasanah serta pelaksana manhaj al-Quran. Baginda adalah pendakwah yang  amat  faham tentang dakwahnya dan murabbi  (pendidik)  yang dianugerahkan  segala sifat sebagai murabbi. Baginda  mengajak  sahabatnya   dan   orang  ramai  beriman   kepada Allah, menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan. Arahan itu hanya akan diterima oleh hati yang beriman. Oleh itu, menurut Said  Hawa,  pemusatan perlu diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul.
Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek.
Iman  tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup  manusia.  Setiap  pekerjaan  yang   dilakukan  hendaklah  dibina dan  didorong oleh  iman kepada  Allah  SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu  dikira  sebagai  ‘ubudiyah (ibadah)  kepada  Allah  SWT.
Menurut   Mustafa  Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada  aqidah  yang  baik.  Perkataan ibadah itu  mempunyai  sifat kesyumulannya  dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa,  zakat dan haji sahaja kerana risalah dan  tugas  manusia dalam  hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah
kepada Allah.
“Tidak  Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk  beribadah kepada Aku.”        (Al-Zariyat: 56)
 
Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan  minum, ilmu  dan  amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah). Begitu juga  sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah,  padang permainan, malah dunia seluruhnya  menjadi  tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.
Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan Penciptanya dalam semua aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah SWT. Hubungan hati manusia  dengan Allah pada setiap masa adalah asas  utama  bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.
Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek  yang  paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam  pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir  dalam bentuk amalan dan  tindakan,  seperti  yang disebutkan dalam al-athar: “...Ia sebati  dalam  jiwa  dan  dibenarkan  dalam  bentuk amalan.” Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya  orang yang beriman ialah orang  yang  beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan    Allah.”  (Al-Hujurat: 15)
Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur,  sentiasa berhubung  dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya,  mengharapkan rahmat-Nya  dan  takut akan azab-Nya. Jiwa  yang  hidup inilah yang menjadi  tumpuan  Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalanmu.”
“Pada  hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak  kecuali mereka  yang  balik  kepada  Allah  dengan  hati  yang (sejahtera).”
Tarbiyah Islamiyah berusaha menghi-dupkan jiwa  supaya  tidak  mati,  memakmurkannya  supaya  tidak  binasa   dan melembutkannya  supaya  tidak keras kerana hati yang keras dan  akal yang beku  merupakan  satu  kemungkaran  yang  perlu  diminta perlindungan Allah SWT daripadanya.
 
“Adapun  Nabi  SAW  meminta perlindungan  daripada  Allah  SWT daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak khusyu’.”

Tiada ulasan: