Selasa, 23 Ogos 2016

5.0 KEPERLUAN KANAK-KANAK DALAM MENGGAMBAR LUKISAN



5.0 KEPERLUAN KANAK-KANAK DALAM MENGGAMBAR LUKISAN


Pernahkah anda melihat kanak-kanak menconteng dinding, buku atau pun kertas? Mengapakah kanak-kanak gemar menconteng? Adakah mereka ingin berkomunikasi?


Banyak kajian yang dijalankan bagi mengenal pasti kebolehan kanak-kanak. Aktiviti melukis dikatakan sebagai suatu bentuk aktiviti yang banyak digunakan oleh saintis, pendidik dan ibu bapa bagi menyelami perasaan dan fikiran kanak-kanak. Aktiviti melukis merupakan aktiviti yang membantu kanak-kanak mengenali objek selain membantu meningkatkan daya sensitiviti terhadap alam sekeliling mereka. Proses melukis yang menjurus ke arah pengamatan terhadap objek melatih deria kanak-kanak supaya menjadi lebih peka dan meningkatkan daya persepsi mereka.

Selain itu, aktiviti melukis juga meningkatkan daya imaginatif kanak-kanak selain berupaya
mengimbangi emosi mereka. Ianya dijadikan sebagai satu proses pembelajaran kepada kanak-kanak melalui aktiviti imitasi alam sekeliling lalu dipermudahkan menjadi penghasilan simbol abstrak seterusnya menjadikan ianya satu bentuk hasil karya yang unik.

(a) Melukis sebagai Medium Komunikasi
Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi.Selain itu, lukisan juga dijadikan alat membantu saintis untuk menganalisa fikiran dan perasaan kanak-kanak. Penghasilan imej seperti pokok, figura manusia, catan dan arca boleh memberikan tafsiran yang dapat membantu ahli psikologi untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai masalah trauma.

(b) Melukis sebagai Cara Mencapai Kepuasan Diri
Kanak-kanak umumnya belajar sambil bermain. Bagi mereka, aktiviti bermain memberikan kepuasan di samping memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka alam sekeliling. Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak.

(c) Melukis untuk Meningkatkan Daya Penguasaan Kendiri (Self Esteem)
Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik  mengikut tahap pemahaman mereka. Kesan penghasilan karya lukisan mampu membentuk personaliti kanak-kanak. Konsep kendiri terbina apabila kanak-kanak mampu melukis tanpa ragu dan tidak bimbang memikirkan soal kecantikan karya mereka. Selain itu, aktiviti melukis juga menggalakkan kanak-kanak untuk bercerita mengenai karya mereka sekaligus membantu mereka untuk membina keyakinan diri untuk bertutur. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.




Tiada ulasan: