Selasa, 16 Ogos 2016

7.0 Faktor menyumbang masalah tingkah laku murid dalam kelas



7.0  FAKTOR  MENYUMBANG MASALAH TINGKAH LAKU MURID DALAM KELAS
                                                                     
Selain itu juga guru menyumbang kepada berlakunya masalah tingkah laku bermasalah ini di mana penggunaan strategi dan teknik penyampaian pengajaran yang kurang menarik.

Guru menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang kurang sesuai dengan umur atau kebolehan pelajar. Dengan itu, ada pelajar yang yang tidak dapat mengikuti perkembangan pelajaran kerana tahapnya terlalu sukar. Ini menambahkan kegelisahan mereka. Ada juga guru yang menyampaikan pelajaran melalui ’chalk and talk’ dan ini membosankan pelajar. Oleh itu, murid akan mudah  berasa bosan dan tidak mahu mengikuti pelajaran. Seterusnya, mereka menunjukkan tingkah laku yang disruptif seperti mengganggu kawan-kawan yang lain, membuat bising dan sebagainya di dalam kelas.

Mengikut pendekatan  teori  tingkahlaku, iaitu yang dipolopori oleh  Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat  pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka mengaitkan perhubungan ransangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku.  Setiap rangsangan menimbulkan tindak balas dan pembelajaran  yang  berlaku  akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman. Guru yang kurang daya inisiatif dari segi strategi dan teknik  pengajaran  akan gagal untuk menarik dan meransang minat  murid-murid untuk mengikuti proses pembelajaran semasa di dalam bilik darjah. Di sini menunjukkan cikgu Rozana telah gagal dalam menarik minat murid-murid untuk mendengar arahan dan teguran semasa di dalam bilik darjah. Hal inilah yang menyebabkan murid-murid  dalam kelas tadi berasa bosan dan mengganggu kelas.

Begitu juga dengan ransangan dalam bentuk arahan guru semasa di dalam bilik darjah juga membawa kepada terjadinya tingkah laku bermasalah ini. Arahan guru yang kurang jelas, tidak mudah difahami dan suara yang kurang kuat boleh menyebabkan murid-murid berasa keliru dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Menurut Teori Tingkah Laku Behaviourisme, rangsangan dalam bentuk arahan guru telah gagal untuk menarik motivasi murid-murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Selain faktor guru yang menyebabkan berlakunya tingkah laku bermasalah, peranan keluarga juga memainkan peranan. Keluarga merupakan orang yang paling dekat perhubungan degan murid. Pengalaman daripada keluarga mempengaruhi perlakuan murid. Ibu bapa yang kurang meluangkan masa di rumah untuk anak-anak lantaran sibuk bekerja, begitu juga murid yang miskin juga kurang mendapat kasih sayang dari ibu bapa di rumah kerana adik beradik yang ramai mendorong terjadinya tingkah laku bermasalah ini di sekolah.  Anak-anak yang tidak mendapat cukup perhatian di rumah selalunya cuba mendapatkan perhatian daripada guru di sekolah. Seseorang anak selalunya mendapat perhatian daripada ibu bapa apabila berkelakuan tidak senonoh. Jika mereka tidak mengganggu ibu bapa selalunya dia tidak diberi perhatian. Situasi ini menggalakkan mereka berkelakuan  negatif dan tidak menggalakkan mereka berkelakuan positif. Murid ini beranggapan perlakuan tidak senonoh adalah cara untuk mendapatkan perhatian guru. Keadaan inilah yang terjadi di dalam kelas tersebut di mana Ahmad yang nakal selalu mengganggu kawan-kawan yang sedang belajar dan juga pasangan kembar Rahim dan Rahman yang saling bersaing dalam usaha menarik perhatian guru. Disebabkan cikgu Rozana tidak menyedari masalah ini maka mereka melayan dan mengganggu murid yang lain.

Faktor psikologi, sosial dan nilai diri pelajar juga merupakan salah satu punca masalah tingkah laku bermasalah. Ada di kalangan pelajar yang berasa seolah-olah dibenci kerana mereka merasa banyak kekurangan apabila memasuki sekolah yang mempunyai set peraturan yang berbeza antara sekolah atau alam sekitarnya yang jauh berbeza. Pelajar kurang dorongan dan kurang cita-cita untuk mengejar kejayaan dalam bidang akademik. Di dalam kelas, mereka kurang mendapat perhatian jika guru sudah adapra-anggapan bahawa kelas ini atau pelajar ini bodoh, degil atau nakal dan sebagainya. Keadaan inilah yang berlaku di dlam kelas 4 Melati. Murid-murid dalam kelas tersebut yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga di tambah lagi dengan  tahap pembelajaran yang lemah dan sering tidak membawa buku. Murid menyangka seolah-olah benci terhadap mereka dan reaksi mereka terhadap segala peraturan menyebabkan ingin memberontak. Kadangkala murid-murid tidak merasa puas hati apabila guru memuji dan mementingkan pelajar-pelajar yang berpakain kemas dan mempunyai buku teks yang lengkap.

Faktor media massa juga merupakan faktor yang tidak kurangnya dalam menarik tingkah laku bermasalah ini di kalangan murid-murid. Media massa seperti televisyen memainkan peranan yang besar yang mendorong murid-murid untuk meniru tingkah laku yang dipaparkan melalui kaca-kaca televisyen. Adegan-adegan ganas dan lakonan artis-artis yang melampau yang ditayangkan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kelakuan pelajar. Murid-murid pada tahap ini biasanya mudah mengikut dan meniru dengan apa yang mereka lihat. Tanpa kawalan dari ibu bapa semasa menonton dan membeli bahan-bahan bacaan berupa majalah-majalah telah mendorong pelajar bertingkah laku bermasalah di dalam bilk darjah. Hal ini terjadi kepada murid yang bernama Kamarul  yang selalu membawa VCD lucah untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan di dalam bilik darjah.

Pengaruh rakan sebaya juga dapat mempengaruhi murid bertingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Nilai-nilai rakan yang negatif seperti malas, tidak bertanggungjawab, kurang menghormati orang lain dan tidak mematuhi peraturan akan mempengaruhi pelajar dalam kelas. Jika adanya pengaruh yang negatif akan turut mengikut perangai rakan-rakannya dan menimbulkan masalah tingkah laku bilik darjah.
Selain itu, faktor kesihatan diri pelajar itu sendiri juga turut mempengaruhi tingkah laku bermasalah ini. Pelajar yang sihat akan dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran guru. Ini berlainan dengan pelajar yang kurang sihat atau tidak sihat atau tidak cukup tidur atau rehat akan merasa resah dan rimas. Mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Keadaan ini menggangu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Terdapat juga pelajar yang kurang sihat kerana gangguan emosi disebabkan keadaan keluarga yang kurang harmonis akan menimbulkan masalah tingkah laku dalam bilik darjah.

Dalam mengatasi masalah tingkah laku bemasalah ini menjadi semakin ketara oleh itu langkah-langkah mengatasi haruslah segera diambil. Setiap pihak memainkan peranan dalam menangani masalah tingkah laku di kalangan murid-murid. Dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap dan minat  murid dalam bilik darjah maka guru harus mengenali latar belakang murid dan mengkaji kebolehan dan minat mereka. Dengan ini pelajaran yang disampaikan sejajar dengan kebolehan dan minat, dengan ini komunikasi berkesan akan wujud. Guru harus memanggil nama pelajar semasa menyoal dan ini membentuk suasana yang mesra antara guru dengan pelajar . Disamping itu, penyampaian arahan dan pengajaran guru hendaklah jelas dan mudah diikuti oleh murid-murid agar mereka teransang dan tertarik untuk meneruskan proses pembelajaran.

Selain itu juga, kemahiran komunikasi yang berkesan haruslah dikuasai oleh guru-guru ini kerana, amalan komunikasi yang berkesan di dalam bilik darjah akan membawa hasil pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Untuk mengamalkan komunikasi berkesan dalam bilik darjah, guru harus menguasai kemahiran-kemahairan penggunaan kaedah dan teknik mengajar, khasnya teknik menyoal. Sebagai seorang penyampai ilmu pemgetahuan, guru dikehendaki berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan murid-muridnya agar dapat menyampaikan maklumat dengan berkesan. Guru yang mempunyai komunikasi yang berkesan ialah guru yang boleh bertutur atau menulis dengan jelas dan tepat. Kemahiran komunikasi ini membolehkan murid-murid mengikuti pelajaran yang diajarkan dengan lebih tepat. Guruhendaklah bertutur dengan intonasi yang sesuai agar tidak membosankan murid. Guru juga perlulah bersemangat tinggi dalam penyampaiannya. Penggunaan pergerakan fizikal, gerak isyarat dan memek muka semasa menerangkan sesuatu pelajaran akan memudahkan pemahaman dan menarik minat perhatian pelajar untuk terus mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Selain itu,  tingkah laku guru yang membenarkan pelajar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti tetapi pada masa yang sama dapat mengekalkan disiplin bilik darjah. Guru perlu meransang pelajar untuk mengemukakan soalan-soalan dalam bilik darjah. Suasana bilik darjah akan lebih mesra dan tenang jika guru dapat menyelitkan humor dan unsur-unsur kecindan semasa proses mengajar dilakukan. Guru harus bersikap positif dan bertutur dengan bahasa yang baik serta bercakap tentang perkara-perkara yang baik dan benar. Guru seharusnya mengelak daripada mengkritik idea atau pendapat pelajar yang salah atau tidak tepat. Malah guru perlu memberi peneguhan positif dan cuba memperbaiki jawapan murid yang kurang tepat dan menggalakkan mereka mencuba lagi jika jawapan salah. Dengan ini, suasana sosioemosi bilik darjah akan lebih tenang dan relaks dan menggalakkan penglibatan murid secara aktif dan komunikasi guru dengan pelajar lebih terbuka. Oleh itu, dengan adanya kemahiran komunikasi yang berkesan di kalangan guru-guru menyebabkan murid-murid tidak terdorong ke arah melakukan tingkah laku yang bermasalah dalam bilik darjah.

Selain dari langkah menangani melalui kaedah kemahiran komunikasi guru dalam bilik darjah, guru juga boleh menggunakan  kaedah pengurusan disiplin bilik darjah.  Menurut James (Jun, 2005) yang telah mengemukakan Pendekatan Instruktional (Instructional classroom management approach) yang berpandangan bahawa pengajaran yang dirancang dan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan akan berjaya mengelakkan atau setidak-tidaknya mengurangkan masalah disiplin pelajar dalam bilik darjah. Peranan guru adalah untuk merancang dan melaksanakan peng
ajaran yang baik yang sesuai dengan keperluan dan minat pelajar atau dalam kata lain, pelajaran yang dapat memotivasikan murid. Guru juga hendaklah melaksanakan rancangan pelajaran dan mempelbagaikan kaedah mengajar  dan menggunakan bahan bantuan mengajar utuk menarik perhatian dan minat pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran harus sejajar dengan kebolehan pelajar. Teknik pengajaran haruslah berpusatkan pelajar dan memenuhi keperluan-keperluan mereka. Aktiviti-aktiviti yang dirancang hendaklah menarik minat pelajar. Guru hendaklah memastikan pelajar sentiasa memenuhi masa dengan tugasan yang berfaedah agar mereka tidak berasa dan tidak menimbulkan masalah disipiln.

Dalam pengurusan disiplin dalam bilik darjah juga dapat dipraktikkan dengan memberi peneguhan kepada pelajar samada dalam betuk peneguhan positif atau peneguhan negatif. Peneguhan positif terdiri daripada memberi ganjaran, pujian, hadiah untuk hasil kerja pelajar dan supaya pelajar mewujudkan tingkah laku yang membina dan positif serta dikaitkan dengan perasaan kegembiraan. Mengubah tingkah laku dengan memberi ganjaran kepada tingkah laku yang diingini dan mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Penggunaan peneguhan yang sistematik boleh membentuk tingkah laku seperti yang dikehendaki. Tingkah laku menjadi kurang atau lemah jika tidak diikuti dengan pengukuhan.
Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat berbagai-bagai tingkah laku masalah di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tingkah laku bermasalah ini adalah disebabkan oleh berbagai faktor yang menyebabkan berlakunya salah laku ini. Faktor fizikal bilik darjah, faktor persekitaran rumah dan juga faktor peranan yang dimainkan oleh guru itu sendiri semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu. berbagai cara dan langkah  telah diambil dalam membantu guru dalam menangani masalah tingkah laku bermasalah di kalangan murid-murid di dalam bilik darjah dari terus menganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah






Tiada ulasan: