Selasa, 23 Ogos 2016

4.0 kepentingan teknik menggambar.......



4.0 KEPENTINGAN PENGAJARAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI  SEPERTI MENGGAMBAR KEPADA PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Hasil kerja seni visual yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak- kanak. Refleksi ini menurut Koster (2001), akan terus berkembang bersama kanak-kanak sehingga ia membesar.

Penghasilan karya terutama lukisan oleh kanak-kanak mempunyai interpretasi yang berbeza dengan karya yang dihasilkan oleh orang dewasa. Bagi orang dewasa, seni visual sering dikaitkan dengan kecantikan dan kesempurnaan, namun bagi kanak-kanak hasil karya yang dihasilkan bersifat luahan dan ekspresif (Lowenfeld, 1975). Kebanyakan pengkaji seni kanak-kanak menganggap hasil karya seni sebagai satu kaedah menarik untuk melihat cara berfikir dan menyelami perasaan selain melihat dan menguji keupayaan perkembangan kognitif mereka. Karya seni kanak-kanak adalah bersifat peribadi dan tersendiri.

Bertitik-tolak daripada faktor inilah pengetahuan asas mengenai lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak penting bagi guru pendidikan seni visual sebelum kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai aktiviti. Kesemua pengetahuan yang merangkumi umur, tahap kanak-kanak serta kemampuan mereka perlu difahami supaya guru-guru pendidikan seni visual berupaya merancang aktiviti yang sesuai dengan mengikut tahap yang sesuai.

Pada pandangan anda, adakah kebolehan seni seseorang merupakan satu
anugerah yang ada sejak lahir, atau ianya dapat dibentuk dan dikembangkan mengikut proses pertumbuhan mental seseorang individu?

Penglibatan kanak-kanak di dalam aktiviti seni visual berupaya memberikan rangsangan
dan pembangunan dari pelbagai aspek. Pembangunan tahap kreativiti kanak-kanak dapat
dipertingkatkan selain mewujudkan rasa sensitiviti kanak-kanak terhadap sekelilingnya.
Secara ringkasnya kepentingan pengajaran mata pelajaran pendidikan seni dalam menggambar kepada kanak-kanak dapat dilihat melalui aspek berikut:

(a) Aspek Kognitif
Penganjuran aktiviti seni seperti menggambar yang tersusun dan terancang dapat melahirkan
kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.

(b) Aspek Fizikal
Penggunaan alat dan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni
visual memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor)
dan koordinasi tangan serta mata.

(c) Aspek Kreativiti
Latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untukmengembangkan aspek kreativiti mereka. Aktiviti dan projek di dalam pendidikan seni seperti menggambar mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses ini menyuburkan budaya pemikiran kritikal di dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni seperti menggambar menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi supaya kanak-kanak mempunyai pengalaman luas dalam bidang penghasilan karya.

(d) Aspek Persepsi
Melalui mata pelajaran seni seperti menggambar, murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria. Pendidikan seni visual menambahkan pengetahuan mengenai konsep pembuatan dan kronologi sesuatu produk iaitu proses penghasilan dan hasilan seni, produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka.

(e) Aspek Sosial dan Emosi
Pendidikan seni seperti menggambar memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dan
meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri. Aktiviti pendidikan seni seperti menggambar memberikan peluang kepada pelajar untuk saling hormat-menghormati dan menjadi landasan untuk memupuk perasaan bertoleransi. Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama di dalamaktiviti berkumpulan yang dibentuk.




Tiada ulasan: